Selasa, Julai 14, 2009

Kawasan mengundi sesak

Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai berjalan rancak dengan ramai pengundi keluar awal untuk mengundi menyebabkan kebanyakan kawasan di sekitar tempat mengundi menjadi sesak.

Kesesakan yang berlaku itu bukan perkara luar biasa kerana seawal 10.30 pagi ini, 40 peratus daripada 12,293 pengundi sudah keluar mengundi.

Kedua-dua calon yang bertanding iaitu Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd. Fauzi Abdullah, 50, dari Pas, yang bukan pengundi kawasan itu turut melawat pusat-pusat mengundi sejak pukul 8 pagi bagi meninjau perjalanan pengundian itu.

Turut melawat pusat-pusat mengundi ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta Pengerusi BN Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian termasuk di Sungai Peria, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sok, SK Chuchoh Puteri, SK Lata Rek, Manek Urai dan Manjor, mendapati pengundian berlangsung dalam suasana aman dan lancar.

Kesesakan lalu lintas berlaku di hampir semua pusat pembuangan undi berikutan ratusan kenderaan diletakkan di kiri dan kanan jalan selain kehadiran orang ramai yang banyak.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts