Selasa, Februari 03, 2009

Komentar - Dunia korporat tidak memartabatkan bahasa Melayu

Bahasa melambangkan bangsa. Ia adalah tonggak kekuatan bangsa kita. Apabila kita membicarakan mengenai sebarang isu mengenai sesuatu bahasa, kita akan terus mengaitkan apakah bangsa seseorang itu. Bahasa melambangkan keagungan sesebuah bangsa dan lemahnya bahasa dalam sesebuah negara itu boleh menggambarkan betapa lemahnya bangsa tersebut sehingga sanggup menggadaikan bahasanya sendiri demi mengagungkan bahasa lain.

Kita sama sekali tidak boleh menidakkan hak sesiapa pun untuk menguasai bahasa asing bagi tujuan menimba ilmu kerana pencarian ilmu adalah penting malah juga dituntut oleh agama Islam selagi ia membawa manfaat kepada individu dan masyarakat. Namun dalam kesungguhan kita cuba menguasai bahasa asing untuk maksud ini, kita tidak boleh mengabaikan bahasa ibunda sendiri sehingga suatu hari nanti kita dihina dan diperkecilkan.

Dalam satu temu bual media semasa pelancaran sebuah model baru kereta buatan asing baru-baru ini, seorang ahli korporat ditanya beberapa soalan dalam bahasa Melayu oleh wartawan televisyen dalam siaran terus menerus. Namun, sepanjang beberapa minit soalan-soalan dilontarkan, ahli korporat tersebut menjawab dalam bahasa Ingggeris tanpa secebis jawapan pun dalam bahasa Melayu.

Di manakah silapnya? Beliau memahami soalan kerana setiap soalan dalam bahasa Melayu itu dijawab dengan baik dalam bahasa Inggeris. Adakah bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam dunia korporat?

Isu tidak menggunakan bahasa Melayu dalam sesuatu wawancara atau forum kerap dibincangkan apabila terdapat ahli-ahli forum meminggirkan penggunaannya walaupun rancangan tersebut dilaksana dalam bahasa Melayu. Terdapat juga segelintir golongan cerdik pandai, golongan korporat seolah-olah leka berbincang dan berdiskusi tanpa secubit pun mengguna bahasa Melayu. Ini sesungguhnya mengecewakan kerana dalam usaha semasa mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu yang agak longlai kini, cabaran itu nyata tidak disahut oleh golongan ini dalam memperjuangkan bahasa Melayu sendiri.

Sudah timbul kekhuatiran bahawa jika perkara ini tidak dibendung, lambat laun masyarakat berbilang kaum negara ini pasti akan mengabaikan bahasa rasmi negara. Jika orang Melayu juga tidak mengendahkan bahasa Melayu, bagaimana kita boleh mengharapkan bangsa lain melakukannya?

Keadaan ini akan meletakkan rakyat Malaysia berada dalam dilema apabila kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan dipersoalkan nanti.

Walaupun dunia korporat memerlukan komunikasi dalam berbilang bahasa, adalah perlu diingatkan kejayaan korporat Melayu sedikit sebanyak bergantung kepada keutuhan peradaban Melayu di bumi Malaysia ini. Kita tidak mahu dalam mengejar keuntungan dan kekayaan, bahasa Melayu dipinggirkan oleh golongan korporat.

Kita harapkan gerakan untuk mendaulatkan bahasa Melayu bukan hanya dilakukan oleh golongan bawahan tetapi juga golongan korporat yang memperoleh kejayaan atas nama Melayu.

Golongan korporat Jepun dan Korea Selatan adalah contoh terbaik bagaimana golongan ini membantu memperluaskan kedaulatan bahasa ibunda mereka. Walaupun syarikat-syarikat mereka sudah menjajah seantero dunia, bahasa ibunda mereka menjadi bahasa perantara walaupun kadang kala sesi wawancara memerlukan penterjemah untuk menyampaikan mesej mereka.

Adakah mereka tidak dihormati kerana bertutur dalam bahasa ibunda mereka? Begitu juga Perancis, Jerman dan Rusia. Mereka amat mengutamakan bahasa ibunda dalam menguruskan pentadbiran negara, sosial dan pelbagai perkara di negara sendiri.

Orang Melayu mesti sedar perkara ini. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir.

Penggunaan bahasa Melayu bukanlah satu tekanan tetapi adalah kewajipan dalam memartabatkan kedaulatannya. Jika ada mereka yang merasakan penggunaan bahasa Melayu tidak ada kelas untuk digunakan dalam segala urusan harian maka kita harus peringatkan mereka. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan jati diri bagi bangsa Malaysia. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts