Keputusan terbaik PPSMI

Rakyat lega dengan keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa 2012.

Malah, isu yang menjadi pendebatan sejak enam tahun lalu terurai apabila Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil melaksanakan pembelajaran itu dalam bahasa ibunda masing-masing.

PPSMI akan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBI).

MBM dan MBI akan dilaksanakan kepada murid tahun satu dan tahun empat serta pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat pada 2012.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyokong pengumuman Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan PPSMI.

Beliau berkata, pemansuhan itu perlu dilaksanakan segera dan jangan menungggu beberapa tahun lagi.

“Saya gembira jika pemansuhan itu dapat dilaksanakan tahun depan.

“Mungkin kerajaan ada alasan sendiri, tetapi tidak perlu menunggu sehingga 2012,” katanya.

A Samad memuji langkah kerajaan mahu memartabatkan bahasa Malaysia terutama di kalangan anak muda dan meminta pertubuhan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) melakukan usaha itu.

Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Lim Swee Tin, berkata kerajaan memang mahu memansuhkan PPSMI secepat mungkin, tetapi banyak faktor yang perlu diambil kira.

Menurutnya, perubahan dasar pendidikan memberi kesan kepada banyak pihak terutama pelajar, justeru ia harus diteliti bagi mengelak kesan negatif.

“Sesuatu keputusan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, malah Kementerian Pelajaran mengkaji dan mengambil masa lama sebelum membuat keputusan.

“Keputusan memansuhkan PPSMI itu sangat adil kepada semua pihak dan ia patut diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Beliau yang 38 tahun menjadi pendidik dan berpengalaman mengajar subjek Matematik selama 20 tahun mengakui bahasa Inggeris penting sebagai bahasa ilmu dan sebagai jaminan masa depan mereka.

“Sejak dulu, kita berpendapat tanpa penguasaan bahasa Inggeris, kita tidak akan maju.

“Tetapi dengan kehebatan bahasa Melayu, kita mampu melahirkan generasi muda berkebolehan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron, berkata keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI memang tepat.

Ini kerana, katanya, pada 2012, buku tambahan untuk Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia adalah mencukupi.

“Dengan keputusan itu, kami boleh bersedia dan meminta pendapat Kementerian Pelajaran berhubung buku yang boleh diterjemah untuk kedua-dua subjek itu.

“Penterjemahan buku Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia juga lebih tersusun dan memenuhi aspirasi masyarakat dan selera pelajar,” katanya.

>Info
> PPSMI dilaksanakan pada 2003 dan mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.

> Selepas enam tahun menjadi pendebatan, kerajaan ber setuju memansuhkan pada 2012.

> Keputusan pemansuhan itu juga adalah berdasarkan kepada beberapa perkara:

> Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Ing geris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

>Pemantauan kementerian mendapati Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007.

> Bagi subjek Matematik pula, laporan sama menyatakan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.

> Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap pe ningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pe laksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003.

Berikut antara kelemahan PPSMI:

> Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus sekolah luar bandar.

> Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 untuk subjek Matematik bagi murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, luar bandar merosot daripada
80.9 peratus kepada 77 peratus.

> Peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang di peruntukkan bagi subjek Sains dan Matematik.

> Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada 2008 mencapai tahap pro fisiensi.

> Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik semakin melebar.

- HARIAN METRO Keputusan terbaik PPSMI

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.