Rabu, Mac 04, 2009

Halang sidang DUN tindakan betul: KSN


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, berkata kenyataan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri bahawa dewan itu tidak boleh bersidang tanpa mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah mengikut peraturan.

Justeru, katanya beliau menyokong setiap tindakan kakitangan awam yang mematuhi peraturan, manakala mereka yang melakukan tindakan itu tidak perlu khuatir kerana menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Pada fahaman saya, Abdullah menjalankan tugasnya seperti dipertanggungjawabkan kepadanya.

"Saya sentiasa menyokong mana-mana yang benar dan saya yakin dia (Abdullah) benar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan penyampaian diploma Intan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Intan, Datuk Dr Muhamad Hamzah.

Seramai 828 graduan menerima Diploma Pengurusan Awam dan Diploma Sains Pengurusan daripada Sidek.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang menyifatkan sebagai tidak sah persidangan DUN yang dipanggil oleh Speaker V Sivakumar tanpa mendapat perkenan Sultan Perak.

Ekoran kenyataan itu, Abdullah digantung perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta oleh Sivakumar

Sementara itu, ketika berucap, Mohd Sidek meminta kakitangan awam mengutamakan aspek integriti ketika melaksanakan tugas kerana ia adalah tonggak utama yang memastikan kejayaan dan kecemerlangan sektor awam.

"Tidak ada guna kita melakukan sesuatu perkara dengan cepat dan cekap, tetapi tanpa integriti, malah perkhidmatan awam bukannya tempat untuk mengumpul kekayaan dalam masa singkat.

"Justeru, integriti adalah benteng yang paling berkesan bagi kakitangan awam yang ingin menjauhi amalan negatif," katanya.

Pada majlis sama, Sidek turut menyampaikan Anugerah Felo Intan kepada Samsudin bagi mengenang jasanya kepada perkhidmatan awam dengan jawatan terakhir sebagai KSN selama lebih lima tahun mulai 1 Februari 2001 hingga 2 September 2006.

"Anugerah ini sejajar dengan sumbangan dan bakti Tan Sri Samsudin selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam dan beliau kini masih giat menghulurkan sumbangan kepada negara antaranya menerusi Perbadanan Putrajaya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts