Selasa, Julai 07, 2009

Krisis PR Kedah tidak jejas sokongan - Azmin

Krisis politik yang melanda dua negeri Pakatan Rakyat (PR) di Kedah dan Pulau Pinang tidak akan menjejaskan sokongan kepada calon Pas dalam pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, beliau menjangkakan isu tersebut akan digunakan UMNO sebagai bahan kempen menerusi bantuan media yang tidak menyebelahi PR.

“Saya percaya, krisis yang melanda dua negeri tersebut hanya melibatkan soal pentadbiran yang boleh diselesaikan melalui pemuafakatan, saya yakin kepimpinan DAP, Pas, PKR akan menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, semalam.

Dalam pada itu Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, PKR telah diberikan kepercayaan untuk menjaga tiga kawasan di bawah DUN Manek Urai yang mana Pas hanya menang dengan jumlah undi tipis sebelum ini.

Selain itu, PKR juga akan membantu jentera Pas membawa pulang sejumlah 1,000 pengundi di luar kawasan khususnya di Kuala Lumpur.

“Kita akan sedarkan rakyat Manek Urai bahawa suara mereka cukup kuat memberikan isyarat kepada UMNO dan BN bahawa mereka perlu mengotakan apa yang mereka ikrarkan termasuk konsep 1Malaysia yang dilaungkan.

“PR juga akan membangkitkan isu royalti minyak di mana komitmen Perdana Menteri dituntut, rakyat Kelantan tidak pernah dibayar walaupun mempunyai hak. Jika mendapat royalti ini saya percaya Kelantan dapat dibangunkan dengan lebih pesat lagi,” katanya.

Azmin juga percaya kerusi ini akan kekal menjadi milik PR setelah melihat sokongan padu yang luar biasa daripada penduduk Manek Urai.

- SINAR HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.