Selamat berkhidmat Kabinet baru

Oleh MANJA ISMAIL

Walaupun pembentukan barisan Kabinet baru Datuk Seri Najib Razak sudah tiga hari berlalu, rasanya belum terlambat untuk kita mengucapkan tahniah kepada 28 menteri dan 40 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu. Mereka yang mengharapkan namanya disenarai atau dikekalkan tentulah terkilan apabila tidak disenarai dalam barisan baru itu, tetapi ini sudah lumrah.

Sebaik manapun Najib menyusun Kabinetnya, tentu akan ada orang yang tidak puas hati. Walaupun Perdana Menteri berhasrat mengecilkan lagi saiz Kabinetnya itu, beliau tidak dapat berbuat demikian kerana mengambil kira hasrat parti komponen Barisan Nasional (BN) dan perwakilan dari negeri-negeri. Jika saiz Kabinetnya itu lebih kecil, tentu lebih ramai yang tidak mendapat tempat.

Apapun kita mengucapkan selamat berkhidmat kepada semua menteri dan timbalan menteri dalam pasukan baru Perdana Menteri keenam ini. Kita sebut berkhidmat, bukannya bertugas kerana kedua-duanya membawa makna berbeza, walaupun nampak sama. Bertugas hanya sekadar bekerja atau melaksanakan kewajipan yang diberikan, tetapi berkhidmat membawa maksud lebih luas, iaitu perbuatan yang menunjukkan kesetiaan atau pengabdian atau berbakti.

Dan kerana Jemaah Menteri baru ini dinamakan oleh Perdana Menteri sebagai Kabinet rakyat, keutamaan anggotanya mestilah untuk membela serta menjaga kepentingan rakyat dan negara, melebihi daripada kepentingan lain sama ada untuk diri, keluarga atau kroni.

"Dua prinsip utama dalam pembentukan Kabinet adalah parti dan rakyat, tetapi yang lebih penting akhirnya ialah rakyat kerana kita mahu mereka mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap Kabinet baru," kata Najib dalam taklimatnya kepada pengarang media sejurus selepas mengumumkan Kabinet baru di pejabatnya, Khamis lalu.

Pada perutusannya sebelum membuat pengumuman itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa era kerajaan yang mengenakan kawalan keterlaluan dan mengamalkan sikap 'kerajaan lebih mengetahui' sudah berlalu. Cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur hanya akan mampu dicapai apabila kerajaan dan rakyat bersama-sama bersatu tenaga untuk mencapainya.

Pelbagai analisis sudah dibuat terhadap Kabinet baru ini, begitu juga dengan perutusan Najib mengenai harapannya terhadap barisan itu. Tetapi ungkapannya bahawa 'era kawalan keterlaluan dan kerajaan lebih mengetahui sudah berlalu' bukan saja menarik perhatian, tetapi mengundang pelbagai andaian dan tafsiran.

Dalam konteks Kabinet, ia boleh membawa maksud setiap menteri diberi lebih ruang untuk memikir serta melaksanakan apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat, bukannya sekadar menunggu arahan Perdana Menteri. Begitu juga dengan timbalan menteri, yang menurut Perdana Menteri, akan diberi tugas tertentu yang sama pentingnya dengan menteri dan bukan lagi setakat mewakili dan membaca teks ucapan 'bos' masing-masing.

Kepada kerabat media pula, ia juga boleh dibaca sebagai 'kelonggaran' kepada mereka untuk menegur secara membina mana-mana menteri atau kementerian yang dilihat atau didengar sebagai tidak prihatin kepada masalah rakyat. Dalam kata lain, menteri dalam Kabinet baru ini tidak lagi boleh melenting apabila ditanya wartawan mengenai aduan rakyat terhadap kementerian masing-masing.

Mereka juga tidak harus cepat bersungut atau menuduh media memboikot jika cerita atau gambar mereka, yang kurang mempunyai nilai berita, disiarkan tidak sekerap dulu. Sementara media akan sentiasa membantu mereka menjelaskan kepada rakyat dasar dan pelaksanaan kementerian masing-masing, media juga boleh menegur atau menyampaikan pandangan dan sungutan rakyat terhadap mereka.

Berlalunya era 'kerajaan lebih mengetahui' boleh juga ditafsirkan mulai sekarang menteri perlu mengadakan lebih banyak majlis dialog dan diskusi terbuka dengan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan. Begitu juga dengan lawatan tidak rasmi atau yang dilakukan secara mengejut tanpa sambutan permaidani merah atau bunga manggar.

Pada masa sama, rakyat tidak harus lagi dikelirukan oleh mesej pada papan tanda yang bertujuan mempromosikan kegiatan kementerian. Jika tujuan sebenar mesej itu untuk mempromosi aktiviti kementerian, papan tanda sedemikian tidak harus memuatkan sebesar-besar potret menteri terbabit bersama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sehingga menenggelamkan mesej yang sepatutnya disampaikan kepada umum.

Rakyat kini memerhati dengan penuh minat terhadap kemampuan Kabinet baru ini memenuhi kehendak moto Perdana Menteri 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan.' Memang lumrah setiap pemimpin sama ada Presiden atau Perdana Menteri, mempunyai moto masing-masing sebaik saja dipilih atau dilantik mengetuai kerajaan.

Bagaimanapun, sama ada moto atau slogan itu hanya tinggal slogan semata-mata banyak bergantung kepada prestasi dan sokongan anggota Kabinetnya. Najib menyedari perkara ini dan kerana itu, beliau memberi tempoh selama enam bulan kepada jemaah menteri dan timbalan menteri untuk menunjukkan prestasi masing-masing. Sehingga tempoh itu berakhir, kita sebagai rakyat mengucapkan selamat berkhidmat. Selamat berkhidmat Kabinet baru

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.