Rabu, Februari 04, 2009

UiTM hasilkan kelas menengah Melayu

Oleh NIZAM YATIM

"TOLONG UiTM (Universiti Teknologi Mara) untuk betulkan persepsi orang Melayu sendiri yang menganggap orang Melayu masih ketinggalan."

Itulah permintaan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah kepada penulis ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Pertemuan selama kira-kira sejam itu adalah bagi mengetahui kisah di sebalik kejayaan universiti yang masih boleh dianggap muda itu memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2008 pada 27 November lalu.

Kemenangan itu membolehkan UiTM menerima wang tunai RM50,000, piala dan sijil. Ia juga dibenarkan menggunakan simbol 'Q' serta mencetak ayat Pemenang Anugerah Kualiti Perdana Menteri di kepala atau kaki surat rasminya sealama tiga tahun. UiTM berjaya mengetepikan banyak institusi yang tidak kurang hebatnya.

Menyentuh mengenai anugerah itu, Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan itu bukan sahaja untuk UiTM sebaliknya merupakan satu kemenangan orang Melayu dan bumiputera.

"Secara keseluruhan persepsi umum masyarakat, Melayu itu mestilah tidak begitu hebat sangat, kurang kualiti dan tidak pandai.

"Sebab itulah sejak UiTM ditubuhkan dalam tempoh 32 tahun lalu, kita dianggap sebagai institusi kelas kedua. Ada di antara yang bercakap ini ialah orang Melayu sendiri.

"Saya hendak orang Melayu buka minda, betulkan paradigma dan sikap serta tanamkan maruah diri yang tinggi. Kalau ini boleh dilihat maka insya-Allah saya rasa persepsi negatif ini boleh dibetulkan," tegasnya.

Beliau berharap kejayaan UiTM memenangi anugerah itu, ia akan menepis tanggapan negatif sekali gus membuktikan universiti bumiputera itu mampu menjadi institusi pengajian berkualiti tinggi.

Ibrahim menegaskan, kejayaan UiTM bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejak ditubuhkan, ia mencapai banyak kejayaan termasuk melahirkan pelajar yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih.

Hubungan rapat dengan pihak industri sejak dahulu membolehkan UiTM mencatatkan satu lagi kejayaan iaitu menyediakan kurikulum yang relevan dan fokus dengan pasaran kerja sehingga dijadikan contoh oleh institusi pengajian lain.

Sesiapa pun tidak boleh menidakkan kejayaan UiTM sebagai perintis dalam memulakan program profesional di Malaysia sejak 1967 antaranya melibatkan Pertubuhan Berkanun Akauntan Bertauliah (ACCA) dan Institut Berkanun Pengurusan Perakaunan (CIMA).

Kejayaan terbesar UiTM sepanjang sejarah penubuhannya ialah mampu mendidik "budak kampung" yang miskin dan serba kekurangan. Ia umpama usaha menggilap pasir menjadi intan.

Antara "budak-budak kampung" tersebut ialah Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan bekas Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur, Datuk Salleh Majid.

Menyentuh mengenai persepsi negatif terhadap UiTM termasuk pelbagai kritikan dalam blog yang menyifatkan ia tidak layak mendapat anugerah itu kerana tidak termasuk dalam ranking 200 universiti terbaik dunia The Times Higher Education - Quacquarelli Symonds (THE-QS), beliau menegaskan:

"THE-QS tidak harus dijadikan ukuran kerana antara kriteria penilaian ialah perlunya pelajar asing yang ramai yang sudah tentu tidak mampu dipenuhi oleh UiTM memandangkan ia universiti khusus untuk bumiputera."

Katanya, kesahihan ranking itu juga boleh dipertikaikan berdasarkan pengalaman sebuah IPTA yang dimasukkan ke dalam senarai 200 terbaik tetapi dalam tempoh setahun, ia ditarik balik.

Walaupun menerima pelbagai kritikan, beliau menegaskan pihaknya tidak berkecil hati kerana berpendapat mereka yang tidak menghargai adalah orang yang tidak tahu dan kurang faham dengan peranan unik dan murni UiTM untuk orang Melayu dan bumiputera.

UiTM dalam hal ini adalah satu-satunya organisasi yang banyak menghasilkan graduan berkelayakan lantas membantu menghasilkan kelas menengah Melayu.

"Pada saya yang lebih penting orang yang hargai adalah majikan, kalau majikan mengatakan graduan kita bagus, maka ia sudah cukup untuk saya.

"Selain maklum balas positif majikan, kebanyakan lepasan sekolah dan matrikulasi yang memohon ke universiti turut menjadikan UiTM sebagai pilihan pertama," tegasnya.

Ia membuktikan UiTM bukan lagi universiti kelas kedua kerana kebanyakan pelajar itu terdiri daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 7A sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menyentuh mengenai rancangan masa depan termasuk menjadikan ia universiti bertaraf dunia atau 'Harvard Timur' pada 2020, Ibrahim menegaskan, pihaknya memberi tumpuan untuk meningkatkan kemudahan prasarana termasuk mewujudkan kampus baru di Puncak Alam, Selangor.

"Apabila dikatakan bertaraf dunia, ia melibatkan semua aspek termasuk fizikal kerana faktor itu sangat penting. Sekiranya makmal, perpustakaan dan kelas serta teknologi pembelajaran terbaru tidak cukup, kita tidak boleh menjadi universiti hebat.

"Aspek fizikal juga harus melibatkan kualiti alam, iaitu landskap dan penjagaan kebersihan hatta sehingga ke dalam tandas pun," tegasnya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan fizikal sahaja tidak cukup sekiranya tidak diseimbangkan dengan kualiti insan dan kualiti ilmu. Ini merupakan konsep yang sering diberi penekanan dalam pembangunan UiTM secara menyeluruh yang berasaskan 3M iaitu Mesra Alam - Mesra Ilmu - Mesra Insan, yang kesemuanya mesti merangkumi faktor-faktor kualiti.

Mengenai kursus beliau berkata, pihaknya akan memulakan pelbagai program baru dalam bidang pertanian, bioteknologi dan perubatan sebagai tambahan kepada 300 kursus sedia ada. UiTM juga berhasrat meningkatkan bilangan pelajar kepada 200,000 orang tahun depan berbanding 126,000 orang sekarang.

Tambah beliau, tumpuan lain yang tidak kurang penting ialah untuk mempertahankan anugerah kualiti yang telah dimenangi itu.

"Kami perlu bekerja seratus kali lebih kuat. Jika tahun lalu, kami memperoleh RM19.3 juta geran penyelidikan, tahun ini kami mengharapkan sekurang-kurangnya antara RM50 juta hingga RM100 juta,'' katanya lagi.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.