Ahad, Jun 21, 2009

Ayu Raudah tak pancing jerung


Wajahnya yang semakin mempesona, lirikan mata yang manja, tidak mustahil ramai yang terpaut. Tubuhnya semakin langsing dan berkeyakinan. Namun, Ayu Raudhah Che Wan, 25 lebih senang bersikap sederhana dalam soal peribadi dan kerjayanya. Pernah hangat dengan kisah cintanya bersama teman baik dan juga seorang pelakon iaitu Pekin atau nama sebenarnya Iznan Ibrahim, Ayu tidak sekali-kali goyah dalam meneruskan karier sebagai pelakon.

Kemuncak cinta dengan bekas kekasihnya ini hanya panas apabila mereka dikatakan bermain teka-teki tentang pertunangan dan perkahwinan mereka. Mengakui memang akrab dengan Pekin, Ayu memberitahu mereka tidak mempunyai jodoh lagi, sekadar teman baik.

*Mencari cinta

Di sebalik, kontroversi kisah cinta, Ayu tidak pernah melatah dan masih mengutamakan kariernya. Dalam hati kecil pelakon muda ini, dia sebenarnya masih mencari cinta namun belum bertemu jodoh. “Kisah itu sudah berlalu. Saya dan Pekin masih baik dan kami sekarang jarang bertemu. Dulu, Ayu memang merancang untuk berkahwin ketika umur 21 tahun tetapi sekarang Ayu sudah 25 tahun. Itulah yang dikata orang, belum ada jodoh dan kita sekadar merancang,” katanya dengan tenang.

Walaupun Ayu seorang yang ramah, dia sendiri mengakui dirinya sukar didekati kerana tidak melayan orang yang tidak dikenali. “Kadang-kadang ada juga yang menelefon tetapi Ayu jarang menjawab panggilan daripada orang yang tidak dikenali. Adakalanya Ayu terpaksa mematikan telefon bimbit dan tidak akan melayan jika tidak mengenali siapa yang menghubungi Ayu,” jelasnya.

Berbicara tentang siapakah lelaki pilihan hatinya, Ayu memberitahu, lelaki yang dapat memikat hatinya sudah tentu perlu memahami hati dan perasaannya.“Bagi Ayu, asalkan dia baik dan ikhlas serta memahami karier Ayu sebagai pelakon, sudah memadai. Ayu juga tidak suka orang mencadangkan lelaki itu atau lelaki ini untuk berkenalan rapat dengan Ayu,” terangnya.

*Menolak VIP

Bersimpati dengan kakaknya, Rozita Che Wan yang tidak henti-henti dilanda gosip dengan pelbagai VIP yang berbeza abjad, Ayu menganggap cinta VIP bukan matlamatnya menjadi artis. Ayu ingin mencontohi kakaknya sendiri jika berhadapan dengan gosip cinta VIP. “Mungkin disebabkan status kakak dan masih solo antara sebab kenapa dia sering menjadi mangsa gosip. Tapi Ayu kagum dengan cara kakak menangani keadaan ini.

Dia langsung tidak melatah cuma meminta bukti atas cerita yang digosip. Selagi tiada bukti, gosip itu adalah fitnah semata-mata,” ujarnya. Bagi Ayu, apabila seseorang artis itu sering dikaitkan dengan golongan VIP, masyarakat akan menganggap bahawa artis itu terjun ke dunia seni ini sekadar sebagai batu loncatan untuk memancing jerung.

“Mereka akan melabelkan artis itu sebagai inginkan kemewahan semata-mata, perampas suami orang dan sebagainya. Secara tidak langsung, mereka akan memandang rendah kepada golongan artis seperti ini. Berdasarkan pengalaman Ayu sejak bergelar pelakon, Alhamdulillah, setakat ini Ayu tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana VIP,” jelasnya penuh semangat.

*Karier

Lebih dikenali sebagai seorang dramatis wanita, Ayu juga berminat untuk mencuba nasib sebagai pelakon filem pula. Membintangi puluhan drama, Ayu sebenarnya pernah menerima tawaran filem tetapi dia merasakan ketika itu dia masih baru dalam bidang lakonan dan terikat dengan penggambaraan drama.

Pengalaman dalam bidang lakonan membuatkan anak kelahiran Kedah ini bersedia mengorak langkah sebagai pelakon filem seperti kakaknya, Rozita. “Kini saya sudah bersedia mengembangkan karier saya. Pada pengamatan saya, berlakon filem lebih sukar kerana penggambarannya lebih lama berbanding drama,” katanya yang akan membintangi filem Empat Madu arahan Razak Mohaiden.

Namun, dia mempunyai kepuasan sendiri sebagai pelakon drama. Masakan tidak, pada tahun ini sahaja, Ayu sudah ke merata tempat, dalam dan juga luar negara. Ini membuktikan, sebagai pelakon Ayu tidak pernah memilih watak. “Baru-baru ini, Ayu baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Kasih Alam di sebuah perkampungan Orang Asli di Raub, Pahang. Ayu juga terlibat dengan penggambaran drama episod berjudul Lara yang dijalankan di Kemboja.

Bila banyak berjalan, Ayu rasa seronok,” katanya yang ke Tanah Suci Mekah untuk penggambaran sebuah drama bersiri Nur Kasih. Jika diamati, Ayu lebih dekat dengan watak gadis atau wanita yang lemah lembut dan bersopan santun. Ayu mengakui, dia sebenarnya ingin watak yang lebih mencabar sehingga meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.

“Mungkin saya ingin lakonkan watak orang gila yang mengalami sakit mental dan tekanan perasaan. Watak-watak seperti ini bukan mudah kerana ia menguji kemahiran pelakon kerana sukar dilakonkan,” katanya. Sering juga kita melihat di kaca televisyen , Ayu selalu memegang watak wanita tudung.

Kecantikannya makin terserlah dengan penampilan muslimah yang seolah-olah menggambarkan perwatakan dalam realiti hidupnya. “Reaksi yang saya terima daripada peminat apabila saya mengenakan tudung memang baik. Siapa tahu suatu hari apabila saya benar-benar bersedia, saya akan bertudung,” katanya.

*Kecantikan

Sibuk dengan lakonan, Ayu tidak melupakan aspek kecantikan dirinya. Baru sahaja dilantik sebagai duta produk Giena Skincare keluaran Beauty Arena Sdn. Bhd., Ayu mempunyai rutin penjagaan kecantikan wajah dan badan merupakan aspek penting untuk pelakon wanita. Dilantik sebagai duta selama setahun, Giena Skincare yang diasaskan oleh Nor Azizan Ghazali membuatkan kulit wajahnya menjadi sekata serta kurang berjerawat.

“Kadang-kadang kita sibuk dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai cuaca yang berbeza. Melalui penjagaan yang rapi, seorang pelakon dapat menjaga penampilan. Kebetulan sudah rezeki saya dipilih sebagai duta, jadi secara tidak langsung saya lebih berdisiplin dalam soal kecantikan,” katanya sambil tersenyum.

*Rindu bapa

Sempena hari bapa yang jatuh pada hari ini, Ayu sebenarnya rindukan bapanya. Walaupun bapanya telah meninggal dunia sejak Ayu berusia lima tahun, Ayu sedar kasih seorang bapa tidak boleh diabaikan dalam hidup seorang anak. Namun, kasih ibu yang dicurahkan kepadanya sekeluarga dapat mengubati kerinduan terhadap bapanya.

“Ayu bersyukur, walaupun tidak mempunyai rezeki mencipta kenangan bersama bapa, Ayu masih ada ibu yang juga bapa kepada Ayu. Ibulah yang menjaga dan mendidik kami adik-beradik selama ini. Kepada semua bapa-bapa di luar sana, selamat menyambut hari bapa. Hargai kasih dan pengorbanan bapa selagi ada hayat mereka,” kata anak keenam daripada tujuh adik-beradik ini.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts