Selasa, Mei 26, 2009

Nikmat hasil sabar 15 tahun dalam MLM

Dia pernah hampir putus asa, namun selepas 15 tahun membabitkan diri dengan perniagaan berasaskan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), Romlah Mad Said boleh tersenyum bangga dengan pencapaiannya hari ini.

Meskipun kurang yakin untuk memulakan perniagaan terbabit pada peringkat awal, semangat ingin mencuba dan minat pada bidang perniagaan mendorongnya untuk mencuba. Malah, usahanya nyata tidak sia-sia kerana ia berjaya menempatkannya sebagai usahawan Nutrimetics paling berjaya di utara Semenanjung.

Selepas diperkenalkan rakannya dari Kuala Lumpur, Norsham Harun, Romlah menjadikan perniagaan itu pada awalnya hanya sebagai sumber pendapatan sampingan.

Namun kini wanita terbabit mampu memiliki rangkaian kedai di Alor Star dan Sungai Petani, Kedah selain yakin dengan falsafah jenama terbabit, Menolong Insan Membantu Insan Yang Lain yang dianggap pendekatan bijak untuk membina masa depan cerah jika diusahakan dengan baik.

"Bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang. Banyak halangan dan dugaan yang terpaksa ditempuh sepanjang 15 tahun mengusahakan perniagaan ini.

"Bagaimanapun, Nutrimetics sudah dikenali di seluruh dunia lalu tidak susah untuk saya mempromosikannya. Apa yang menjadi cabaran adalah mengajak pengguna beralih daripada menjadi pengguna kepada peniaga dan bersama memasarkan produk ini di pasaran tempatan," katanya yang kini mencapai tahap Pengarah Eksekutif Kanan jenama terbabit.

Nutrimetics yang menjadikan produk kecantikan dan kesihatan sebagai asas perniagaannya ditubuhkan 50 tahun lalu. Perniagaan itu mula memasuki pasaran Malaysia kira-kira 30 tahun lalu.

Pernah satu ketika, Romlah hampir berputus asa dan enggan meneruskan perniagaan terbabit namun menurutnya, sokongan dan kepercayaan diberikan Pengarah Urusan Nutrimetics Malaysia, Carolyn Nur Amira Lee, membuatkan dia bangkit semula dan berusaha lebih gigih.

Berkat kegigihan dan semangat untuk berjaya dalam perniagaan, Romlah berjaya menempatkan perniagaannya ke tahap membanggakan, seterusnya membuktikan perniagaan MLM juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya wanita.

Selaku peneraju bagi Nutrimetics bahagian utara, Romlah turut membantu ramai usahawan baru yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan terbabit.

Membantu insan lain adalah asas kepada kejayaan dalam perniagaan berkenaan, justeru Romlah mengakui tidak pernah jemu membantu orang lain menyertai dan mempelajari perniagaan berkenaan.

Meskipun Romlah terpaksa bekerja keras untuk mencapai tahapnya kini, dia tidak pernah menyesal memilih perniagaan itu.

Apatah lagi, wanita ini sentiasa mendapat dorongan daripada suaminya, Yahya Taharin, bekas Pengetua Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior.

Suaminya yang sudah bersara turut membantu Romlah mengembangkan perniagaan terbabit.

Bekerja sebagai stokis di Kedah menuntutnya banyak meluangkan masa bertemu dengan pelanggan sekali gus mengurangkan masa untuk diluangkan di rumah.

"Mujur suami dan anak memahami tanggungjawab saya mencari rezeki dan sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bagi," katanya.

Berkat usahanya, Romlah berjaya menerima Anugerah Permaidani Merah dan menjadi peniaga paling menonjol di Malaysia di samping banyak merantau ke luar negara untuk mengikuti seminar termasuk ke Australia, Itali, Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan Jepun.

"Saya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diperoleh dalam perniagaan ini. Saya percaya keberkatan dalam perniagaan penting untuk mencapai kejayaan malah kita juga perlu sentiasa ikhlas menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan pertolongan," katanya yang berharap kejayaan akan sentiasa menyebelahinya dalam perniagaan.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts