Jumaat, Januari 09, 2009

Melayu perlu buka bidang perniagaan baru

"Buat apa berniaga menjual barang elektrik, orang bukan beli televisyen setiap hari. Kalau nak berniaga bukalah mini market, sebab orang beli barangan dapur setiap hari". Ini adalah nasihat yang biasa kita dengar apabila orang Melayu ingin membuka perniagaan.

Kerana itu, jika kita perhati di sekeliling kita jenis perniagaan yang menjadi pilihan peniaga Melayu masih terikat dengan perniagaan-perniagaan yang streotaip contohnya seperti kedai runcit dan mini market.

Dalam pemerhatian penulis, orang Melayu banyak berpegang kepada prinsip 'berniaga produk yang dibeli orang ramai setiap hari' dalam memilih jenis perniagaan yang ingin mereka ceburi. Kerana itu mereka lebih suka membuka kedai runcit dan mini market kerana bagi mereka setiap hari orang akan membeli barangan keperluan dapur dan makanan.

Pemikiran seperti ini menyebabkan tidak ramai orang Melayu yang berminat untuk membuka kedai menjual minyak wangi, kasut, barangan elektrik, jam, pinggan-mangkuk, permainan kanak-kanak, aksesori kereta dan menjual motosikal kerana pada mereka orang tidak membeli produk ini setiap hari.

Apatah lagi untuk menjual kereta, kerana biasanya orang menukar kereta setiap lima ke lapan tahun sekali. Yang sebenarnya walau pun seseorang itu tidak membeli setiap produk tadi pada setiap hari tetapi setiap hari pasti ada pelanggan yang berlainan yang akan membelinya. Ini yang sukar difahami oleh ramai orang Melayu yang baru cuba menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Dalam sektor pembuatan dan perkilangan pula masih ramai yang bertumpu kepada industri berasaskan makanan. Adakah usahawan Melayu tidak mampu untuk menceburi bidang-bidang pembuatan lain?

Usahawan Melayu mestilah cuba menembusi perniagaan-perniagaan lain yang kurang penyertaan dari bangsa Melayu. Kita tidak mengatakan bahawa industri pembuatan berasaskan makanan ini tidak bagus. Ia sememangnya suatu industri yang sangat bagus dan sinonim kepada bangsa Melayu.

Tetapi janganlah sampai semua usahawan Melayu hanya bertumpu kepada sektor ini. Kita beri peluang kepada syarikat-syarikat yang telah wujud di pasaran untuk membesarkan perniagaan mereka. Janganlah wujud terlalu banyak perniagaan yang sama sehingga terpaksa bersaing sengit sesama sendiri.

Sikap peniaga Melayu yang suka membuka perniagaan yang sudah diusahakan oleh orang lain sebenarnya menimbulkan banyak masalah. Selalu kita lihat jika ada orang yang membuka gerai goreng pisang di satu-satu tempat maka banyaklah selepas itu orang lain yang membuka gerai menjual goreng pisang juga. Dan perniagaan itu dibuka berhampiran satu sama lain.

Dalam bidang perniagaan yang melibatkan kemahiran teknikal juga masih kurang penyertaan dari kalangan usahawan Melayu. Anda boleh perhatikan di kawasan pekan atau bandar tempat anda tinggal berapa banyakkah kedai-kedai orang Melayu yang menjalankan perniagaan seperti kimpalan besi (membuat pintu pagar dan pintu grill), bengkel kereta, penyelenggaraan penghawa dingin dan juga kaca dan aluminium.

Walaupun memang ada bengkel kereta milik orang Melayu tetapi jumlahnya masih sedikit berbanding dengan jumlah pelatih-pelatih yang dihasilkan oleh GiatMara, IKM dan pusat-pusat latihan vokasional yang lain. Mereka lebih berminat kerja makan gaji dengan syarikat-syarikat besar di pusat-pusat servis atau di kilang-kilang automatif.

Penulis pernah berjumpa dengan seorang mekanik di sebuah pusat servis jenama kereta nasional. Daripada pemerhatian penulis mekanik ini sangat cekap dan mahir.

Tetapi apabila penulis bertanya tidak adakah rancangan untuk membuka bengkel sendiri, dia menjawab yang dia tidak mahu mengambil risiko dan lebih suka makan gaji yang disifatkan lebih terjamin.

Usahawan Melayu perlu sedar bahawa penglibatan mereka dalam bidang perniagaan bukan sekadar untuk mencari keuntungan tetapi sebagai tuntutan fardu kifayah. Fardu kifayah bukan hanya solat berjemaah atau menguruskan jenazah sahaja.

Adalah menjadi tanggungjawab untuk segolongan umat Islam yang menjalankan perniagaan yang memenuhi keperluan umat Islam di sesuatu kawasan. Jika tidak seluruh umat Islam di kawasan tersebut akan berdosa.

Alangkah indahnya jika kita dapat berbelanja apa sahaja yang kita perlukan di kedai milik bangsa kita sendiri. Alangkah gembiranya jika kita boleh menempah pagar besi, memasang penggera rumah yang dijual dan dihasilkan oleh peniaga Melayu sendiri.

Orang Melayu sebenarnya sentiasa menyokong perniagaan yang dijalankan orang Melayu sendiri tetapi apabila tidak ada orang Melayu yang menjalankan sesuatu perniagaan yang memenuhi keperluan mereka maka mereka tidak mempunyai pilihan melainkan membeli di kedai orang lain.

Sungguh pun begitu usahawan atau peniaga Melayu pula tidak boleh mengambil mudah dan sentiasa menganggap bahawa jika mereka membuka sesuatu perniagaan maka semua orang Melayu lain akan memberi sokongan walau apa pun terjadi. Ini tidak betul.

Usahawan Melayu harus menjaga kualiti dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk membolehkan orang Melayu lain memberikan sokongan kepada perniagaan mereka. Selain itu mereka juga harus bijak menangani persaingan harga agar pelanggan tidak lari kepada pesaing.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.