Jumaat, Ogos 21, 2009

Cara selebriti sambut puasa sambut puasa

Bulan Ramadan terkandung pelbagai nikmat yang tidak terhingga. Baik dari segi amalan, ibadah yang dilakukan juga menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Justeru, kedatangan Ramadan dinanti-nantikan oleh sekalian umat Islam bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

Sebagai manusia biasa, golongan artis dan selebriti juga seboleh mungkin ingin memenuhi kesempatan yang ada dengan menjalani pelbagai ibadah sampingan selain berpuasa.

Ikuti temuramah pemberita dengan beberapa selebriti tempatan, bercerita tentang Ramadan tahun ini yang mula disambut hari ini.

Nabil berbuka dengan keluarga

Pelakon dan pelawak popular kelahiran Negeri sembilan, Ahmad Nabil, Ramadan kali ini tiada bezanya dengan Ramadan yang dilewati sebelum ini.

Bagi anak muda ini, tidak banyak persiapan dilakukannya untuk menyambut bulan penuh berkat itu sebaliknya, dia memilih untuk bersederhana.

Apa yang menggembirakan Nabil ialah, bulan Ramadan memberi peluang kepadanya untuk menggandakan amalan selain mengurangkan aktiviti seni.

"Insya-Allah hari pertama puasa saya akan pulang ke kampung berbuka puasa bersama-sama keluarga.

"Azam saya Ramadan tahun ini nak lengkapkan ibadah puasa saya seperti-tahun-tahun lalu," katanya.

Menurut Nabil dia kini sibuk menjalani penggambaran drama Sonata Labu Labi sehingga November ini.

Scha berbuka di lokasi

Sebagai pelakon baru, pelakon siri popular Awan Dania, Scha Alyahya atau Scha tidak dapat lari daripada aktiviti lakonan yang perlu diselesaikan sebelum ketibaan Syawal.

Seperti tahun lalu, dia kali ini masih lagi menjadikan lokasi pengambaran sebagai tempat untuknya berbuka puasa.

Buat masa ini, Scha sibuk menjalani penggambaran Awan Dania 2 dan penggambarannya berlarutan hingga ke bulan puasa.

"Walaupun, waktu berbuka puasa itu adalah waktu yang paling tepat untuk bersama ahli keluarga namun, tanggungjawab juga harus Scha dahulukan.

"Apa yang saya harapkan, tahun ini dapat sempurnakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin," katanya yang menggemari juadah ayam percik dan air tebu sebagai menu utama berbuka puasa.

Rosyam ingin banyak bertarawih

Selain melakukan banyak ibadat dan amal jariah, aktor popular, Rosyam Nor juga tidak mahu terlepas daripada menunaikan solat sunat terawih.

Sebolehnya, kata Rosyam, dia tidak mahu ketinggalan untuk menambah amalan di bulan mulia ini dengan memperbanyakkan solat tarawih pada Ramadan kali ini.

"Ramadan kali ini saya akan mengurangkan aktiviti lakonan kerana mahu menumpukan lebih perhatian kepada amal ibadat terutamanya dengan memperbanyakkan tarawih.

"Lagipun kebetulan saya baru sahaja selesai satu pembedahan kecil di tangan kerana terjatuh semasa pengambaran filem Libas baru-baru ini. Sebab itu, saya rasa perlu banyak berehat.

"Saya paling nantikan waktu berbuka puasa kerana dapat berbuka bersama isteri dan anak-anak tersayang dan mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan kami.

"Untuk hidangan berbuka puasa, saya bukanlah seorang yang memilih tentang makanan. Nasi dengan lauk pauk Melayu disertai dengan ikan masin pun sudah memadai bagi saya," ujar pelakon utama filem Libas itu.

Anne berbuka puasa di Taiping

Sementara itu, bagi penyampai radio Hot FM, Anne, Ramadan kali ini amat dinantikan kerana inilah kali pertama dia berkesempatan berbuka puasa bersama keluarga sejak bertugas di stesen berkenaan.

Memasuki tahun ketiga bersama Hot FM dan dua tahun sebelum ini, dia lebih kerap berbuka puasa di konti atas tuntutan tugas.

Bagaimanapun, pada tahun ini Anen memperoleh cuti pada minggu pertama puasa.

Sehubungan itu, Anne merancang pulang ke kampung halamannya di Taiping, Perak mencari peluang berbuka bersama ahli keluarga yang lain.

"Kesempatan itu juga membolehkan saya ke bazar Ramadan di kawasan kampung kerana pilihan makanan di sana lebih banyak dan menarik menarik.

"Antara menu yang paling saya suka pada bulan Ramadan ialah ayam percik sebab pada hari biasa susah nak jumpa," ujar pemilik nama sebenarnya Putri Andreanna Syigim Mohd. Razalli itu.

- UTUSAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts