Jumaat, Mei 01, 2009

Babi punya kes, khinzir dapat nama

Masih ingatkah satu pepatah lama: Lembu punya susu, sapi dapat nama. Di Kuala Lumpur sehari dua ini lain pula ceritanya: Babi punya kes, khinzir dapat nama. Semuanya gara-gara perisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai satu wabak baru, ‘swine flu’, yang sehingga semalam telah meragut 152 nyawa.

Maka ada percanggahan istilah di kalangan ahli-ahli bahasa Melayu. Ada yang menyebut wabak maut yang baru dikesan itu sebagai ‘selesema khinzir’. Beberapa akhbar dan stesen radio/TV menggunakan istilah ini. Ada pula media yang memilih untuk menggunakan ‘selesema babi.’

Secara peribadi saya lebih suka sebut ‘selesema babi’. Ulang sekali lagi, babi, bukan khinzir. Tidaklah diketahui mengapa kita perlu menggunakan khinzir, pada hal haiwan gemuk pendek berkaki empat dan bermuncung dempak itu memang istilah bahasa Melayunya ialah babi. Sekiranya istilah khinzir itu adalah dari bahasa Arab (saya tidak pasti), apa perlunya si babi itu mesti diarabkan?

Kalau si kaki pendek itu disebut dalam istilah Arab, apa kata jika nanti ada yang menuntut supaya haiwan-haiwan lain kita juga disebut dalam bahasa Arab? Contoh: ‘Al-baqarah’ itu ertinya lembu (maaf, saya juga tidak pasti ini sebab saya tidak tahu bahasa Arab), bolehkah lembu diganti dengan al-baqarah.

Tentu sekali kedengaran janggal sekiranya orang bercakap begini: “Rendang al-baqarah kenduri kahwin di rumah Puan Sri tu sedap betul.” Atau, tentu mamak penjual sup terkenal di Bangsar akan terkejut apabila seorang pelanggan tetapnya berkata: “Mamak, tolong bungkus sup al-baqarah special!”

Lagi pun sekiranya babi ditukar kepada khinzir, banyak juga istilah asal kita akan berubah. Kita tidak boleh lagi kata ‘babi tonyok’ tetapi ‘khinzir tonyok’. ‘Babi hutan’ jadi ‘khinzir hutan’. Penyakit Melayu lama ‘gila babi’ pun kena tukar menjadi ‘gila khinzir’, ‘sawan babi’ jadi ‘sawan khinzir’. Kesian, nama ‘siput babi’ yang sudah sekian lama popular dalam perbendaharaan kata kita, tiba-tiba jadi ‘siput khinzir’.

Kesimpulannya, kita jangan guna khinzir, sebaliknya kekalkan babi. Saya tidak fikir istilah babi berbau perkauman walaupun daging haiwan tersebut memang disukai oleh kaum-kaum tertentu di negara ini.

Ketepikan dulu masalah istilah, di tempat kita babi sebenarnya tidak putus-putus dengan kontroversi. Isu babi selalu sama hangat dengan isu politik. Malah, ada ketika-ketika tertentu babi sengaja dipolitikkan untuk menghangatkan suasana. Contoh: cadangan projek ternakan babi di Sepang, Selangor.

Projek bernilai RM100 juta itu tercetus beberapa hari setelah Pakatan Rakyat (PR) berkuasa di Selangor, berikutan tsunami politik Mac 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di peringkat pusat, dan terlepas lima negeri (kini tinggal empat) ke tangan pembangkang.

BN, khasnya UMNO, menghentam PR, terutama Menteri Besar, Khalid Ibrahim, habis-habisan kerana hendak melaksanakan projek babi. Khalid dianggap tidak peka terhadap orang Melayu. PR dituduh terlalu tunduk kepada Cina hingga tergamak membuat ladang babi di kawasan Melayu. Babi punya fasal politik Selangor menjadi hangat.

Kemudian terpecahlah tembelang sebenar bahawa projek RM100 juta di Sepang itu sebenarnya adalah projek asal kerajaan negeri sebelumnya. Bahawa Kerajaan BN sebelumnya yang telah meluluskan projek berkenaan. Malah, PR mengedarkan gambar rombongan beberapa orang YB dan Exco BN ke sebuah negara penternak babi terbesar di Eropah.

Sepuluh tahun sebelum kontroversi di Sepang, babi menjadi berita hangat di Negeri Sembilan. Oktober 1998, virus nipah meragut lebih 100 nyawa apabila wabak JE (Japanese Encephalitis) menyerang ladang babi di Bukit Pelanduk. Pecahlah tembelang bahawa di negeri beradat itu wujud sekian banyak kawasan ternakan babi secara haram.

Wabak JE bukan sahaja meragut banyak nyawa, tetapi telah menonjolkan Malaysia di peta dunia sebagai negara pengeluar babi terbesar di Asia Tenggara. Dianggarkan berjuta ekor babi diternak di Bukit Pelanduk.

September 2007, babi sekali lagi membuat onar, kali ini di bumi Hang Tuah, Melaka Negeri Bersejarah. Kawasan ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Beruang telah terlebih babi. Dua kawasan tersebut sepatutnya hanya boleh menampung 48,000 babi, tetapi bilangannya telah meningkat hingga lebih 100,000 sehingga mengganggu ketenteraman persekitaran. Kalau Hang Tuah masih hidup pasti madah popularnya ‘tak kan Melayu hilang di dunia’ akan ditukar menjadi ‘tak kan babi hilang di Melaka.’

Sehari dua ini babi sekali lagi membuat orang panik, apabila WHO menghebahkan berita menakutkan mengenai ‘selesema babi’. Mulanya dikesan di Mexico, tetapi kini sudah merebak di Amerika dan beberapa negara Eropah. Asia, termasuk Malaysia, tidak terkecuali dari bahaya maut itu. Betullah, kalau sudah babi, babi juga. Memang babi. Maka, awasilah si kaki pendek bermuncung dempak itu.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.