Jumaat, Mac 06, 2009

Pertahan institusi raja Melayu - Raja Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu kemuliaan raja-raja Melayu dipertahankan ketika pihak tertentu mula mempersoalkan institusi tersebut dan juga kontrak sosial yang telah dipersetujui selama ini.

Titah baginda, institusi raja-raja Melayu berperanan sebagai pelindung kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, suku kaum dan anutan agama.

Sekiranya peranan institusi itu dihayati dan difahami dengan baik, usaha pihak-pihak berkepentingan yang memainkan isu melibatkan kontrak sosial kebelakangan ini dengan agenda sempit mereka akan dapat digagalkan, tambah baginda.

''Kira-kira 51 tahun lalu kita semua telah mengikat satu persefahaman untuk bersama-sama mewujudkan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

''Iltizam untuk mewujudkan negara merdeka itu terbit daripada perpaduan antara raja-raja Melayu, pemimpin kaum dan parti-parti politik yang mendapat mandat rakyat," titah baginda ketika merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan anjuran kerajaan negeri di Hotel Putra Palace di sini hari ini.

Baginda bertitah, raja-raja Melayu dipertanggungjawabkan untuk melindungi persefahaman bagi mewujudkan negara merdeka dan berdaulat bagi mendapatkan semula kemerdekaan yang dirampas daripada sebuah empayar besar dengan beberapa syarat.

''Syarat itu adalah semua kaum harus hidup dengan harmoni, keistimewaan dan hak semua kaum dihormati dan agama Islam menjadi agama rasmi negara.

''Persefahaman ini juga yang difahami sebagai kontrak sosial. Carilah di mana kontrak ini dan anda tidak akan menjumpainya dalam bentuk satu ikatan kontrak namun saya tegaskan bahawa kontrak ini wujud," titah baginda.

Titah baginda, kontrak itu wujud dan diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam bentuk tersurat dan tersirat.

"Dewasa ini kontrak itu mula disebut pelbagai pihak berkepentingan dengan memberikan tafsiran mereka melalui sudut pandangan yang sempit iaitu menjurus kepada agenda tersendiri dan menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan rakyat.

''Adalah malang sekiranya kita membiarkan pihak berkepentingan menggunakan perkara-perkara sensitif untuk menggagalkan matlamat dan harapan jutaan rakyat negara ini.

"Perlembagaan bukan sekadar undang-undang tertinggi bahkan ia merupakan matlamat unggul negara," titah baginda.

Tambah baginda, pernyataan pelbagai pihak yang mengungkit isu ketuanan dan keistimewaan sesuatu kaum, hak beragama dan kemuliaan raja-raja memerlukan pendekatan yang bebas daripada emosi, penghuraian berdasarkan fakta dan keterbukaan berlandaskan realiti.

''Melalui seminar ini, saya berharap ia akan dapat menghurai dan menyelesaikan persoalan mengenai kontrak sosial yang dibangkitkan pelbagai pihak.

''Dengan kefahaman yang diperoleh, pembuat dan pelaksana dasar akan dapat memahami apa sebenarnya yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda.

Baginda juga berharap golongan pembuat dan pelaksana dasar dapat merangka dan memastikan pelaksanaan program yang berteraskan aspirasi Perlembagaan iaitu menjaga kepentingan serta hak rakyat.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.