Sabtu, Februari 07, 2009

Keutamaan Menteri Besar Perak baru

Pada Jun tahun lalu ketika kerajaan negeri Perak diselimuti isu pemberian hak milik tanah kekal 999 tahun untuk keluarga Cina di Kampung-kampung Baru, Dr. Zambry Abdul Kadir menjadi pemerhati yang tajam.

Isu itu kemudian dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri dan orang yang pertama berbuat demikian tidak lain dan tidak bukan, Zambry sendiri.

Beliau orang yang paling lantang menyuarakan bantahan - demi untuk melihat dan memberi keadilan kepada semua kaum lain terutama masyarakat Melayu.

Sejak Perak di bawah genggaman pakatan pembangkang Mac 2008, Zambry tidak putus-putus memuntahkan 'pelurunya' dalam setiap isu yang dicetuskan barisan Exco bekas Menteri Besar kerajaan gabungan DAP, PKR dan Pas demi memastikan Barisan Nasional terus tersemat dalam ingatan sanubari rakyat.

Kelmarin apabila diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru, Zambry, 47, terus membangkitkan tekadnya mahu mengembalikan semula kepercayaan dan keharmonian semua kaum.

"Saya menyeru kepada semua agar terus kekalkan keamanan sedia ada, pelantikan ini adalah perkenan Ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Perak).

"Selama ini dalam keadaan suasana apa pun, dengan riuh rendah jatuh bangun politik, kita masih tetap dapat kawal suasana aman. Saya yakin rakyat cukup matang menghadapi situasi ini," kata beliau pada sidang akhbar di Bangunan RTM Perak lewat malam kelmarin.

Walaupun sedikit penat dengan sibuk bergerak ke sana ke sini Rabu lalu dan semalam mengangkat sumpah pula di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Zambry tetap menampakkan kesungguhan untuk menyerap episod-episod politik luka negeri sejak hampir setahun ini.

Pemilihan Zambry untuk menerajui kerajaan BN negeri sememangnya dijangka sejak awal lagi. Ketua UMNO Bahagian Lumut itu disebut-sebut bukan sahaja kerana ketokohannya malah mempunyai taraf pendidikan tinggi.

Zambry dilihat berkeupayaan dan berkemampuan. Beliau antara ADUN yang memperoleh majoriti selesa dalam pilihan raya umum ke-12 apabila mengekalkan kerusi DUN Pangkor dengan kemenangan selesa ke atas calon PKR, Pkhrazi @ Pakhrazi Musa. Majoriti yang diperoleh 5,785 undi.

Zambry berkelulusan Ph.D dalam bidang politik. Ia lebih menarik lagi apabila kawasan Pangkor dalam Parlimen Lumut juga terletaknya kawasan Pasir Panjang yang diwakili bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pas dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mewakili DAP di Sitiawan.

Semasa kerajaan BN memerintah sebelum Mac 2008, Zambry memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat.

Beliau merupakan seorang pemimpin muda yang berani dan lantang menepis segala tohmahan pakatan pembangkang terhadap BN selama ini sama ada dalam Dewan Undangan Negeri mahupun di mana-mana gelanggang politik.

Latar belakang akademik beliau yang tinggi dan pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadikan beliau begitu peka dengan segala tindakan licik pakatan pembangkang.

Beliau mempunyai Ijazah Muda Ekonomi (kepujian) dan Ijazah Sarjana (Pemikiran Islam) dari UIAM serta Ijazah Sarjana (Falsafah Politik dan Perbandingan Agama) dan Doktor Falsafah (Pemikiran Politik) dari Universiti Temple, Amerika Syarikat. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Saripah Zulkifli dan mempunyai lima orang anak.

Zambry juga antara individu yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kelantangannya memperjuangkan hak-hak Melayu.

Beliau mungkin anak nelayan kelahiran Pangkor yang paling cemerlang. Ibunya, Saidatul Badru Abdul Kadir, 68, ketika ditemubual Utusan Malaysia di Lumut semalam memberitahu, Zambry merupakan seorang anak yang mendengar kata sejak kecil walaupun dibesarkan oleh bapa tirinya, Jaafar Awang Long selepas berpisah dengan bekas suami, Abdul Kadir Mohamad, 68.

''Saya percaya anak saya ini dapat melaksanakan tanggungjawab Menteri Besar dan akan memajukan negeri ini," katanya. Jaafar pula yang mencelah perbualan itu mengimbas kenangan lalu: ''Walaupun dia tak berapa pandai di sekolah tapi dia belajar dengan tekun sehingga ke peringkat tinggi. Saya yakin Zambry dapat memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat Perak," katanya.

Di Bangunan RTM Perak kelmarin, Zambry memberitahu, apa yang yang perlu dilakukan oleh BN negeri selepas ini adalah lebih kerap turun padang menyelesaikan permasalahan rakyat terutamanya berkaitan pendidikan dan kemiskinan.

''Kita kena turun padang, sekadar meneliti angka dan teori, kalau tidak turun padang -- kita tak akan tahu. Apa yang berlaku dari Pulau Pangkor hingga ke Pengkalan Hulu, semuanya kita perlu tahu," katanya.

Zambry melihat keutamaannya sekarang adalah untuk membasmi kemiskinan termasuk masalah setinggan di bandar. ''Kalau satu keluarga kesemua lima anak mereka memiliki pendidikan yang baik, maka kita boleh pastikan kemiskinan lenyap dalam hidup mereka.

Kita tidak boleh kata rakyat kena ambil itu dan ini tapi pendekatan berfikir yang perlu diterapkan ke dalam diri mereka," katanya.

Beliau percaya rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang mempunyai cukup kematangan dalam memastikan keharmonian di Perak berterusan. Kuasa melantik Menteri Besar terletak di bawah perkenan Sultan.

''Yang penting rakyat mahu melihat suasana politik yang stabil kerana sedar kekalutan dalam kehidupan yang ada nanti tidak akan memberi kebaikan kepada sesiapa," kata Zambry.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.