Sabtu, Februari 21, 2009

Masyarakat beragama masih perlukan pemimpin berakhlak

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Masyarakat beragama di dunia mempunyai banyak persamaan nilai etika. Islam, Kristian dan Yahudi dikenali sebagai agama yang mempunyai perundangan berkaitan dengan etika atau akhlak. Perbuatan sumbang seperti melakukan seks sebelum pernikahan dianggap sebagai dosa besar.

Perbuatan-perbuatan sumbang seperti itu tidak perlu dibela oleh sesiapa pun kerana perbuatan demikian bertentangan dengan fitrah ciptaan manusia yang bertamadun. Konsep atau pemikiran yang mengatakan bahawa perbuatan seks sebelum perkahwinan merupakan hak individu adalah prinsip hidup masyarakat sekular terutamanya di Barat.

Malaysia dihuni oleh masyarakat pelbagai agama yang amat prihatin terhadap etika dan ajaran agama. Kesemua pemimpin agama sama ada Islam atau bukan Islam melihat perbuatan berzina adalah mengaibkan dan bertentangan dengan nilai dan pengajaran agama mereka.

Masyarakat Barat yang sekular pun amat prihatin terhadap tingkah laku pemimpin mereka. Jika seorang pemimpin Barat melakukan perbuatan seks secara haram, kedudukan mereka dicabar dan dikecam oleh masyarakat walaupun seks di luar nikah merupakan tradisi kehidupan masyarakat sekular.

Tingkah laku para pemimpin yang bertentangan dengan etika keagamaan masih lagi dianggap oleh mereka sebagai perbuatan sumbang. Terdapat ramai pemimpin Barat kehilangan kuasa akibat penyebaran salah laku mereka berkaitan dengan seks.

Pembentukan masyarakat Malaysia perlu berasaskan kepada kepercayaan kepada Allah, kemuliaan akhlak, berfikir dan bertindak mengikut lunas-lunas keperibadian yang mencerminkan kewibawaan dan kehormatan.

Oleh itu dalam pembentukan masyarakat yang berwibawa, ia memerlukan para pemimpin sama ada daripada parti pemerintah atau pembangkang yang memiliki kewibawaan dan kemuliaan akhlak atau etika yang boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah orang yang boleh dipercayai.

Jika persoalan moral berkaitan dengan keperibadian tidak mampu untuk membentuk diri seseorang pemimpin itu menjadi orang yang beretika maka bagaimana mereka dapat menyelesaikan permasalahan moral yang dihadapi oleh muda-mudi masa kini? Ini persoalan yang bermain dalam pemikiran masyarakat di negara ini.

Islam mengajar umatnya supaya mempertahankan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran dan kemaksiatan. Ini merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang bertamadun dan berwibawa. Tidak ada istilah berkompromi dalam hal ehwal maksiat terutama berkaitan dengan perlakuan seks secara haram.

Jika seorang individu bukan Islam melakukan perkara tersebut ia tidak menjadi persoalan kepada umat Islam. Kerana ia berkaitan dengan undang-undang peribadi. Tetapi jika seorang pemimpin masyarakat berkelakuan seperti itu maka ia satu perkara serius yang perlu diambil tindakan walaupun individu tersebut bukan beragama Islam. Ini kerana beliau juga merupakan pemimpin kepada masyarakat beragama Islam.

Persoalan berkaitan dengan keperibadian amat penting dalam aspek kepimpinan kerana pemimpin yang mempunyai akhlak yang tinggi mampu menghadapi pelbagai rintangan yang boleh menggoncangkan keimanan.

Keimanan seseorang pemimpin itu boleh menentukan corak pemerintahan dan kepimpinannya. Orang bukan Islam yang mempunyai keperibadian yang mulia lebih baik memimpin negara dibandingkan dengan orang Islam yang terlalu tipis keimanan dan tidak bermoral.

Dalam soal kepimpinan ia tidak membatasi agama dan bangsa tetapi ia lebih mengutamakan kebijaksanaan, keperibadian yang mulia, keadilan dan sikap kasih sayang kepada negara dan masyarakat. Pada zaman kegemilangan Islam terdapat orang bukan Islam menceburkan diri dalam kepimpinan dan pentadbiran negara Islam.

Malaysia sebuah negara Islam yang dihuni oleh pelbagai kaum yang masih berpegang teguh kepada budaya dan agama. Oleh itu masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa masih menganggap perbuatan seks secara haram adalah termasuk dalam perkara mungkar.

Berkaitan dengan perkara ini maka setiap pemimpin dalam negara ini sama ada Islam dan bukan Islam perlu akur kepada nilai dan budaya masyarakat beragama. Tidak ada istilah 'apologetik' atau cuba melindungi sesuatu perkara buruk dengan alasan tertentu dalam prinsip kepimpinan.

Dalam soal mempertahankan kebenaran dan kebatilan ia tidak mengira agama, bangsa atau kedudukan. Ini merupakan prinsip dan konsep hidup umat Islam yang diajar oleh Allah dan Rasul kepada umatnya. Setiap perbuatan mungkar, ia tetap dianggap mungkar tanpa mengira siapa yang melakukannya. Oleh itu umat Islam perlu rasional dan berpandukan kepada prinsip dan konsep kehidupan Islam dalam menangani sesuatu permasalahan.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts