Khamis, Mei 14, 2009

3,000 pencari kerja serbu Jabatan Pelajaran Kedah


Lebih 3,000 orang menyerbu Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di Alor Star semalam untuk menghadiri temuduga kerja.

Ekoran itu, temuduga terbuka itu, yang sepatutnya diadakan sehari sahaja, dilanjutkan sehingga khamis.

Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd Rahman berkata ia dilanjutkan kerana terlalu ramai yang menghadiri temuduga tersebut.

Katanya, empat jenis jawatan ditawarkan termasuk guru siswazah kontrak, pegawai tadbir kontrak, penolong pegawai tadbir kontrak dan pembantu tadbir kontrak.

Lebih 3,000 pencari kerja yang datang dari seluruh negeri Kedah sanggup beratur panjang di tengah panas terik semata-mata kerana ingin merebut tawaran 79 jawatan kosong di Jabatan Pelajaran Kedah di sini semalam.

Mereka sanggup berbuat demikian walaupun pekerjaan yang dipohon itu sekadar status kontrak selama enam bulan membabitkan jawatan guru siswazah, pegawai tadbir, penolong pegawai tadbir dan pembantu tadbir.

Namun, ia bukan penghalang kepada para pemohon termasuk yang hadir dengan pakaian kemas dan bertali leher untuk beratur sehingga tepi jalan seawal pukul 7 pagi di luar pagar Dewan Teknologi Pendidikan Negeri. Kehadiran mereka menjadi punca kesesakan sejauh satu kilometer di Jalan Stadium di sini.

Seorang pencari kerja, Mohd. Faizal Hamirullah, 26, berkata, dia terpaksa menunggu dan beratur selama tiga jam sebelum dapat memasuki kawasan kompleks itu dan mendaftar diri.

"Saya tetap menaruh harapan untuk mendapatkan kerja ini walaupun terlalu ramai orang hadir," katanya

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.