Sabtu, Februari 21, 2009

Padang diancam gempa bumi

Tahukah anda daerah bernama Padang di Indonesia? Pakar geologi meramalkan kawasan yang diduduki oleh kira-kira 900,000 penduduk itu, satu hari nanti mungkin akan musnah akibat satu gempa bumi yang besar.

Ini berikutan Padang terletak dalam salah satu kawasan seismos paling berbahaya di dunia.

Disebabkan lokasinya yang berbahaya itu, pakar mengatakan Padang perlu melakukan sesuatu untuk melindungi penduduknya daripada gempa besar yang boleh mencetuskan tsunami dan memusnahkan bandar lama yang terletak di pesisir pantai barat Sumatera itu.

"Kedudukan Padang terletak di tengah-tengah kawasan dengan potensi untuk berlaku gempa bumi berskala 8.9 magnitud," kata Danny Hilman Natawidjaja, seorang ahli geologi di Institut Sains Indonesia.

"Keseluruhan bandar tersebut boleh tenggelam dalam tsunami yang dicetuskan oleh gempa seumpama itu," jelasnya memberi amaran.

Padang, ibu negeri wilayah Sumatera Barat, terletak di salah satu daripada garisan gelincir paling aktif di dunia di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik. Kedudukan itu boleh menyebabkan berlakunya gegaran dan gempa apabila kepingan plat Indo-Australia bergeser dengan kepingan plat Eurasia.

Seorang pekerja bank yang hanya mahu dikenali sebagai Reta, 31, berkata, dia panik apabila merasai gegaran dalam bangunan tempatnya bekerja. Namun, dia tidak mahu berputus asa.

"Pegangan agama kami amat kuat dan apa yang kami lakukan ialah berdoa dan berharap Padang tidak akan menjadi seperti Aceh," katanya.

Gempa berukuran 9.15 magnitud dengan pusat gempa kira-kira 600 kilometer ke barat laut Padang, menyebabkan tsunami besar melanda pada tahun 2004 yang membunuh 232,000 orang di wilayah Aceh, Thailand, Sri Lanka, India dan beberapa negara di pesisir Lautan Hindi.

Natawidjaja meramalkan bahawa gegaran berukuran 8.9 magnitud boleh melanda Padang dalam masa tiga dekad dan mencetuskan tsunami yang lebih besar daripada kemusnahan lima tahun lalu.

Sewaktu tragedi tersebut, gelombang ombak mencecah ketinggian sehingga 30 meter di sesetengah kawasan.

Populasi penduduk di Padang dianggarkan tiga kali ganda daripada penduduk di Banda Aceh ketika kejadian tsunami 2004. Walaupun pakar gempa melahirkan kebimbangan terhadap kejadian seumpama itu, namun hanya terdapat rancangan keselamatan yang terhad untuk menyelamatkan diri daripada tsunami.

Mengambil pengalaman daripada kejadian bencana paling teruk pada 2004 dan mengelak daripada satu lagi kemusnahan besar, Indonesia sudah mula menyediakan sistem amaran awal dengan harapan ia dapat memberi tempoh secukupnya untuk penduduk mencari tempat yang selamat.

Beberapa bahagian di Indonesia yang sering dilanda gempa bumi, selalu mengadakan latihan kecemasan tsunami dan perkhidmatan bencana kebangsaan menghantar amaran menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggannya.

Bagaimanapun, sesetengah pakar mengatakan Indonesia perlu melakukan usaha yang lebih untuk mengurangkan risiko kemusnahan besar.

"Padang perlu melabur dalam infrastruktur lebih baik termasuk pembinaan jalan raya dan lain-lain rancangan keselamatan memandangkan jalan keluar dari bandar itu mungkin tersekat dengan kenderaan dan penduduk yang panik sejurus selepas gegaran besar dan tsunami melanda," kata Hugh Goyder, konsultan untuk Organisasi Strategi Antarabangsa bagi Mengurangkan Bencana (ISDR) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Jalan raya selari hingga ke pesisir pantai. Ini bermakna di sesetengah kawasan, sukar untuk melarikan diri dari pesisir pantai," ujar Goyder sambil menambah bahawa di satu bahagian di bandar tersebut, jalan keluar hanyalah melalui jambatan sempit.

"Jika anda hanya mempunyai masa lima atau 10 minit, sudah tentu ini akan menjadikan orang ramai lebih panik. Untuk pelaburan yang amat kecil, mungkin anda boleh melebarkan jambatan," katanya.

Rancangan untuk memasang satelit menghubungkan boya sebagai tanda sistem amaran awal tsunami turut berdepan masalah apabila dua daripadanya dicuri oleh nelayan.

Lain-lain langkah berjaga-jaga, turut mengalami kesukaran atau dilanda kontroversi.

Di sekolah-sekolah tempatan, latihan kecemasan gempa dan tsunami menjadi sebahagian kelas senaman fizikal. Kanak-kanak diajar untuk bersembunyi di bawah meja sejurus selepas gegaran berlaku dan kemudian berlari ke tempat perlindungan.

Datuk Bandar Padang dari sebuah parti Islam, Fauzi Bahar turut mengarahkan penduduk tempatan untuk berdoa bagi keselamatan mereka. Dia turut merancang untuk menyediakan kelas berenang untuk pelajar secara percuma di kolam renang awam.

Walau apa pun yang dilakukan, saintis percaya penduduk mempunyai masa hanya 10 minit untuk berlindung ke tempat yang lebih tinggi sebelum tsunami melanda.

- REUTERS
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts