Khamis, Ogos 13, 2009

Qari Iraq, Qariah Malaysia juarai Tilawah Al-Quran


Qari dari Iraq Usamah Abdullah dan qariah dari Malaysia Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman menjuarai peringkat masing-masing pada Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Qari dan qariah itu masing-masing menerima hadiah wang tunai RM14,339, piala, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Yang diPertuan Agong Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun.

Johan qari memperoleh 91.96 peratus sementara johan qariah mendapat 94.75 peratus.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu naib johan qari ialah dari Indonesia Jafar Hadi Fardi Aghchay dengan pungutan markah 91.92 peratus dan qariah Natipa Manasia dari Thailand yang mendapat mata 88.46 peratus, yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,754 setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Dengan pungutan markah 91.97 peratus qari Azhar Darma Djunaidi yang juga dari Indonesia dan 88.46 peratus, qariah dari Brunei, Dayang Nurul Akmalina Yahya berjaya meraih tempat ketiga sekaligus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM7,169 setiap seorang, cenderamata dan sijil penyertaan.

Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai RM3,584 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' itu yang bermula Rabu lepas menyaksikan penyertaan seramai 66 peserta iaitu 42 qari dan 24 qariah dari 43 negara.

Sementara itu Johan Qariah Sharifah Khasif Fadzillah, 27, berkata beliau berhasrat untuk berehat seketika daripada menyertai pertandingan tilawah selepas impiannya untuk menjuarai tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tercapai sebelum memasuki usia 30 tahun.

"Saya ingin berehat buat seketika dan mungkin ingin memberi peluang kepada generasi pelapis pula. Insya-Allah pada masa akan datang, kalau ada rezeki saya sertai lagi," kata beliau yang berhasrat untuk mengadakan majlis kesyukuran untuk guru-gurunya.

Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa diadakan bermula pada 9 Mac 1961 pada setiap tahun selepas negara menganjurkan musabaqah alQuran peringkat kebangsaan kali pertama Mei 1960.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts