Khamis, Jun 25, 2009

Adat Jawa penyeri majlis Adlin-Emelda


Setelah selamat dinikahkan pada tanggal 22 Mei lalu di Masjid An-Nur, Batu 8, Chemor, Perak, pelakon dan pengarah Adlin Aman Ramli, 37, dan isterinya pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, diraikan pada majlis resepsi pihak perempuan yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak.

Sebulan selepas menggenggam gelaran suami isteri, pasangan tersebut diraikan pula pada majlis sambut menantu yang diadakan di kediaman keluarga Adlin, di Kampung Bukit Cherakah, Meru, Klang, Selangor baru-baru ini.

Sedondon mengenakan busana ala Jawa berona merah, pasangan yang pada awalnya dijadualkan bersanding pada pukul 1 petang tiba tepat di perkarangan rumahnya pada pukul 2 petang.

Meriah diiringi paluan kompang, kedua mempelai yang kelihatan cukup berseri dihiasi aksesori busana Jawa melangkah segak dan jelita ketika diarak ke singgahsana dilengkapi ukiran kerawang yang direka khas untuk majlis tersebut.

Bagaikan meraikan persandingan diraja, singgahsana dihias cantik dengan bunga-bungaan segar merah dan putih di setiap sudut.

Dianggarkan lebih 5,000 tetamu hadir untuk turut sama berkongsi kegembiraan serta menyambut kedatangan menantu kepada pelakon legenda A.R Tompel dan Mak Mah atau Ruminah Sidek itu.

Biarpun sesak, namun suasana dan perjalanan majlis tersebut ternyata cukup teratur.

Memulakan acara, pasangan mempelai dihidangkan dengan tarian Ulek Mayang sebelum acara menepung tawar dimulakan.

Rakan-rakan artis beserta saudara mara bersilih ganti mengambil kesempatan untuk menepung tawar serta memberi restu kepada kedua mempelai.

Keadaan cuaca ketika berlangsungnya majlis itu biarpun tidak menentu, sekejap panas dan sekejap hujan namun langsung tidak meninggalkan cela dan kesan yang besar terhadap majlis tersebut.

Ternyata tidak mudah menjalankan tugas pada majlis yang dihadiri oleh ribuan peminat bukan sahaja peminat Adlin dan Emelda tetapi juga peminat kepada seluruh ahli keluarganya yang terlibat dalam seni termasuk Mak Mah, A.R. Badul, Amran Tompel, AC Mizal dan Emylia Rosnaida.

Cuba 'mencuri' masa untuk menemu bual namun, kehadiran tetamu yang tidak langsung menandakan bakal surut menyukarkan wakil media menjalankan tugasan.

Hanya selepas empat jam kemudian, sempat ditemu bual, Mak Mah ketika ditemui memberitahu, dia mendoakan dari jauh kebahagiaan dan kesejahteraan perkahwinan yang dibina oleh Adlin serta menantunya itu.

Kehadiran tetamu yang begitu ramai meraikan majlis sambut menantunya itu, kata Mak Mah, selain saudara mara sudah menjadi kewajipannya mengundang penduduk kampung berdekatan.

Apatah lagi, katanya, kebanyakan mereka yang hadir merupakan peminat kepada setiap ahli seni keluarganya itu.

"Memang sudah jadi kemestian dan wajib bagi saya menjemput penduduk berdekatan lagi pun, Meru ini banyak mukim.

"Kadang-kadang ada mereka jemput untuk ke majlis mereka yang mak tak dapat hadir jadi mak jemput mereka untuk majlis ini.

"Memang ramai yang datang, bukan hari ini sahaja tetapi bermula dari malam lagi dah ramai orang yang datang," kata Mak Mah yang mengedarkan lebih 2,000 keping kad jemputan untuk majlis tersebut.

Kurang mahir menguruskan hal perkahwinan, akui Mak Mah, seperti kebanyakan ibu lain yang inginkan majlis perkahwinan sebaik mungkin untuk anaknya, dia memilih konsep perkahwinan dan hidangan Jawa untuk tetamu jemputannya.

Risau makanan yang disediakan tidak mencukupi katanya: "Mak berdoa kepada Allah, cukupkanlah makanan dan tetapkan cuaca pada hari ini, tidak terlalu panas dan tidak hujan sangat. Bagaimanapun, Alhamdulillah dari pagi cuaca baik".

Bercerita tentang majlis tersebut, tambah Mak Mah, perkahwinan tersebut sengaja diadakan di kediamannya itu kerana mengenangkan amanat arwah suaminya suatu ketika dahulu untuk menjadikan rumah tersebut sebagai tempat berkumpul anak cucunya.

"Sebenarnya mak tidak duduk di sini sebab tinggal sendirian. Mak lebih suka duduk di rumah mak yang satu lagi di Taman Cempaka, Meru sebab di sana mak lebih senang bergerak ke tempat kerja.

"Rumah ini baru di bina empat tahun lalu, pesan arwah suami mak supaya buat satu rumah yang boleh kumpul oleh semua anak dan cucu," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.