Sabtu, Mei 16, 2009

Penumpang MH091 kena lapor diri

Berikutan pengesahan kes pertama influenza A (H1N1) di Malaysia, semua penumpang Penerbangan Malaysia MH091 dari New York yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lepas diminta menghubungi Kementerian Kesihatan kerana pesakit itu menaiki pesawat yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, penumpang boleh menghubungi kementerian menerusi talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan.

Katanya, kes pertama influenza A di Malaysia melibatkan pelajar lelaki berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lepas dan mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan kelmarin dan dimasukkan ke Hospital Buloh pada petang hari yang sama.

“Dia telah diberi rawatan antiviral dan kini dalam keadaan stabil,” kata Dr. Ismail dalam satu kenyataan semalam.

Dr. Ismail berkata, Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk menghubungi ahli keluarga pelajar itu dan mengesan sejarah komunikasi beliau dengan penumpang serta anak kapal lain dalam pesawat yang sama dengannya.

Kementerian telah meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa berwaspada dan merujuk segera kes-kes individu yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak influenza A (H1N1) dan mengalami demam serta gejala batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak.

Sehingga pukul 12 tengah malam kelmarin, kementerian telah menerima 11 lagi notifikasi kes di mana enam dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh, dua kes di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan masing-masing satu kes di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu. Meraka dirawat bagi tujuan siasatan dan pemerhatian.

- KOSMO!

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts