Rabu, Julai 29, 2009

Operasi Takaful di Malaysia

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN
Penolong Naib Presiden, Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Industri takaful sebagai salah satu penyumbang utama kepada petunjuk tersebut tidak kurang hebatnya menyemarakkan arus perdana kewangan negara.

Menyoroti sejarah lahirnya industri takaful di Malaysia akan menemukan kita dengan pelbagai rahsia kenapa industri ini walaupun jika diukur dari sudut umurnya masih boleh dikatakan muda, namun sudah mencatatkan pelbagai perkembangan serta kemajuan yang amat membanggakan.

Benih kelahiran sistem takaful di Malaysia banyak dipengaruhi oleh keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia yang memutuskan bahawa insurans hayat dalam bentuk yang ada ialah suatu kontrak yang tidak sah kerana mempunyai unsur-unsur gharar (ketidaktentuan), riba dan maisir (perjudian) seawal 15 Jun 1972.

Meningkatnya kesedaran dan rasa perlu umat Islam kepada sistem kewangan Islam pada masa tersebut di samping melengkapkan operasi bank Islam yang ditubuhkan pada tahun 1983, telah merintis satu penggembelingan usaha di kalangan pihak pemerintah dan para pengamal mencari jalan menubuhkan syarikat insurans Islam di Malaysia.

Hasilnya satu Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia ditubuhkan untuk merealisasikan aspirasi ummah tersebut. Berikutan syor Pasukan Petugas ini, Akta Takaful dikuatkuasakan pada tahun 1984 dan pengendali takaful yang pertama telah diperbadankan di Malaysia pada November 1984.

Maka bermulalah sejarah sebenar perjuangan industri takaful di Malaysia. Industri takaful di Malaysia yang bermula dengan hanya satu pengendali dan produk yang tidak banyak pilihan telah mengalami perkembangan yang pesat sejak ia mula diperkenalkan 25 tahun lalu.

Ia bukan sahaja satu industri yang dinamik dan berdaya maju malah telah boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam arus perdana sistem kewangan negara.

Rahsia di sebalik perkembangan yang amat membanggakan ini adalah hasil usaha bersepadu pihak yang menjadi tulang belakang kepada industri ini iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan para pengendali takaful itu sendiri yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Berbeza di awal sejarahnya, kini industri takaful tidak lagi digerakkan oleh satu pengendali malah dengan komitmen tidak berbelah bahagi pihak BNM, industri takaful telah dipacu oleh lapan pengendali takaful termasuklah dua pengendali retakaful.

Suasananya menjadi lebih 'meriah' dan mudah-mudahan akan membawa lebih kemakmuran kepada industri kewangan Islam negara.

Asas-asas seperti keupayaan untuk bersaing, kemampuan mengekalkan pertumbuhan dan komitmen pengukuhan kemampuan institusi membantu industri takaful ini terus berkembang walaupun dalam persekitaran kewangan yang mencabar.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut industri takaful mempunyai prospek yang sangat cerah untuk menjadi peneraju penyedia jaminan kewangan dan mekanisme pengurusan risiko kepada semua lapisan masyarakat, individu mahupun korporat.

Bagi mendapatkan sedikit tasawwur tentang sistem muamalat Islam yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat ini ada baiknya kita berkenalan dengan beberapa istilah penting. Perkataan Takaful adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud saling menjamin yang melibatkan sekumpulan peserta bersetuju untuk saling menjamin sesama mereka terhadap kerugian tertentu.

Perkataan Tabarru' pula bermakna derma, hadiah atau caruman. Peserta skim takaful bersetuju memberi sebahagian tertentu daripada caruman dalam kumpulan wang takaful sebagai derma untuk membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan.

Ia merangkumi unsur perkongsian tanggungjawab, indemniti bersama dan saling melindungi. Tabarru' merupakan teras kepada sistem takaful yang menghapuskan unsur-unsur gharar, riba dan maisir.

Dalam sistem takaful, pengendali takaful ialah hanya pentadbir kumpulan wang takaful dan mengurus kumpulan wang tersebut sebagai amanah bagi pihak peserta. Di Malaysia, kontrak di antara peserta dengan pengendali dimeterai menggunakan sama ada kontrak Wakalah atau kontrak Mudharabah.

Menerusi kontrak Wakalah, pengendali takaful dilantik menguruskan perlindungan takaful dan perkara yang berkaitan dengannya oleh para peserta dan peserta akan membayarkan fi sebagai upah di atas perkhidmatan yang diberikan.

Pengendali takaful di Malaysia rata-rata menggunakan kontrak Wakalah ini sebagai teras model mereka. Mudharabah pula, para peserta melantik pengendali takaful menguruskan perlindungan takaful dan perkara yang berkaitan dengannya. Hasil keuntungan pelaburan itu akan kongsi.

Dari sudut operasinya yang dipermudahkan, seseorang peserta akan mencarum sejumlah wang yang dikumpulkan dalam satu dana bersama untuk digunakan sebagai dana bagi membantu mana-mana ahli yang ditimpa musibah.

diamanahkan mengurus dana

Pengendali takaful diamanahkan mengurus dana berkenaan termasuklah melaburkannya bagi memastikan ia berkembang dan cukup untuk membantu ahli di kala menghadapi kesusahan.

Sumber pendapatan pengendali takaful adalah daripada keuntungan daripada pelaburan kumpulan wang pemegang saham, fi wakalah, bahagian keuntungan pelaburan kumpulan wang takaful, dan atau lebihan kumpulan wang takaful.

Seperti yang disebutkan di atas, industri takaful telah mencapai kemajuan dari sudut menawarkan produk-produk yang inovatif yang dapat memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat. Walaupun industri takaful ini masih lagi dikira baru namun telah mampu menawarkan produk setanding dengan produk-produk yang ditawarkan oleh industri insurans konvensional.

Industri takaful juga sudah boleh dikira telah lengkap dari sudut rantaian produknya yang merangkumi produk-produk yang berkaitan dengan pendidikan, perubatan, kesihatan, simpanan, berkaitan pelaburan, perlindungan kredit, perlindungan harta benda dan sebagainya.

Bermula dengan penawaran produk asas yang terhad kini industri takaful sudah boleh berbangga dengan rantaian produk yang ditawarkan sudah mampu memenuhi keperluan ummah. Pendek kata, tiada lagi alasan untuk tidak menjadikan produk-produk takaful sebagai pilihan.

Dengan kata lain, walaupun masih baru ditambah lagi dengan suasana kewangan global yang sangat mencabar, industri takaful, alhamdulillah tetap menunjukkan pertumbuhan memberansangkan.

Statistik tahun 2008 yang dikeluarkan oleh BNM menyaksikan industri takaful terus menunjukkan perkembangan yang positif. Dari segi aset Takaful Keluarga pada tahun 2008 mencatatkan RM8.9 bilion berbanding RM7.44 bilion pada tahun 2007. Bagi Takaful Am pada tahun 2008 mencatatkan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2007.

Daripada segi sumbangan diperolehi bagi kedua-dua sektor juga mencatatkan pertumbuhan iaitu sebanyak lebih kurang 18 peratus. Penguasaan pasaran dari sudut sumbangan bersih juga menunjukkan pertumbuhan iaitu lebih kurang 10 peratus pada tahun 2008 berbanding 8.7 peratus pada tahun 2007. Pasaran dari sudut aset pula meningkat daripada 6.7 peratus pada tahun 2007 kepada 7.5 peratus pada tahun 2008.

Dari sudut statistik, alhamdulillah telah menunjukkan pertumbuhan dan perkembangan yang positif. Namun dari segi pengisiannya masih banyak perkara yang masih dan perlu dilakukan bagi memastikan industri takaful ini akan terus berkembang dan dapat melebarkan sayap kesejahteraan kepada seluruh ummah.

Dengan pelbagai petunjuk yang ada memberikan keyakinan kepada kita bahawa industri takaful mempunyai prospek yang cerah untuk terus berkembang maju pada tahun-tahun mendatang. Hasil penggembelingan usaha semua pihak yang juga turut disokong oleh peningkatan kesedaran orang ramai terhadap produk takaful, ditambah pula pelbagai inovasi oleh pengendali takaful sendiri khususnya saluran pengagihan yang lebih efisien, membolehkan kadar penembusan pasaran lebih luas kepada segenap lapisan masyarakat.

Industri takaful di Malaysia juga amat bertuah kerana mendapat sokongan padu pihak pemerintah dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif menerusi penyediaan rangka kerja perundangan, pengawalseliaan dan syariah yang kukuh.

Ini akan terus menjadi pemangkin kepada industri takaful mengekalkan pertumbuhan yang pesat. Usaha dan inovasi yang berterusan terutamanya dalam penawaran produk-produk baru dan dalam memberikan perkhidmatan yang efektif kepada pelanggan akan terus menjadi penanda aras utama pertumbuhan industri takaful pada masa hadapan.

Penggembelingan tenaga untuk melahirkan industri takaful yang berkembang maju dalam ruang kerangka sistem kewangan Islam yang dinamik adalah satu amanah yang sangat mencabar. Namun yakinlah di sebalik cabaran tersebut sudah pasti akan ada kemanisannya. Amat rugi kiranya ada di kalangan kita yang tidak menempatkan dirinya bersama arus perdana ini.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts