Khamis, Februari 26, 2009

Perkhidmatan Eksklusif DiGi

Sebagai langkah menghargai pelanggannya, syarikat DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) bakal menawarkan bantuan perkhidmatan suai padan kepada kedua-dua pengguna pascabayar dan prabayar menjelang 9 Mac ini.

Ketua Pegawai Komersial DiGi, Tom Schnitker berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengekalkan penggunanya berikutan pengenalan perkhidmatan mobile number portability (MNP) pada tahun lalu.

Menurutnya, perkhidmatan terbaru itu merupakan satu lagi platform untuk DiGi membina momentum servis kepada pelanggannya.

"Kami bermula dengan pelancaran stor konsep DiGi360 pada November lalu. Hari ini, DPS terus mengukuhkan pendekatan berasaskan perkhidmatan dengan cara menghargai pelanggan tetap melalui khidmat yang ditawarkan sehingga ke hadapan pintu," katanya pada majlis pelancaran Perkhidmatan Keutamaan DiGi (DiGi Priority Service, DPS) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Schnitker menjelaskan, sasaran pelanggan untuk perkhidmatan terbaru itu ialah mereka yang mengharapkan kemudahan boleh didapati di mana-mana. Ini termasuklah pengguna yang kerap menggunakan telefon bimbit seperti peniaga dan golongan profesional.

Walaupun percuma, ahli program DPS dipilih melalui jemputan sahaja. Pemilihan itu dibuat berdasarkan rekod bayaran, penggunaan bulanan dan tempoh menjadi pengguna DiGi. Jika kesemua syarat itu dipenuhi maka pengguna boleh melayakkan diri untuk dipilih sebagai pelanggan Keutamaan Perak, Emas atau Platinum.

Sebagai contoh, pengguna DiGi selama lima tahun layak menjadi Pelanggan Keutamaan Perak sekiranya mereka mempunyai bil kira-kira RM100 sebulan.

Pelanggan yang layak untuk kategori tertinggi iaitu Keutamaan Platinum pula boleh mendapatkan perkhidmatan Perunding Mudah Alih Keutamaan DiGi. Perunding itu berperanan menyediakan bantuan dan khidmat menyelesaikan masalah teknikal telefon mudah alih di lokasi pelanggan.

Schnitker juga berkata, setakat ini, pihaknya telah menubuhkan pasukan yang terdiri daripada tujuh orang perunding bagi DPS.

"Kami menetapkan setiap panggilan dijawab dalam tempoh 20 saat atau paling pantas 10 saat. Saya yakin kami ialah syarikat telekomunikasi pertama yang menawarkan perunding mudah alih bagi perkhidmatan pelanggan terbaik," katanya.

Para pelanggan juga boleh menikmati perlindungan insurans percuma sehingga RM1 juta, bantuan perkhidmatan menempah tiket percutian dan menyewa limousin dengan pemandu serta hak-hak istimewa lain.

Sementara itu, pelanggan DiGi tetap akan terus menikmati manfaat sebelum ini menerusi program ganjaran yang amat menarik. Antaranya ialah bonus tambah nilai, bonus hari jadi, baucer mudah alih untuk diskaun, panggilan percuma kepada talian hotline DiGi dan banyak lagi.

Pelanggan akan turut menikmati had kredit lebih tinggi dan jaminan penggantian kad SIM dalam tempoh sehari tanpa kos penghantaran.

Sebagai satu usaha menyokong inisiatif perubahan cuaca DiGi, Deep Green, para pelanggan DiGi yang layak akan menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang menjemput mereka menyertainya, selain mengesahkan mereka ialah pelanggan Keutamaan DiGi.

- KOSMO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts