Siapa juara sulung Oo La La?


Kehadiran rancangan yang berbentuk realiti TV sejak kebelakangan ini saling tidak ubah seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Selepas satu demi satu rancangan realiti TV menemui penghujungnya, muncul pula rancangan realiti TV yang lain.

Konsep rancangan realiti TV ini kebanyakannya sama iaitu matlamatnya mencari penghibur serba boleh atas bimbingan tenaga-tenaga pengajar di dalam rancangan itu.

Bagaimanapun, ada kelainan yang dapat disaksikan dalam rancangan realiti Oo La La terbitan TV9.

Oo La La diterbitkan dengan hasrat menjejaki bakat baru remaja dalam bidang nyanyian. Yang berbezanya ialah, para peserta dibimbing oleh salah seorang ahli keluarga mereka sendiri.

Malam esok bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada pukul 9.35 malam, TV9 akan menyiarkan secara langsung peringkat akhir Oo La La.

Malam kemuncak itu akan menyaksikan tiga peserta beradu nasib untuk merebut gelaran juara Oo La La yang pertama.

Mereka ialah Sha dengan bapa saudaranya, Aris Ariwatan, Emeer dengan ayahnya, Bakri Mamat dan Amira bersama ibunya, Alina Saad.

Sebelum ini seramai 10 pasangan telah dipilih dan daripada jumlah itu, enam pasangan terdiri daripadanya penyanyi terkenal tanah air.

Sementara empat pasangan lagi merupakan orang awam yang berbakat dalam bidang nyanyian.

Di kalangan enam artis itu ialah Andy Flop Poppy dan anaknya Megat Danial, Juliza Adzlizan bersama dua anak saudaranya, Ajreena dan Shakina, Neves dari kumpulan Pretty Ugly bersama Reen, Eddie Hamid dan Farah serta Aris Ariwatan dan Shahida.

Sementara empat lagi pasangan terdiri daripada Emeer dari MyStarz LG bersama bapanya Bakri, Afiq (Idola Kecil) bersama kakaknya Rini, Amira bersama ibunya Alina dan Dilla bergandingan dengan bapanya Yazid.

Menurut penerbit Oo La La, Azman Abdul Ghafar, pertandingan ini berbeza dengan pertandingan nyanyian lain kerana pertandingan ini menyuntik elemen kekeluargaan.

"Ia memaparkan bagaimana seorang ibu memberi tunjuk ajar dan galakan kepada anaknya, ketegasan seorang pakcik dan macam-macam lagi.

"Walaupun ini merupakan cubaan pertama, saya amat berpuas hati dengan sambutan daripada orang ramai dan Insya-Allah program ini akan diteruskan untuk musim yang kedua," ujarnya.

Tambah Azman, pada peringkat akhir malam esok, para penonton berpeluang menyaksikan setiap peserta mendendangkan tiga buah lagu iaitu secara solo, berduet dengan pasangan mereka serta berduet dengan artis-artis jemputan.

Tidak ketinggalan, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan juara-juara Mentor ketiga-tiga musim iaitu Pija, Fiq dan Black.

Di peringkat akhir ini, format pengiraan undi berdasarkan undian penonton melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sebanyak 50 peratus dan selebihnya pula daripada juri profesional yang telah dilantik untuk mengikuti perkembangan para peserta dari minggu ke minggu.

Format begini lebih memberi cabaran kepada peserta kerana 50 peratus undi penentu mereka adalah daripada juri profesional iaitu Atilia dan Azmeer.

Pertandingan Oo La La menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 kepada juara sementara tempat kedua akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan tempat ketiga RM10,000.

Sha gentar dengan 'budak kecil'

Bagi salah seorang peserta Oo La La, Sha, 18, yang juga anak saudara penyanyi Aris Ariwatan, dia sangat gentar untuk berhadapan dengan pesaingnya.

Penuntut tahun kedua pengajian diploma dalam jurusan Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara ini, dia harus bekerja keras untuk memastikan kejayaan berpihak padanya.

Sha atau nama sebenar Noor Shahida Jamaluddin biarpun lebih 'tua' daripada dua pesaingnya, Amira dan Emeer, namun itu bukan alasan kenapa dia boleh yakin untuk meraih juara.

"Walaupun mereka berdua lebih muda daripada Sha, tetapi kebolehan mereka tidak dapat dijangka.

"Sha tidak pernah memandang rendah kebolehan mereka kerana bagi Sha mereka semua amat berbakat. Malah Sha sentiasa berkongsi pengetahuan, tidak kira umur, sesuai dengan konsep kekeluargaan di dalam Oo La La," ujarnya yang akan menyanyikan lagu medley Nirmala, Kurik Kundi dan Dikir Puteri bagi persembahan solo pada final nanti.

Pada malam kemuncak itu juga, Sha akan berduet dengan Aris yang disapanya dengan panggilan Pak Uda dalam lagu Alhamdulillah. Sementara lagu pilihannya untuk berduet dengan artis popular Misha Omar pula ialah Cinta.

Emeer mahu terus diingati

Finalis lelaki tunggal Oo La La, Mohd Emeer Iskandar Mohamad Bakri, namanya mungkin tidak asing lagi bagi pengikut pertandingan-pertandingan nyanyian di sekitar Malaysia.

Emeer yang berusia 14 tahun pernah menjadi peserta lima terakhir di dalam rancangan Mystarz LG yang pertama. Malah dia juga merupakan finalis pertandingan Worldstar - Road To Hollywood 2009 baru-baru ini.

Untuk memastikan bakatnya terus diingati, bakat kecil dari Kuantan, Pahang ini mencuba nasib di dalam Oo La La bersama bapanya, Mohamad Bakri Mamat dan berjaya sehingga ke peringkat akhir.

"Emeer dan Papa memang meminati bidang nyanyian dan apabila TV9 mengiklan rancangan Oo La La ini, kami mencuba nasib dan Alhamdulillah layak sehingga ke peringkat akhir.

"Selain dapat menonjolkan bakat dalam bidang nyanyian, rancangan ini bagus kerana menggalakkan aktiviti kekeluargaan. Sebagai contoh saya dan Papa saling meluangkan masa kerana minat yang sama.

"Kalah atau menang tidak penting kerana yang pasti saya akan memberikan persembahan yang terbaik agar ianya diingati dan meninggalkan kesan kepada penonton," ujar penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Mahkota 2, Kuantan ini lagi.

Emeer akan menyanyikan lagu solo Sampai Syurga manakala duet bersama dengan bapanya pula ialah lagu medley Syair Laila Majnun dan Gadis Melayu.

Emeer juga akan berduet bersama bekas vokalis Meet Uncle Hussin, Lan dalam lagu Patah Hati.

Amira menangis dimarahi emak

Antara ketiga-tiga peserta akhir ini, Amira Syahida Mohd Husin, 14 tahun, yang lebih mesra dipanggil Amira, mungkin tidak mempunyai pengalaman seperti yang lain.

Namun jangan sesekali ada yang memandang rendah kepada gadis ini kerana dia mahir bermain biola sambil menyanyi.

Ibunya, Alina Saad, yang turut mengiringinya di dalam Oo La La merupakan Pengarah Muzik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Pulapol.

Menyertai Oo La La memberi peluang peluang pada Amira mempelajari teknik nyanyian yang betul daripada ibunya

"Saya pernah menangis kerana dimarahi oleh emak ketika latihan, maklumlah, emak pegawai Polis. Ada masa dia tegas.

"Namun emak juga cepat lembut dan akan meminta maaf pada saya kerana sebak melihat anaknya bersedih agaknya. Itulah kasih sayang seorang ibu," ujar anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini.

Pada final Oo La La, Amira akan menyanyikan lagu Izinku Pergi. Pasangan anak beranak ini juga akan berduet menerusi lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta manakala lagu pilihan untuk berduet dengan penyanyi Ezlynn ialah Just Dance.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.