Khamis, Oktober 01, 2009

Maxis yakin terus terajui segmen prabayar

MAXIS Communications Bhd yakin terus menjadi peneraju segmen perkhidmatan telefon mudah alih prabayar di negara ini menerusi penjenamaan semula Hotlink.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Matthew Willsher, berkata menerusi penjenamaan semula itu, logo Maxis dimasukkan dalam logo Hotlink bagi mencapai imej konsisten kedua-dua jenama terbabit.

“Jenama Maxis secara tradisionalnya dikaitkan dengan pasca bayar, manakala Hotlink pula prabayar.

“Selain perkongsian identiti korporat, penggabungan kedua-dua jenama itu akan dibangunkan di atas nilai jenama sama iaitu kreativiti, mudah dan boleh dipercayai, tetapi dengan personaliti tersendiri,” katanya sambil menambah ‘penyegaran’ jenama itu akan membolehkan Maxis dan Hotlink mencapai imej jenama konsisten.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen penjenamaan semula Hotlink di Kuala Lumpur, semalam.

Willsher berkata, Hotlink menjadi peneraju perkhidmatan prabayar di Malaysia dalam tempoh sembilan bulan sejak ia dilancarkan pada 1999.

Hotlink, katanya, mengekalkan kedudukan penyedia perkhidmatan prabayar utama negara dengan menawarkan perkhidmatan melebihi jangkaan pelanggan secara berterusan dalam suara dan sistem pesanan ringkas (SMS), muzik, permainan, ganjaran dan internet mudah alih.

“Kami mempunyai lapan juta hingga sembilan juta pelanggan prabayar serta yakin Hotlink akan terus menjadi pilihan pengguna prabayar di negara ini dan kempen ini membantu ke arah itu,” katanya.

Maxis, kata beliau, adalah syarikat telekomunikasi mudah alih pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan BlackBerry kepada pelanggan prabayar dengan pakej perkhidmatan merangkumi daripada emel hingga kepada fungsi pesanan sosial.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts