Jumaat, Julai 24, 2009

Pengguna Islam lupakan saja koleksi Bone China

Tiba-tiba perkataan Bone China yang menjadi pengenalan pinggan mangkuk mengandungi serbuk tulang binatang, terutama tulang babi menjadi perbualan umum apabila pengguna Islam kini ragu-ragu terhadap peralatan itu.

Kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya pengguna berhati-hati membeli pinggan mangkuk tertulis cap dagang itu, mengundang tindak balas yang mahu pihak berkuasa menangani isu dibangkitkan. Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, berkata orang ramai boleh mengenali perkakasan mengandungi tulang haiwan kerana kebanyakannya tercatat Bone China di belakangnya, iaitu istilah komersial pinggan mangkuk yang mengandungi tulang haiwan.

Katanya, perkakasan mengandungi tulang haiwan ditumbuk halus yang dicampurkan bahan asas untuk menjadikannya berkilat itu biasanya diimport dari Jepun dan United Kingdom (UK) dan harganya mencecah RM8,000 satu set.

Reaksi daripada pendedahan itu, orang ramai mula mengadu dan kenyataan menteri serta mufti mengharamkan penggunaannya, menambah lagi kebimbangan pengguna Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata perkakasan itu diharamkan walaupun hanya menggunakan sedikit tulang babi, malah sehelai bulu babi pun dilarang.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahab pula berkata, pinggan mangkuk yang mempunyai campuran tulang babi adalah najis dan hukumnya haram seperti menyentuh anjing dan babi.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata peniaga Islam yang meneruskan jualan selepas terbukti produk itu mengandungi tulang babi juga berdosa. Persoalannya, mengapa pinggan mangkuk yang sudah lama di pasaran tiba-tiba mengundang resah dan perlukah orang Islam panik.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar, menasihatkan umat Islam lebih peka membeli produk meragukan terutama selepas diberitahu mengenai perkara itu.

Katanya, pengguna perlu ringan mulut bertanya serta menggunakan kuasa pembeli supaya mendapat produk bermutu dan pada masa sama tidak rugi selepas itu.

“Jika tidak yakin, tanya jurujual atau sebelum beli lihat keterangan bahan produk. Jangan beli membuta tuli, nampak cantik terus beli. Tambahan apabila sudah ada pendedahan mengenai produk yang mengandungi bahan haram,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima aduan mengenai penjualan pinggan mangkuk mengandungi tulang babi, tetapi jika pemilik barang itu ingin membuat pensahihan, boleh merujuk Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim.

Zainal berkata, tindakan hanya boleh diambil terhadap jurujual yang mendakwa pinggan mangkuk itu halal tetapi selepas diteliti, ternyata ia mengandungi tulang binatang yang haram.

Kata beliau, ada peminat barang yang berkualiti serta mempunyai kelebihan berbanding pinggan mangkuk porselin tanpa tulang binatang itu sudah mengetahui statusnya tetapi tetap mahu memilikinya.

“Sama juga dengan beg tangan dan kasut yang sudah diberitahu daripada kulit babi tetapi sebab minat serta hendak barang itu, mereka tetap membelinya,” katanya.

Beliau berkata, harga mahal boleh adalah cara pengguna meneliti produk kerana pasti ada keistimewaan menjadikan ia dijual dengan harga begitu tinggi. Ada juga pihak mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak tegas menghalang penjualan produk itu atau menetapkan peniaga meletakkan label untuk pengetahuan pengguna.

Berbalik kepada bidang kuasa, tanggungjawab tetap terletak kepada pengguna kerana mereka ada pilihan untuk membeli atau tidak. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hanya boleh bertindak kepada isu membabitkan harga atau bekalan. Berdasarkan maklumat daripada laman web about.com, set Bone China sudah lama berada di pasaran dan ada yang dijadikan harta pusaka kerana kualiti serta harganya.

Pinggan mangkuk Bone China melalui beberapa peringkat proses pembuatan tetapi bahan yang membezakannya dengan pinggan mangkuk berkualiti halus lain ialah komponen serbuk tulang binatang yang dicampur ketika penghasilannya.

Walaupun barang Bone China nampak tahan lama, ia memerlukan penjagaan teliti dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mesin pencuci atau ketuhar gelombang mikro.

- BERITA HARIAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts