Isnin, Mei 11, 2009

Janda, duda paling ramai bersekedudukan

Ghazali 23, terlibat dengan pelbagai gejala sosial sejak di sekolah menengah lagi. Selain merempit serta menghisap dan mengedar dadah, pemuda yang berasal dari Klang, Selangor ini juga pernah bersekedudukan dengan seorang janda.

Ghazali bertemu seorang GRO yang juga perempuan simpanan kepada seorang pengedar dadah semasa menuntut di sebuah institut kemahiran di Ipoh, Perak.

“Pengedar dadah itu telah lama menyimpan GRO bernama Jasmin. Dia cantik dan bertubuh montok.

“Pada mulanya kami banyak berhubung kerana soal kerja (mengedar dadah) tetapi lama-kelamaan timbul perasaan cinta. Kami kemudian mengambil keputusan untuk lari bersama,” ceritanya.

Ghazali yang ditemui di Rumah Kebajikan Perkid Hulu Langat, Selangor baru-baru ini mengaku bersekedudukan dengan Jasmin yang telah mempunyai dua orang anak.

“Saya tak kisah pada masa itu kerana pendapatan daripada kegiatan mengedar dadah mampu mencecah RM2,000 sehari.

“Anak Jasmin saya anggap seperti anak sendiri. Kehidupan kami bagai suami isteri, cuma tiada ikatan pernikahan.

“Keluarga juga tidak dapat menghidu perbuatan saya kerana kami berpindah randah sebulan sekali bagi mengelak daripada diketahui orang,” ujarnya.

Ghazali turut membuat sijil nikah palsu supaya tidak ditangkap oleh pihak berkuasa agama selain tidak menimbulkan syak wasangka jiran.

Namun bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Keluarga Ghazali mula mengesan kegiatannya dan merancang memerangkap Ghazali.

“Saya diberitahu ibu sakit tenat. Terus saya memandu kereta pulang ke Klang. Tetapi sewaktu hampir sampai, saya ditahan oleh sebuah kereta.

“Ingatkan pengedar dadah itu tetapi rupanya pegawai Perkid sendiri bersama abang saya. Mereka terus bawa saya menjalani pemulihan di Perkid.

“Sehingga kini saya tidak mengetahui apa yang berlaku kepada Jasmin dan anaknya.

“Sukar untuk berubah pada mulanya namun sampai bila harus terus bergelumang dengan dosa kerana ajal manusia tiada siapa yang tahu,” katanya sayu.

Menurut Pengerusi Perkid Shah Alam, Roslan Mohd. Isa yang berpengalaman membantu operasi pencegahan maksiat oleh pihak berkuasa agama di Selangor, amalan bersekedudukan merupakan perkara biasa kini.

Kebanyakan pasangan yang ditangkap majoritinya ialah golongan duda dan janda.

“Sebenarnya mereka lebih berpengalaman dan mampu mempengaruhi pasangan dengan mudah.

“Selalunya salah seorang daripada pasangan yang ditangkap adalah duda atau janda. Alasan yang diberi pula tidak masuk akal seperti tidak cukup wang untuk kahwin dan dipinggirkan keluarga.

“Dalam sebulan, kami mengadakan dua hingga tiga operasi mengesan mereka yang bersekedudukan termasuk penuntut universiti serta pekerja kilang yang kebanyakannya tinggal di rumah flat,” ujarnya.

Menurut penceramah agama yang juga bekas peguam kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza, Abdul Hakim Othman, bilangan penguat kuasa agama yang tidak seimbang menjadi antara punca ramai pasangan bersekedudukan.

“Yang membuat maksiat 100,000 orang tapi penguat kuasanya seorang. Malah ada yang mempertikaikan kaedah penangkapan yang dilakukan jabatan agama yang didakwa tidak mengikut peraturan.

“Namun punca sebenarnya disebabkan kebebasan tanpa had dan tidak patuh pada hukum-hakam Islam.

“Masyarakat juga perlu ambil tahu pergaulan lelaki dan perempuan sama ada mereka sudah berkahwin atau belum,” ujarnya.

Ini bukan main-main

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika dihubungi Kosmo! Ahad tidak menolak amalan bersekedudukan dalam masyarakat kini semakin serius.

“Walaupun tiada statistik terkini, ia telah menjadi barah dalam masyarakat kita. Tetapi kami akan bertindak tegas sebaik sahaja aduan dan laporan diterima.

“Ini bukan perkara main-main. Apa akan terjadi jika anak dilahirkan? Sudahlah berdosa, anak itu tidak boleh didaftarkan selain menimbulkan masalah wali dan pewarisan harta,” ujarnya.

Beliau mengakui hukuman penjara lapan bulan dan denda RM3,000 bagi kesalahan bersekedudukan tidak cukup menakutkan pesalah.

“Jarang yang dipenjara, sebaliknya cuma perlu membayar denda. Hukuman ini sangat ringan dan perlu disemak semula kesannya,” katanya.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts