Khamis, Mei 14, 2009

RON95: Pengguna untung, jimat

Pemilik kenderaan dapat berjimat sambil menikmati keuntungan apabila beralih daripada menggunakan minyak petrol RON97 kepada RON95 bermula 1 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai sepatutnya tidak risau dengan kenaikan harga petrol RON97 pada tarikh berkenaan kerana ia sebenarnya memberikan keuntungan apabila mereka beralih kepada RON95.

''Pengguna sebenarnya untung bila tukar daripada RON97 kepada RON95, itu mereka mesti faham.

''Tiada kenaikan tapi menguntungkan pengguna," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Semalam, KPDNHEP mengumumkan minyak petrol RON97 yang digunakan oleh sebahagian besar pemilik kenderaan di negara ini, dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan kepada RM2 seliter berbanding RM1.80 seliter sekarang.

Langkah itu berkuat kuasa 1 September ini serentak dengan pelancaran minyak baru RON95 berharga RM1.75 seliter di seluruh negara.

Ia bagi menggantikan RON92 (RM1.70 seliter) yang akan ditarik sepenuhnya daripada pasaran selepas tarikh berkenaan.

Menurut Ismail Sabri, buat masa ini, RON95 boleh diperoleh di beberapa stesen minyak di Lembah Klang khususnya Putrajaya dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara menjelang 1 September ini.

Ditanya sama ada harga RON95 sebanyak RM1.75 seliter akan disemak semula sekiranya harga pasaran minyak dunia naik atau turun selepas 1 September nanti, beliau berkata, ia masih belum diputuskan lagi.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.