Ahad, Julai 05, 2009

Waspada dengan syarikat tawaran pekerjaan

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Hajat sepasang suami isteri ini ialah untuk mendapatkan pulangan lumayan hasil pelaburan mereka melalui Internet.

Tetapi malangnya selepas menambah pelaburan sehingga sebanyak RM30,000 dan berhenti kerja untuk menumpukan bisnes dalam Internet itu, rupa-rupanya ia hanya tipu helah belaka.

Kisahnya bermula apabila pasangan itu mendaftar di sebuah syarikat yang menawarkan kerja memasukkan data kononnya untuk kegunaan pasar raya besar terkemuka dunia, Wal-Mart.

Mereka membuat pelaburan awal sebanyak RM3,120 untuk membuka tiga akaun di syarikat itu sejak Februari lalu dan tidak curiga kerana pelaburan membuahkan hasil.

Sebagaimana dijanjikan iaitu RM600 sebulan bagi setiap akaun yang dibuka, pasangan itu berjaya memperoleh RM3,600 untuk tempoh dua bulan pertama.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Eshwar, 40-an menceritakan, setelah membuka akaun mereka diberikan kata laluan untuk mengakses laman web syarikat tersebut bagi kegunaan memasukkan data-data yang diberikan setiap hari.

"Tugas pemegang akaun ialah memasukkan kesemua 30 data yang dimuat turun dari laman web itu ke dalam ruangan disediakan," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

Beliau berkata, data-data tersebut didakwa transaksi pembelian barangan secara online dari seluruh dunia untuk pasar raya besar Amerika Syarikat, Wal-Mart.

"Kami yakin dengan pulangan itu dan mengeluarkan wang simpanan RM30,000 pula untuk membuka 27 lagi akaun, dua minggu lalu.

"Saya juga telah meletakkan jawatan sebagai jurufoto di sebuah syarikat pengurusan majlis untuk memberi tumpuan kepada kerja itu," katanya.

Beliau berkata, malangnya minggu lalu, laman web syarikat itu tidak lagi dapat diakses dan kunjungan ke pejabatnya pula mendapati ia telah ditutup dan tidak lagi beroperasi.

"Semasa ke pejabat syarikat itu, kami menemui ramai yang menjadi mangsa. Rupa-rupanya ada yang lebih malang dengan kerugian RM120,000.

- MINGGUAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts