Ahad, Ogos 16, 2009

Gaya hidup sihat, elak osteoporosis

Kepada pembaca wanita terutama yang sedikit berusia, pernahkah anda berasa sakit ketika hendak duduk, berdiri, batuk atau mungkin ketika memeluk seseorang?

Jika jawapannya ya, anda perlu lebih berhati-hati kerana mungkin anda salah seorang daripada lebih sejuta rakyat Malaysia yang menderita osteoporosis.

Osteoporosis atau poros tulang adalah sejenis penyakit metabolik di mana tulang mengalami kerapuhan sedikit demi sedikit lalu mengundang kepada risiko retak terutama di bahagian pinggul, tulang belakang dan lengan.

Ia boleh berlaku di kalangan lelaki dan wanita, namun wanita lebih berisiko menghidapinya terutama ketika melewati menopaus atau disebut osteoporosis putus haid.

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, Profesor Chan Siew Pheng berkata, osteoporosis menjejaskan kesihatan lebih kurang 200 juta orang di seluruh dunia.

"Ia melemahkan kekuatan tulang menjadikannya mudah retak selepas trauma yang minimum atau kecil," katanya.

Jelas beliau, osteoporosis boleh menjejaskan kesihatan, mengganggu kehidupan harian juga mengancam nyawa pengidapnya.

"Biasanya berlaku keretakan pinggul yang menjejaskan kualiti hidup dan hilang kebergantungan akibat kehilangan upaya dan pergerakan yang terhad.

Disebabkan ini, pesakit memerlukan penjagaan dan bantuan jangka panjang kerana keupayaan pergerakan mereka terhad," katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia.

Menurutnya, pada tahun 1997, kejadian pinggul retak di Malaysia di kalangan individu yang berusia lebih 50 tahun adalah 90 bagi setiap 100,000.

Keretakan pinggul katanya berkait rapat dengan morbiditi dan kadar kematian tinggi dalam lingkungan 20 hingga 25 peratus pada tahun pertama selepas pesakit mengalami keretakan.

"Kebanyakan yang terselamat akhirnya hilang upaya dan hanya 25 peratus yang dapat meneruskan aktiviti normal.

Menurut Siew Pheng, kos kemasukan hospital bagi keretakan pinggul tahun 1997 dianggarkan pada kadar sebanyak RM22 juta.

Kajian juga menunjukkan pesakit-pesakit yang mencapai keperluan rawatan sebanyak 50 peratus mempunyai risiko keretakan yang sama dengan mereka yang tidak mendapatkan sebarang rawatan.

Sementara, kajian terbaru oleh Yayasan Osteoporosis Antarabangsa menunjukkan bahawa 60 hingga 80 pesakit yang mengamalkan ubat makan berhenti dari mengambil ubat rawatan dalam tempoh setahun.

Apa yang menyebabkan osteoporosis?

Menurut Siew Pheng, tulang manusia berterusan melalui proses pembentukan semula, di mana tulang merosot dan terbentuk semula.

Dua jenis sel terlibat dengan proses ini, osteoblast bertanggungjawab menghasilkan matriks tulang dan pemineralan tulang. Manakala osteoclast untuk menyah tulang.

Jika badan mula menyerap tulang lebih cepat berbanding penghasilan tulang baru, lama kelamaan terdapat penurunan ketumpatan mineral tulang (BMD), lalu osteoporosis berlaku.

Wanita secara relatifnya terlindung daripada osteoporosis sebelum mereka mencecah usia menopaus, disebabkan penghasilan estrogen yang menggalakkan penghasilan tulang sihat.

Bagaimanapun, selepas menopaus terdapat penurunan penghasilan estrogen yang menyebabkan berlakunya risiko osteoporosis.

Lelaki mengalami osteoporosis pada usia emas berbanding wanita dan ia berkait rapat dengan pelbagai faktor antaranya bangsa, gaya hidup tidak sihat, paras testosteron yang rendah dan sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis.

Menurut Siew Pheng lagi, di Asia, kes keretakan pinggul banyak berlaku kepada wanita berbangsa Cina. Osteoporosis juga katanya merupakan penyakit yang diwarisi daripada ibu bapa.

Kesan

Menjelang 2050, dijangka insiden keretakan pinggul di kalangan lelaki meningkat 310 peratus dan wanita 240 peratus.

Mengikut statistik ini osteoporosis boleh dirujuk sebagai 'epidemik senyap'. Seorang daripada dua wanita dan seorang daripada empat lelaki umur melebihi 50 tahun akan mengalami keretakan berkaitan dengan osteoporosis sepanjang hidup mereka.

Walaupun keadaannya tidak mengancam nyawa, kesannya sangat terasa. Purata sebanyak 24 peratus pesakit pinggul retak berusia lebih 50 tahun dan meninggal dunia pada usia berikutnya selepas mengalami masalah ini.

Di sebalik fakta yang mengatakan keretakan mudah berlaku pada wanita, lelaki juga sebenarnya terdedah kepada kematian yang berkaitan dengan masalah ini.

Simptom

kehilangan berat badan dengan kesan pembengkokan ketara pada tulang belakang disebabkan tekanan vertebral. Bagaimanapun, simptom pertama yang jelas kelihatan adalah jika mengalami keretakan tulang, di mana keadaan ini dikenali sebagai 'pembunuh senyap' - yang mana setiap orang tidak menyangka mereka mengalami osteoporosis hinggalah mengalami komplikasi.

Bagaimana merawat osteoporosis

Objektif rawatan osteoporosis adalah melambatkan perkembangan penyakit, meningkatkan kepadatan tulang dan mengelakkan komplikasi.

Antara rawatan yang biasa digunakan ialah

l ubat antiresoptif, yang mengelakkan tulang daripada retak. Ia mengandungi bisfosfonat (BPs), estrogen analog dan kalsitonin.

l terapi gantian estrogen atau terapi gantian hormon (ERT/ HRT)

l agen pembina tulang untuk membantu osteoporosis teruk. Ia mengandungi hormon paratiriod.

Selain itu Siew Pheng turut menasihatkan semua wanita mengambil suplemen dan ubat khas bagi mengelak masalah ini terutama kepada mereka yang meningkat usia.

"Kita tidak boleh mengelak 100 peratus, namun boleh melambatkan prosesnya," kata beliau.

Kalsium dan vitamin D adalah bahagian penting dalam terapi osteoporosis dan ia juga mampu mencegah masalah pinggul retak ketika usia tua. Pesakit dinasihatkan mengambil kalsium dan vitamin D di samping BPs untuk mengelakkan risiko hipocalcamea. Nutrisi dan gaya hidup memainkan peranan penting dalam mencegah dan merawat osteoporosis.

Rawat dengan aclasta

Hanya sekali rawatan melalui infusi intravena Aclasta selama 15 minit, ia memberi perlindungan daripada osteoporosis sepanjang tahun.

Menurut kajian yang dijalankan, Aclasta terbukti secara klinikal meningkatkan kepadatan mineral tulang dan mengurangkan risiko sebanyak 35 peratus.

Risiko keretakan baru pada tulang belakang juga dikurangkan sebanyak 45 peratus manakala pada bahagian lain adalah 27 peratus.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts