Selasa, September 01, 2009

Malaysia jadi pusat WiMAX

Dengan kepadatan kira-kira dua bilion penduduk, rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan menjadi pasaran yang luas kepada perkembangan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

Penduduk di kedua-dua rantau itu terutama di India, Pakistan dan Bangladesh serta sebahagian besar di Asia dikatakan merupakan pengguna yang paling cepat mengikuti perkembangan teknologi bergerak.

Kerana itu juga, hampir kesemua syarikat utama dalam bidang ICT mempunyai tapak di negara-negara rantau ini dalam usaha untuk merebut pasaran.

Faktor pasaran dan potensi pengguna itu juga memberi peluang kepada pelbagai inovasi teknologi bergerak lain untuk berkembang termasuk perkhidmatan Worldwide Interoperability of Microwave Access atau singkatannya WiMAX.

Ketika ini, di kalangan 13 negara di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan, capaian kepada teknologi Internet tanpa wayar itu hanya sekitar tiga peratus sahaja.

Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada pengendali WiMAX di seluruh dunia untuk memperkenalkan produk itu termasuk peneraju utama di Malaysia iaitu Packet One Networks (Malaysia ) Sdn. Bhd. (P1).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai berkata, Malaysia juga mampu memainkan peranan untuk muncul sebagai pusat WiMAX di rantau Asia dengan adanya inisiatif daripada kerajaan yang mengeluarkan lesen.

Di peringkat tempatan, P1 yang baru melewati usaha setahun memperlihatkan pencapaian yang cemerlang dalam menawarkan perkhidmatan WiMAX kepada penduduk di negara ini.

Menurutnya, WiMAX merupakan jalur lebar berkelajuan tinggi yang membolehkan pengguna mengakses Internet dengan pantas menerusi jalur lebar tanpa wayar.

"Setakat ini, hanya 25 peratus daripada enam juta jumlah penduduk menggunakan Internet mempunyai akses jalur lebar walaupun sudah berkembang dengan pantas di dunia.

Sehingga kini, liputan WiMAX oleh P1 merangkumi sembilan pasaran iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu dan Negeri Sembilan.

Merancakkan lagi perkhidmatan tersebut, menjelang tahun depan, Michael berkata, semua komputer riba dan netbook yang dipacu oleh Intel akan dilengkapi dengan set cip WiMAX.

"WiMAX akan dibina dalam komputer riba dan pengguna tidak perlu modem USB lagi. Apabila komputer riba dipasangkan, isyarat WiMAX boleh dikesan sepertimana perkhidmatan WiFi yang kini boleh didapati dalam kebanyakan komputer riba," katanya.

Tambahnya, pada hujung tahun depan atau awal tahun 2011, peralatan seperti kamera digital, audio dan visual digital (MP3 dan MP4), kamkorder, pemain PSP, Nintendo Wii yang dikenali 'elektronik pengguna' akan mempunyai WiMax terbina dalam bagi membolehkan pengguna mengakses Internet.

"Ini hanya langkah pertama untuk memperkenalkan benda-benda yang lebih besar dan menarik. Bayangkan kemungkinan dan potensi serta peluang pekerjaaan baru yang mampu diwujudkan," ujarnya.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia (Pikom), lebih 135,000 peluang pekerjaan mampu diwujudkan sekira negara ini mencapai jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang hujung tahun depan.

Pada Mei tahun lalu, P1 menerusi syarikat induknya, Green Packet berjaya memperoleh pelaburan berjumlah RM50 juta daripada Intel, menjadikan P1 salah satu telekomunikasi WiMAX dilaburkan oleh Intel di dunia.

Beliau bagaimanapun berkata, jalur lebar tanpa wayar tidak akan berkembang tanpa Peralatan, Rangkaian dan Aplikasi (DNA - Device, Network, Application) yang mantap untuk kegunaan orang ramai.

P1 telah memperuntukkan RM1 bilion bagi tempoh lima tahun mulai tahun lalu hingga 2012 untuk perkhidmatan WiMAX.

Namun begitu, ujarnya, seperti pengendali mudah alih yang lain, pihaknya tidak dapat membina tapak dengan lebih pantas bagi memberi perkhidmatan kepada pengguna.

Katanya, kelulusan pembinaan tapak mengambil masa antara sebulan hingga tiga bulan, paling minimum atau sehingga setahun bergantung kepada keadaan kerana melibatkan 15 langkah.

"Proses ini melibatkan maklumat terperinci termasuk peninjauan tapak, perancangan frekuensi radio dan untuk memperoleh tapak itu, kami perlu mengenal pasti pemilik.

"Kemudian, kami perlu mengemukakan cadangan teknikal kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seterusnya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tenaga Nasional Bhd. (TNB), pihak bomba dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Tambah beliau, selain itu, persepsi penduduk terutamanya mereka di kawasan luar bandar masih bimbang frekuensi yang dipancarkan akan menjejaskan kesihatan mereka.

Malah menurutnya, tapak tersebut telah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan SKMM sambil menjelaskan, frekuensi yang dipancarkan lebih kecil berbanding ketuhar gelombang mikro.

"Justeru, kerajaan seharusnya meningkatkan kesedaran rakyat menerusi pendidikan yang berterusan," tegasnya.

P1 menyasar untuk meliputi 35 peratus penduduk di negara ini tahun ini, 45 peratus pada tahun depan di samping bercadang meluaskan perkhidmatan jalur lebarnya ke Sabah dan Sarawak pada tahun sama (tetapi tertakluk kepada kelulusan daripada SKMM) dan 65 peratus menjelang 2012.

Kini, asas pelanggan WiMAX P1 telah mencecah 80,000 orang.

"P1 menyediakan apa yang dikehendaki oleh rakyat, iaitu perkhidmatan jalur lebar yang mampu dimiliki, berprestasi tinggi dan boleh dipercayai...kami mahu mencapai kejayaan hebat dalam tempoh singkat," katany beliau.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts