Khamis, April 16, 2009

Elizabeth Wong terima tawaran kekal jawatan exco Selangor


Elizabeth Wong menerima tawaran kerajaan Selangor untuk mengekalkan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

"Sepanjang hidup saya, inilah merupakan satu keputusan yang paling sukar yang perlu saya dan dengan penuh rasa rendah diri, saya menerima tawaran kerajaan Selangor untuk kekal memegang jawatan saya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Khalid Ibrahim serta Sultan Selangor di atas tunjuk ajar baginda.

Elizabeth juga turut mengucapkan terima kasih kepada para anggota exco, kakitangannya, rakan-rakan ADUN dan rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat dan BN, pemimpin PKR, Wanita PKR, ahli akar umbi dan para peguamnya di atas sokongan dan tunjuk ajar mereka.

Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan exco pelancongan, pengguna dan alam sekitar Selangor dan ADUN Bukit Lanjan pada 17 Februari lalu ekoran tersebarnya gambar separuh bogelnya kepada umum.

Dalam satu kenyataan hari ini, Elizabeth berkata, beliau terharu dengan galakan dan sokongan dari pihak media, kaum keluarga, sahabat handainya, NGO serta ribuan rakyat yang menandatangani petisyen mendesak supaya beliau dikekalkan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas sifat profesionalisme mereka dalam menangani isu tersebut," katanya.

Di samping itu, katanya, beliau juga sedang menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan foto separuh bogelnya, ditangkap dan didakwa secepat mungkin.

"Satu-satunya hasrat saya ialah untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan saya, kepada negeri ini sebaik mungkin, dengan kerjasama rakyat untuk menjadikan negeri dan negara ini, sebuah tempat yang terbaik untuk didiamani.

"Perjuangan berterusan, dan tugas kita baru bermula," tambahnya..

Elizabeth menyifatkan tempoh dua bulan lalu - sejak tersebar gambar separuh bogelnya itu - sebagai satu pengalaman yang cukup pahit yang tidak pernah termimpi akan berlaku ke atas dirinya atau orang lain.

Katanya, kehidupan peribadinya telah dicerobohi tanpa kerelaannya.

Malah, kata Elizabeth, sehingga petang ini pun, beliau masih menerima ancaman dari orang-orang yang tidak dikenali.

"Ini bukanlah satu skandal, seperti tanggapan sesetengah pihak, tetapi jelas merupakan satu perbuatan jenayah," katanya lagi.

Sehubungan itu, tegas Elizabeth, politik kotor tidak harus dibairkan menjadi sebahagian daripada budaya politik negara.

"Bagi mereka yang mengeksploitasi dan menyokong perbuatan jenayah seumpama ini, maka perbuatan itu menjadi petunjuk "ahli politik jenis apakah mereka ini".

Elizabeth berkata, beliau berpegang teguh kepada hak seseorang itu terhadap hal-hal peribadi mereka.

"Saya memperjuangkan 'Politik Baru' - politik yang menggalakkan perbincangan intelektual, polimik dan debat ilmiah mengenai ideologi, dan bukannya politik kotor yang mahu mencemar, memfitnah serta melanggar hak peribadi orang lain semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Kerajaan Selangor kekalkan jawatan Elizabeth Wong

Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk mengekalkan jawatan Elizabeth Wong sebagai exco kerajaan negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, jika beliau menerima tawaran itu, Elizabeth diminta kembali daripada cuti dan meneruskan perkhidmatannya mulai esok.

Katanya, keputusan itu wajar dan adil setelah mengambil pandangan semua pihak dan siasatan polis berhubung kes berkenaan yang juga gagal membuat keputusan yang muktamad.

Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan exco pelancongan, pengguna dan alam sekitar Selangor dan ADUN Bukit Lanjan pada 17 Februari lalu ekoran tersebarnya gambar separuh bogelnya kepada umum.

Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada Sultan Selangor kerana membuat keputusan tidak campur tangan dalam politik dan memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas dibincangkan dalam mesyuarat exco pagi ini.

Katanya, Pakatan Rakyat memandang serius isu moral dan isu peribadi.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan akan memastikan kepimpinannya menjunjung prinsip itu.

"Jika ada bukti-bukti kukuh, kita tidak akan beragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Namun demikian pendirian ini juga harus diimbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseoarang.

"Dan kerajaan negeri amat serius mempertahankan hak ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabat hari ini.

Khalid berkata, beliau telah memaklumkan kepada Sultan Selangor pagi tadi mengenai keputusan kerajaan negeri untuk mengekalkan jawatan Elizabeth sebagai exco negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Beliau juga ditanya sama ada Elizabeth ada memberi tanda-tanda akan menerima tawaran tersebut.

"Beliau perlu menerima tawaran tersebut sebelum esok," kata Khalid sambil menambah: "Anda datanglah esok".

Ditanya sama ada ianya keputusan exco kerajaan negeri atau PKR negeri, Khalid menegaskan bahawa ia adalah keputusan kerajaan negeri.

Ditanya sama ada keputusan ini bermakna kerajaan negeri tidak menganggapnya sebagai satu isu moral, Khalid berkata: "Iya, isu moral, tetapi tidak ada kenyataan yang paling sahih. Seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan."

Ditanya mengapa keputusan ini berbeza dengan kes yang berlaku di Pulau Pinang yang membabitkan ADUN PKR penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan walaupun masih dalam siasatan.

Khalid berkata perkara itu berbeza kerana Fairus meletakkan jawatan secara sukarela.

"Elizabeth juga turut menawarkan diri untuk meletak jawatan, jadi kita melihatnya sebagai mangsa dan menawarkan (jawatannya) kembali," katanya.

Sementara itu, Elizabeth pula akan mengeluarkan kenyataan sama ada beliau menerima atau tidak tawaran tersebut.

- MALAYSIAKINI

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts