Ahad, Ogos 16, 2009

7 hilang RM60,000 ditipu 'pegawai BNM'

Polis mengesan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan tujuh mangsa di negeri ini dengan kerugian RM60,000, sejak awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata mangsa ditipu menggunakan taktik sama iaitu dihubungi melalui telefon bimbit sebelum meminta butiran peribadi.

“Mangsa mendakwa pegawai bank terbabit menelefon dan memberitahu mereka berhutang dengan sebuah bank komersial menggunakan kad kredit sedangkan mereka tidak mempunyai kad itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, selain itu, pegawai bank terbabit turut meminta mangsa memberikan nombor akaun bank bagi membolehkan mereka membuat semakan di bank bagi memastikan mangsa tidak menipu.

Katanya, bagaimanapun, apabila mangsa memberikan nombor akaun, mereka dapati duit dalam bank dikeluarkan pihak tertentu sehingga ada yang mengalami kerugian RM35,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi di Taiwan. Bagaimanapun, kita masih melakukan siasatan lanjut,” katanya yang meminta mangsa segera melaporkan kepada polis.

Sementara itu, seorang kerani sebuah syarikat perindustrian di Prai nyaris menjadi mangsa selepas anggota sindiket itu menghubungi Norliana Muslim, 26, menerusi telefon bimbit kira-kira jam 10.20 pagi, 12 Ogos lalu.

Beliau berkata, anggota sindiket itu menyamar sebagai pegawai bank dan memberitahunya mempunyai hutang RM5,630 dengan menggunakan kad kredit sebuah bank komersial pada 9 Jun lalu.

“Saya tidak pernah mempunyai akaun dengan bank itu. Apabila saya menghubungi bank berkenaan, mereka memaklumkan ia palsu,” katanya.

- BERITA MINGGU

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts