Ahad, Jun 14, 2009

Temubual - Pas juga patut fikirkan bangsa

MINGGUAN: Boleh Dr. jelaskan apakah bentuk sebenar kerajaan perpaduan yang ingin ditubuhkan oleh Pas?

DR. AZHARUDIN: Sehingga kini masih belum jelas lagi apa sebenarnya yang diinginkan melalui kerajaan perpaduan. Semua pihak sama ada di pihak yang mengemukakannya iaitu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menghuraikan dengan lebih lanjut apa yang ingin disampaikannya melalui kerajaan perpaduan itu. Adakah kerajaan perpaduan ini hanya membabitkan Pas dengan UMNO sahaja atau pun merangkumi semua parti politik.

Di pihak UMNO sendiri isu mengenai kerajaan perpaduan ini masih lagi dalam keadaan yang samar-samar. Ia masih belum jelas sama ada dari segi konsep, pengisian atau pelaksanaannya. Bagi saya isu ini hanya dikemukakan oleh Abdul Hadi untuk menguji suasana sebenar keadaan politik di negara ini selepas pilihan raya lalu. Yang pertama sekali pada pandangan saya beliau ingin melihat apakah pandangan-pandangan beliau ini akan diterima oleh masyarakat.

Apakah idea-idea ini diterima oleh orang ramai atau tidak. Namun masih belum terdapat penjelasan apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh Abdul Hadi dan mereka yang menyokong idea ini. Oleh itu semua pihak sama ada Pas, DAP, PKR ataupun UMNO sendiri masih lagi tercari-cari apakah yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi tentang kerajaan perpaduan yang diuar-uarkannya.

Saya juga melihat idea ini bukanlah sesuatu yang baru dan ia pernah dilakukan sebelum ini.

Jika kita lihat sejarah UMNO dan Pas, hubungan sebegini pernah terjalin sebelum ini.

Walaupun ada pihak yang mengatakan kerjasama itu gagal kerana tidak berterusan namun kita tidak boleh menafikan hubungan sebegini pernah berlaku. Untuk menyatakan apakah bentuk kerajaan perpaduan yang dimaksudkan saya rasa adalah sangat sukar untuk dinyatakan secara terperinci sehingga ia diperjelaskan dengan terang dan nyata oleh beliau sendiri. Namun saya menjangkakan idea yang disampaikan beliau ini ada kaitan dalam memperkukuhkan politik Melayu sekarang ini. Walaupun PKR sendiri adalah parti yang didominasi orang Melayu namun saya rasa bagi Abdul Hadi hanya Pas dan UMNO sahaja yang mampu menjadi tunjang kepada politik orang Melayu di negara ini.

Dari segi sejarah politik dunia ada dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama bahawa idea ini pernah dilakukan di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan. Adakah betul bentuk kerajaan perpaduan yang ingin dilaksanakan sama dengan contoh itu?

AZHARUDIN: Bagi saya kerajaan perpaduan yang pernah dilakukan di UK memperlihatkan kepada kita wujudnya hubungan erat yang menyamaratakan semua parti politik di negara itu.

Tidak ada pembangkang sama sekali dan dalam konteks itu parti politik semuanya bergabung membentuk kerajaan dan mereka bergerak sebagai satu parti yang setara. Tidak ada parti yang dominan dan non-dominan. Ini bermaksud semua parti di dalam pakatan tersebut sama taraf dan kedudukannya dan mereka ini bergabung untuk menyelesaikan isu-isu besar pada waktu itu.

Namun dalam keadaan sekarang mungkin idea itu dilihat praktikal untuk menyelesaikan apa saja masalah yang timbul di negara ini seperti suasana politik yang tidak stabil. ia berlaku berikutan persaingan antara parti politik yang adakalanya semakin mencemaskan serta menjemukan masyarakat seperti pilihan raya yang berterusan dan ditambah dengan suasana ekonomi yang semakin menghimpit sekarang. Namun apa yang paling penting ialah suasana politik orang Melayu itu sendiri. Itu adalah situasi yang berlaku sekarang. Pada masyarakat umum mereka melihat usaha Pas ini sebagai satu langkah yang dinanti-nantikan selama ini.

Jika kita mendengar cakap-cakap di peringkat akar umbi, masyarakat melihat Pas dan UMNO perlu duduk semeja untuk berbincang nasib dan masa depan orang Melayu.

Perseteruan antara dua parti ini tidak perlu diceritakan kerana semua orang sudah mengetahuinya namun pada masa yang sama adalah tidak salah jika kedua parti yang menjadi tunjang orang Melayu ini untuk duduk dan berbincang bersama. Bagi saya idea kerajaan perpaduan ini adalah sesuatu yang sangat praktikal cuma kita bimbang seperti mana yang berlaku dalam MCA baru-baru ini di mana penyokong mereka mengundi tentang kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) dan mereka memilih untuk keluar BN jika Pas dan UMNO menjalin kerjasama. Ini kerana mungkin mereka bimbang dan tidak selesa dengan suasana sedemikian. Mungkin mereka akan keluar BN dan bergabung dengan DAP misalnya. Parti Gerakan telah mempunyai pandangan sedemikian sebelum ini. Maka jika ini berlaku suasana politik negara akan lebih kompleks dan rumit.

Namun jika dilihat dari satu sudut ia akan mengukuhkan perpaduan orang Melayu, saya telah melakukan tinjauan dan kajian bersama rakan-rakan saya tentang perkara ini dan hasilnya ini adalah satu-satunya cara untuk menyatukan orang Melayu. kebergantungan mereka ini tidak boleh diletakkan kepada PKR semata-mata. Jika kita lihat PKR dan DAP menang dalam pilihan raya lalu kerana mempunyai sokongan dan bergabung dengan Pas.

Orang India dan Cina pula dilihat memberi sokongan kepada Pas kerana pakatan antara pembangkang. Oleh itu Pas dilihat sebagai berpengaruh dalam keadaan politik semasa.

Keadaan Pas sekarang ini dilihat agak berpecah belah kerana konsep kerajaan perpaduan ini. Apa pandangan saudara?

AZHARUDIN: Ini adalah sesuatu yang menarik kerana seperti yang saya nyatakan tadi ia menguji kedudukan dan kekuatan Pas pada masa sekarang ini. Apabila idea ini dikemukakan ramai yang menyokong dan ramai juga yang tidak menyokong. Dan keadaan sekarang seolah-olah wujud dua kem dalam Pas satu kem Abdul Hadi dan satu lagi kem Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Kedua-dua tokoh ini merupakan orang penting dalam parti dan pandangan mereka sering sahaja dianggap sebagai dominan dalam konteks kewujudan Pas pada masa sekarang. Kedua-dua mereka juga mempunyai penyokong mereka sendiri. Lebih menarik lagi idea kerajaan perpaduan ini dinyatakan oleh Abdul Hadi yang sebelum mempunyai latar belakang politik tempatan yang agak ekstrem.

Namun kebelakangan ini beliau dilihat agak berlembut dan tidak sekeras 10, 20 tahun lepas.

Beliau kini lebih terbuka dalam menyatakan fikiran dan pandangannya. Namun persoalannya masih belum jelas kenapa beliau mengemukakan idea dan pandangan tersebut. Maka adalah penting untuk kita mengetahui apa sebenarnya hasrat yang ingin disampaikan beliau.

Walaupun idea ini menjadi lebih jelas selepas tamatnya muktamar Pas baru-baru ini tetapi ia telah disebut-sebut semenjak kebelakangan ini. Saya lebih tertarik kepada kenapa secara tiba-tiba Abdul Hadi bercakap soal itu. Adakah kerana beliau menerima nasihat dari pihak tertentu atau apakah beliau melihat kedudukan politik orang Melayu itu berada pada keadaan yang begitu tertekan sekali? Maka dengan demikian, beliau berpandangan idea ini merupakan satu langkah yang sangat praktikal untuk menyelesaikan kekusutan ini.

Namun semua ini hanya boleh dijawab oleh Abdul Hadi sendiri apakah bentuk kerajaan perpaduan yang ingin diwujudkan dan barulah jalan-jalan ke arah pembentukan itu boleh dijawab. Setakat ini keadaan masih lagi kabur di sana sini. penjelasan adalah sangat perlu ketika ini bagi mewujudkan idea kerajaan perpaduan yang lebih konkrit dan jelas. Selain itu kita juga perlu melihat bagaimana UMNO memberikan reaksi terhadap persoalan ini. Setakat ini UMNO sendiri masih belum jelas tentang perkara ini dan apakah UMNO akan hanya berdiri dan meminta penjelasan dari pihak Pas sahaja. Atau adakah UMNO akan bertindak lebih pro-aktif atau lebih terbuka dalam hal ini.

Keinginan ke arah kerajaan perpaduan ini harus ditunjukkan secara lebih terbuka dan jujur oleh UMNO. Mungkin sebahagian dari orang Pas sendiri berasa reluctant tentang usaha ini kerana mereka melihat bahawa sebelum ini UMNO adalah terlalu dominan. Ini yang berlaku pada tahun 70-an di mana Pas keluar dari menjalin kerjasama dengan UMNO kerana masalah UMNO yang terlalu dominan. Pas hanya menjadi tukang sambut sahaja ketika itu dan UMNO lebih berkuasa. Ini antara penyebab kenapa kerjasama ini gagal. Oleh itu sikap UMNO yang terlalu dominan ini perlu diketepikan supaya konsep kerajaan perpaduan ini boleh dilaksanakan. Kepentingan rakyat, negara dan orang Melayu perlu diutamakan pada ketika ini untuk menjayakan hasrat menubuhkan kerajaan perpaduan. Itu adalah perkara yang harus diutamakan. Pada pandangan saya parti politik Melayu sahaja yang masih ketinggalan dalam hal perpaduan. Parti-parti lain seperti Gerakan dan MCA contohnya lebih ke hadapan dalam memelihara kepentingan politik mereka. MIC sendiri telah meminta semua parti politik yang mewakili orang India supaya duduk semeja untuk membincangkan kedudukan bangsa mereka.

Ada yang beranggapan untuk menguji kerajaan perpaduan ini ia perlu dilaksanakan di Perak. Apa pandangan saudara?

AZHARUDIN: Ya, ini sesuatu yang menarik kerana ia turut menguji kematangan berpolitik dan ahli-ahli parti yang terlibat. Ketaksuban terhadap ideologi dan parti itu sendiri mengakibatkan tidak akan wujud perpaduan dan kerjasama antara mereka. Memandangkan mahkamah telah membuat keputusan adalah baik Pas menerimanya dengan hati yang terbuka dan bersedia untuk bekerjasama seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Tidak perlu bermusuh dan mempertikaikan keputusan mahkamah. Adalah lebih baik Pas memberikan kerjasama dan dalam keadaan ini masyarakat akan melihat Pas sebagai sebuah parti yang lebih berhemah dan dihormati. Ada yang menyatakan bahawa apa yang berlaku di Perak ini akan menjadi contoh kepada apa yang bakal berlaku dalam politik tanah air selepas ini. Jika idea kerajaan perpaduan ini tidak dapat diaplikasikan di Perak maka masyarakat akan melihat masalah ini tidak akan ada penyelesaiannya.

Pada pandangan saudara apakah kerajaan perpaduan ini mampu dilaksanakan atau ia sekadar satu retorik politik?

AZHARUDIN: Pada pandangan saya ia hanya setakat retorik politik ketika muktamar dan perkara ini tidak akan ke mana jika ia tidak mendapat sokongan yang kuat dari orang-orang Pas sendiri terutamanya orang seperti Nik Aziz sendiri. Kita harus menyedari bahawa Nik Aziz mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam Pas dan ia mungkin sedikit mengatasi Haji Hadi dalam soal ini. Kerajaan perpaduan ini hanya boleh dicapai jika Nik Aziz menukar pendiriannya dan menyokong konsep yang dibawakan oleh Haji Hadi ini. Dari segi penerimaan parti-parti lain seperti DAP tentang hal ini ia bukan satu isu besar. Ini kerana selama ini DAP sentiasa meragui Pas dan hubungan antara dua parti ini hanyalah semata-mata untuk berhadapan dengan pilihan raya. Malah kita sendiri boleh melihat kerjasama antara dua parti ini tidaklah rapat dan mesra seperti yang sepatutnya pada keadaan sekarang dan keraguan ini akan terus wujud kerana ia telah tertanam sejak dahulu lagi.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.