Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Kuala Terengganu


Mohd. Zamri Baba mencatat kemenangan pertama dalam saingan kelas expert pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kuala Terengganu semalam.

Ia merupakan kemenangan sulung Mohd. Zamri, pelumba pasukan Petronas Sprinta Ah Hong, yang mula menyertai saingan kelas expert pada 2007 selepas mengatasi tekanan pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin dari Petronas Sprinta Yamaha Raceline.

Mohd. Zamri melintasi garisan penamat pada perlumbaan 15 pusingan dalam masa 10 minit 57.008 saat manakala Fuad kedua dengan masa 10:57.645s.

Rakan sepasukan Fuad, Mohd. Iskandar Raduan di tempat ketiga dengan masa 11:00.729s.

Mohd. Zamri, 26, yang gembira dengan kejayaan yang diciptanya di Kuala Terengganu berkata: "Setelah tiga tahun menyertai kelas expert, akhirnya saya berjaya merangkul kemenangan pertama. Kemenangan ini adalah kejayaan berpasukan."

Zamri muncul juara saingan kelas Wira pada 2004 dan juara kelas Novis tahun 2006.

Kemenangan tersebut melonjakkan kedudukan Zamri dari kedudukan ke-14 ke tempat ketiga keseluruhan dengan 35 mata.

Iskandar masih mendahului dengan 52 mata, diikuti Fuad dengan 45 mata.

Petronas Sprinta Raceline masih mendahului kategori berpasukan kelas expert dengan 97 mata, diikuti Petronas Sprinta Yamaha Ah Hong, 65 mata dan Motul Yamaha YY Pang ketiga dengan 45 mata.

Sementara itu, dalam saingan kelas Novis, Hafizh Syahrin Abdullah mencatat kemenangan hatrik musim ini di Kuala Terengganu.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Raceline itu jauh meninggalkan pencabarnya dan menamatkan perlumbaan 12 pusingan dalam masa 8:59.351s.

Ahmad Abd Kadir. Ahmad yang berlumba untuk pasukan Faito Boon Kui Racing menduduki tempat kedua dengan 9:00.754s.

Hafizh Syahrin menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hadiah sempena hari jadinya yang ke-15.

Dengan tambahan 25 mata, Hafizh makin selesa selaku pendahulu dengan 75 mata.

Pelumba dari Sarawak, Ahmad di tangga kedua dengan 42 mata manakala juara kelas Wira 2008, Zaidy Md. Zaifaizal di tangga ketiga dengan 38 mata.

Kemenangan konsisten Hafizh serta persembahan baik rakan sepasukannya, Md. Hafieenaz Md. Ali, membolehkan pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline mendahului saingan berpasukan kelas Novis dengan 110 mata.

Sementara itu, saingan kelas Wira yang dikhaskan untuk pelumba berusia bawah 17 tahun menyaksikan juara baru semalam.

Pelumba pasukan Faito Boon Kui Racing, Abd. Haffiz Rashid akhirnya berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan setelah mengungguli perlumbaan di Kuala Terengganu.

Haffiz berjaya melintasi garisan penamat dalam masa 7:38.980s.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.