Jumaat, Julai 24, 2009

Amaran tahap perpaduan

Hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk memerlukan persefahaman dan tolak ansur yang tinggi. Itulah yang menjadi pegangan Malaysia sejak sekian lama.

Perpaduan menjadi asas utama kepada usaha membangunkan negara. Tanpanya, negara akan kucar-kacir dan natijahnya, usaha pembangunan akan terbantut walaupun tidak musnah sama sekali.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini terdapat pelbagai insiden yang mencetuskan perasaan tidak harmoni di kalangan rakyat. Keadaan ini membimbangkan kerana jika tidak dibendung, ia boleh menjurus kepada perpecahan dan ketegangan yang boleh memudaratkan negara.

Menyentuh isu perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, beliau percaya elemen itu masih kukuh menjadi asas kepada keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Kata beliau, sekiranya ada perkara yang mencetuskan ketidakharmonian atau perasaan tidak selesa di antara kaum, ia boleh diatasi dengan semangat kerjasama, tolak ansur dan persefahaman.

Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi ini berpandangan, keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat masih dalam keadaan baik dan terkawal. Kata beliau, sekiranya ada pertikaian atau perselisihan, ia mungkin sudah menjadi adat dalam masyarakat.

"Dalam apa juga perhubungan manusia, ada ketikanya akan timbul perbezaan pendapat dan berlaku pertikaian. Perkara itu juga terjadi dalam hubungan adik beradik dan suami isteri. Apatah lagi dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

"Rakyat kita berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Sudah pasti akan wujud perbezaan sesekali. Tetapi berbanding negara majmuk lain, Malaysia mengamalkan perkongsian rakyat dalam semua perkara. Di situlah terletaknya keunikan kita,'' tegas beliau.

Tsu Koon yang turut bertanggungjawab ke atas Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu berkata, beliau sangat yakin perpaduan dan kerjasama erat wujud secara meluas di kalangan rakyat.

Cuma katanya, perpaduan dan kerjasama antara kaum bukanlah suatu perkara luar biasa yang boleh menjadi tajuk berita atau topik hangat perbincangan.

Menurut beliau, setiap hari terlalu banyak perlakuan yang mencerminkan perpaduan antara kaum dan agama berlaku di negara ini tetapi ia tidak mendapat perhatian berbanding sekiranya tercetus sesuatu insiden 'luar biasa'.

"Apabila tercetus insiden yang mencerminkan ketidakharmonian, maka ia menjadi perbincangan dan mendapat reaksi daripada semua pihak,'' tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pihak, tidak kira ahli politik atau individu, akan bersikap lebih berhati-hati semasa mengeluarkan sesuatu kenyataan bagi mengelakkan ia menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian hubungan dan perpaduan antara kaum dan agama.

"Jangan jadikan isu perkauman sebagai modal politik. Itulah harapan saya. Ahli-ahli politik juga perlu sedar bahawa menyemarakkan isu perkauman tidak menguntungkan sesiapa.

"Setiap ahli politik memerlukan sokongan kaum lain terutama sewaktu pilihan raya. Jangan korbankan sokongan mana-mana kaum. Kita perlu berhati-hati,'' ujarnya ketika menyuarakan rasa hati.

Menyedari kepentingan perpaduan antara kaum dan agama selain keburukan yang bakal tercetus sekiranya isu perpaduan tidak diberi perhatian, JPNIN kini mengorak langkah untuk membentuk satu sistem bagi memberi amaran berhubung tahap perpaduan di kalangan rakyat.

Menurut Tsu Koon, perkara itu baru di peringkat perbincangan dan ia melibatkan beberapa ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Katanya, JPNIN komited dengan usaha membangunkan sistem amaran awal mengenai tahap perpaduan antara kaum dan agama tersebut.

"Kita mahu gubal satu sistem pengukuran dan pemantauan. Saya percaya ini elok dilaksanakan kerana kita boleh mendapat maklum balas lebih tepat dan cepat menerusinya.

"Setakat ini ukuran mengenai tahap perpaduan yang kita jadikan pegangan ialah berdasarkan laporan polis melibatkan kes pertikaian atau pergaduhan antara kaum,'' jelas Tsu Koon.

Menteri ini berkata, pergaduhan atau perselisihan membabitkan kaum menurun sedikit pada tahun lalu berbanding 2007.

Menurut beliau, kebanyakan kes tercetus akibat masalah peribadi misalnya kemalangan jalan raya. Puncanya bukan perkauman tetapi bertukar menjadi isu perkauman apabila perselisihan tidak dapat diselesaikan. Dalam setahun terdapat kira-kira 1,500 kes melibatkan perselisihan antara kaum di negara ini.

"Jumlah itu memang tidak banyak kalau dibahagi ikut negeri dan ikut bulan atau dilihat daripada perspektif menyeluruh. Tetapi bila melibatkan antara etnik, ia dianggap luar biasa kerana ada potensi boleh merebak menjadi lebih serius.

"Kita mesti berjaga-jaga tetapi janganlah apabila tercetus sesuatu insiden, kita kata sudah tiada perpaduan. Saya yakin kita masih boleh atasi semua permasalahan berkaitan perpaduan antara kaum dan agama ini,'' jelasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, usaha mewujudkan satu sistem amaran awal itu diyakini boleh mengukur dan memantau keadaan atau situasi perpaduan di dalam negara

Katanya, walaupun agak sukar untuk mengukur tahap perpaduan tersebut, namun pengwujudan sistem itu diharap akan sedikit sebanyak membantu kerajaan mengawal keadaan.

"Menerusi sistem itu kita harap akan membolehkan kita mengesan lebih awal jika wujud sesuatu ketegangan melibatkan kaum atau agama di sesuatu tempat.

"Misalnya seperti yang berlaku di Kampung Medan. Selepas tercetus insiden di kampung itu, ada suara-suara yang menyatakan bahawa telah nampak tanda-tanda ketegangan sebelum itu. Jadi kita mahu kesan tanda-tanda ini lebih awal dan cuba kawal daripada merebak,'' kata beliau.

Beliau yang optimis dengan keberkesanan sistem yang sedang dirangka itu berkata, kerajaan atau pihak berkuasa boleh mendapat maklum balas segera apabila ada sesuatu kejadian.

"Jika terdapat tanda -tanda yang menunjukkan berlaku perselisihan, kita boleh masuk dengan cepat untuk meredakannya dan cari punca kenapa perselisihan itu tercetus,'' terangnya.

Kata Tsu Koon, ketegangan itu mungkin tercetus kerana ada isu yang belum selesai tetapi sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya langkah awal dan segera diambil apabila punca sesuatu perselisihan itu dikenal pasti.

Katanya, masalah kecil dan dianggap remeh-temeh membabitkan perselisihan antara kaum sebenarnya perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan ia bertambah buruk.

"Usaha mewujudkan sistem seumpama itu kini menjadi cabaran kepada JPNIN. Namun kami komited untuk menjayakannya. Sekiranya menjadi kenyataan, ia akan melibatkan banyak pihak termasuk polis dan persatuan penduduk.

"Bagaimanapun, kita kena tingkat kesedaran dan licinkan sistem laporan dan maklum balas supaya tindakan mencegah akan diambil dengan lebih cepat,'' tegasnya lagi.

Tsu Koon mengibaratkan sistem amaran awal tahap perpaduan antara kaum dan agama itu sama seperti sistem lampu amaran trafik atau termometer. Apa pun, sistem itu diharap dapat menjana usaha mengeratkan perpaduan kaum di negara ini.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts