Selasa, Julai 07, 2009

Lapan lokasi tumpuan lumba haram mat rempit di Terengganu

Lapan kawasan di seluruh negeri ini dikenal pasti sebagai lokasi utama mat rempit atau samseng jalanan menjalankan aktiviti lumba haram.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata lima kawasan panas mat rempit dikesan di bandar raya ini membabitkan antaranya Wakaf Mempelam, Durian Burung dan Wakaf Beruas, selain dua lokasi lain di Kemaman dan satu di Dungun.

Beliau berkata, setakat enam bulan pertama tahun ini, seramai 27 samseng jalanan ditahan dalam operasi cegah jenayah dan samseng jalanan dan terbaru, tiga remaja berusia 20-an ditahan di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, Jumaat lalu.

"Dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini, tiga samseng jalanan ditahan di Jambatan Sultan Mahmud atas kesalahan memandu secara melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya selepas melawat anggota polis trafik, Koperal Azli Husin, 44, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Koperal Azli cedera parah di kepala selepas dilanggar sebuah Proton Wira ketika operasi mencegah lumba haram di kilometer 79.6 Jalan Kuala Terengganu-Dungun, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa dilanggar kereta itu yang datang dari arah stesen minyak Petronas dan Sekolah Menengah Sains Dungun menghala ke pusat bandar.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, walaupun pelbagai musibah menimpa anggota polis, pihaknya akan terus menjalankan operasi bagi membanteras gejala samseng jalanan khususnya di seluruh negeri ini.

"Dalam masa sama, saya juga menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya tidak cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri, orang awam dan anggota polis yang bertugas.

"Perbuatan ingin melarikan diri itu akan menimbulkan masalah lebih besar. Kita mohon orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, isteri mangsa yang ditemui, Musalih Mohamad, 42, berkata, beliau reda dengan kemalangan menimpa suaminya dan menganggap kejadian yang berlaku adalah lumrah serta cabaran sebagai anggota polis.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts