Selasa, September 01, 2009

Parti Jepun cipta sejarah bincang bentuk Kabinet


Parti Demokratik (DP) semalam memulakan perbincangan untuk membentuk sebuah kerajaan baru dengan berdepan cabaran bagi memulihkan ekonomi Jepun dan memulihkan hubungan antara Tokyo dengan negara-negara sekutunya.

Pemimpin parti itu, Yukio Hatoyama yang berjaya mengetuai usaha menamatkan penguasaan 54 tahun Parti Liberal Demokrat (LDP) kini berhadapan dengan tekanan untuk bertugas dengan segera.

Hatoyama kini perlu membentuk Kabinet dan memulakan peralihan tugas daripada kerajaan Perdana Menteri Taro Aso selepas LDP tewas dalam pilihan raya parlimen.

Aso yang mengaku kalah pada pilihan raya itu menyatakan dia akan meletakkan jawatan sebagai Presiden LDP.

Dalam pilihan raya itu, DP memenangi 308 kerusi daripada 480 kerusi Parlimen manakala LDP hanya memperoleh 119 kerusi sekali gus menamatkan pemerintahan konservatif sejak tamat Perang Dunia Kedua.

Hatoyama, 62, yang dijangka menerima pengesahan Parlimen sebagai perdana menteri dalam tempoh dua minggu kini mengatur pembentukan kerajaan campuran dengan parti-parti kecil seperti Parti Demokratik Sosial dan Parti Rakyat Baru.

Dia yang merupakan jurutera yang mendapat pendidikan sehingga ke peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat (AS) merupakan cucu seorang bekas perdana menteri Jepun.

"Kami tidak akan sewenang-wenangnya menunda polisi kita. Kami mesti bersabar dan mencari persefahaman dengan rakyat berikutan mandat yang diterima ini," kata Hatoyama dalam satu wawancara dengan stesen penyiaran NHK.

Sementara itu, Aso berkata, LDP perlu mengukuhkan semula parti jika mahu menguasai semula kerajaan.

LDP dijadualkan mengadakan pemilihan parti pada 28 September ini.

Di Washington, Presiden Barack Obama dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh White House berkata, AS berharap untuk menjalin hubungan akrab dengan DP dan berharap dapat memulakan rundingan awal dengan Tokyo yang akan menyentuh isu nuklear Korea Utara.

- AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts