Jumaat, Julai 24, 2009

PM Najib sambut harijadi ke 56


Datuk Seri Najib Razak berkata, harapannya pada hari ulang tahun kelahirannya ke-56 semalam ialah untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan bersatu.

Perdana Menteri berkata, ia selaras konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang beliau ilhamkan.

"Saya hendak rakyat tahu mereka mempunyai penyertaan dan sentiasa dihargai atas sumbangan kepada negara," katanya ketika menghadiri Wacana Cabaran Perdana Kepemimpinan Dalam Ekonomi Inovasi di Hotel Marriot Putrajaya, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa menteri, timbalan menteri, Menteri Besar, ketua pegawai eksekutif syarikat dan ketua industri.

Pada majlis itu, Perdana Menteri diraikan oleh tetamu termasuk pengurusan hotel yang menghadiahkan kek dan kad hari lahir serta diikuti upacara memotong kek.

Najib turut mengikuti sesi ceramah tertutup pada wacana anjuran Pusat Pendidikan Eksekutif Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dengan kerjasama Bank Rakyat yang dihadiri 63 peserta.

Menurut kenyataan akhbar penganjur, wacana berkenaan selari wawasan 1Malaysia dan hala tuju bagi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi inovasi.

Presiden dan Naib Canselor Unitar, Prof Datuk Dr Md Zabid Abdul Rashid, berkata wacana itu perintis kepada program kepemimpinan yang menumpukan prinsip utama bagi membolehkan pemimpin mengenal pasti, merangka strategi dan melaksanakan konsep sebuah ekonomi inovasi bagi menjadi-kan Malaysia, rakyat dan ekonominya lebih maju.

Turut hadir menyampaikan ceramah pada wacana berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Stanford Amerika Syarikat, Dr Curtis R Carlson dengan tajuk Inovasi dan Kreativiti dan Prof Teknologi dan Pengurusan Inovasi IMD International, Switzerland, Prof Jean-Philippe Deschamps yang menyampaikan ceramah bertajuk Inovasi Kepemimpinan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts