Selasa, Oktober 27, 2009

Kelantan catat kenaikan kes HIV Aids

Penularan jangkitan HIV dan Aids di negeri ini semakin membimbangkan apabila 749 kes baru dicatatkan sepanjang tahun lalu dengan peningkatan ketara membabitkan jangkitan melalui hubungan seks.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata apa yang lebih membimbangkan, 67 peratus daripada jumlah itu adalah golongan muda berusia antara 20 hingga 39 tahun.

"Pada 2008, Kelantan mencatatkan peningkatan tertinggi kes baru iaitu 749 kes yang mana 25 peratus daripadanya adalah mereka berusia 20 hingga 29 tahun, manakala 42 peratus pula berusia 30 hingga 39 tahun.

"Cara jangkitan secara suntikan mencatatkan penurunan iaitu dari 70 peratus pada 2003 kepada 53 peratus tahun lalu, tetapi jangkitan melalui hubungan seks meningkat daripada 19 peratus kepada 27 peratus bagi tempoh yang sama," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Chondong, Zulkifli Mamat yang ingin tahu usaha kerajaan negeri mendidik masyarakat menghindari jangkitan HIV yang kini meningkat di Kelantan dan seluruh negara.

Wan Ubaidah berkata, penularan HIV di negeri ini juga telah memberi kesan kepada wanita dan isteri yang menunjukkan peningkatan kes kepada 19 peratus pada 2008 berbanding hanya 10 peratus sepanjang 2000 hingga 2004.

"Dalam usaha menangani masalah ini, kerajaan negeri mewajibkan saringan HIV bagi pasangan yang ingin berkahwin selain kita dalam proses mewujudkan jawatankuasa kesedaran HIV membabitkan jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts