Jumaat, Mei 01, 2009

Kembalikan perpaduan umat

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiyah Islam Malaysia (Yadim)

Adakah 'kerajaan perpaduan' akan menjadi satu realiti apabila Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat mencadangkan agar semua pihak mengetepikan perbezaan dan meredakan perbalahan, duduk bersama dan melahirkan sebuah kerajaan perpaduan yang dicita-citakan oleh semua pihak itu?

Ajakan untuk bersatu itu sebenarnya sangat dituntut oleh al-Quran dan Sunnah. Daripada satu segi, Mursyidul Am Pas memahami bahawa perpecahan itu tidak digalakkan dan umat Islam sentiasa dituntut mengekalkan perpaduan.

Sesiapa sahaja yang menciptakan perpecahan dan kebencian di antara sesama Muslim demi kepentingan peribadi dan duniawi, dia sebenarnya telah mengkhianati perintah Nabi SAW.

Kita adalah umat yang 'satu' tanpa mengira batas, negeri, bangsa atau warna kulit. Apabila seseorang itu telah membuat pengakuan dan bersyahadah serta meyakini dan menerima ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW maka dia dianggap sebagai orang Islam yang beriman.

Dia juga dikenali sebagai ahli al-Qiblah iaitu mereka yang bersyahadah, bersembahyang menghadap kiblat yang satu dan membaca al-Quran yang satu.

Kalau para Rasul terdahulu mengumpul ummah agar menjadi satu bangsa, kehadiran Muhammad SAW pula adalah mengumpulkan bangsa-bangsa tersebut menjadi satu ikatan yang kuat dan kukuh tanpa adanya perbezaan suku dan warna kulit.

Kita semua adalah sama iaitu satu persaudaraan seagama. Kerana Islam mengajar bahawa salah satu perilaku akhlak mulia ialah kesediaan seseorang itu untuk menyambung persaudaraan yang telah putus sesama kita.

Perpaduan adalah satu-satunya benteng kekuatan yang masih ada untuk mempertahankan maruah dan nasib umat Islam di dunia ini kerana kekuatan-kekuatan yang lain seperti kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ketenteraan, ekonomi, politik dan lain-lain sudah roboh dan runtuh.

Kekuatan ukhwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam.

Sejarah Islam mencatat di kalangan sahabat terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk mengembalikan perpaduan dan kekuatan umat Islam pada waktu itu, umpamanya di zaman Khalifah Ali pernah menghantar Ibnu Abbas untuk membetulkan fahaman ekstrem di kalangan kaum Khawarij kepada kesederhanaan dan kewarasan ajaran Islam. Golongan Khawarij ini terkenal dengan sikapnya yang keras hati tidak mahu kembali bersatu dalam barisan jemaah majoriti umat Islam.

Kita harus sedar bahawa manusia pada hakikatnya bukan hanya makhluk pemburu material, tetapi juga mempunyai kepentingan-kepentingan lain dalam hidupnya yang perlu berhubung dengan orang lain tanpa ada kepentingan material dan sifat ego.

Manusia memerlukan hubungan antara sesama yang dilandasi rasa cinta dan kasih sayang. Sehingga ia akan sangat peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan bangsanya. Ia sedar bahawa manusia tidak mungkin bersendirian.

Kesedaran ini kalau dipupuk terus tentu akan memudahkan wujudnya ukhwah Islamiah, bahkan dapat melahirkan perpaduan yang sangat tinggi, bukan sahaja terhadap saudara-saudara seagama tetapi juga terhadap penganut agama lain.

Rasulullah SAW menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan hati masyarakat yang saling kasih mengasihi kerana Allah. Sedangkan kehancuran dan kejatuhan umat ini berhubung erat dengan keretakan ikatan tali batin mereka.

Perpaduan dan persatuan sesama muslim merupakan kewajipan syariah. Dengan wujudnya persatuan itu merupakan nikmat Ilahi yang sangat besar. Hayati firman Allah SWT yang bermaksud: "Berpegang teguhlah kamu kepada agama Allah secara kuat dan janganlah kamu bercerai berai. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu, ketika dahulu kamu bermusuhan, lalu Allah persatukan hati kamu, sehingga kamu menjadi bersaudara kerana nikmat-Nya dan kamu waktu itu berada dipinggir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu dari jurang itu. Demikianlah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya,mudah-mudahan kamu terpimpin kejalan yang benar.' - (Surah Ali-Imran ayat 103)

Suatu perintah yang tegas dari Allah SWT agar kaum Muslimin bersatu padu dalam tali atau wadah yang satu iaitu Islam.

Ibnu Jarir di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan keterangan dari Qatalah tentang maksud firman Allah tersebut. Ia berkata: "Sesungguh Allah membenci kamu berpecah belah dan melarang kamu mendekatinya, memperingatkan dan mencegah kamu daripada perbuatan demikian, tetapi Allah menyenangi kamu taat, mendengar perintahnya dan bersatu padu. Kerana hendaknya kamu menyenangi apa yang disenangi oleh Allah untuk kamu."

Demikianlah menjadi kewajipan kita hulurkan tangan perdamaian sesama Muslim. Demikian juga terhadap bukan Muslim jika mereka menghulurkan tangan perdamaian, kita dituntut menerimanya.

Apabila musuh-musuh kamu itu cenderung untuk berdamai, dan ingin mengakhiri perang, maka sambutlah kemahuan mereka itu wahai Rasul. Kerana perang bukan semata-mata sebagai tujuan bagimu, tapi engkau berperang sebagai alasan membela diri dari serangan musuh dan mereka yang merintangi dakwah.

Maka terimalah usul perdamaian dari mereka dan bertawakallah kepada Allah dan jangan engkau khuatirkan rencana jahat, tipu daya mereka. Allah Maha Mendengar apa yang mereka rundingkan, Maha Tahu apa yang mereka rencanakan dan tidak ada sesuatu pun samar dalam pandangan Allah. -(Surah Al-Anfal ayat 61)

Demikian pula bahawa semua hukum kemasyarakatan Islam dan tradisi Nabi SAW seperti memberi salam, menjabat tangan, tersenyum, melaksanakan sholat Jumaat, semuanya bermaksud untuk memelihara persaudaraan, kehangatan, kedekatan dan empati di antara sesama Muslim.

Dengan kata lain, segala perilaku buruk seperti kecurigaan, pengkhianatan, fitnah, bohong dan sebagainya dilarang. Hal ini dilakukan untuk menjaga diri daripada perpecahan dan pertentangan di antara saudara seiman.

Sesungguhnya persatuan, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi asas dan tonggak kekuatan bagi perkembangan, kemajuan dan kemakmuran suatu negara.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.