Juara Anugerah Juara Lagu (AJL 23)


Apabila sebuah lagi band indie (independent) diangkat menerima pengiktirafan tertinggi dalam pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) yang lalu, ramai yang menyambutnya dengan penuh gembira.

Seperti mana yang berlaku kepada kumpulan Estranged tahun lalu, begitu juga impak yang terhasil untuk Meet Uncle Hussain (MUH) yang menyaksikan lagu mereka, Lagu Untuk Mu dijulang dalam acara yang cukup berprestij itu.

Mungkin pada sesetengah orang, kemenangan MUH dianggap sebagai satu kejutan kerana sebelum ini ramai yang meramalkan lagu 'berhantu', Sampai Syurga hasil gabungan tiga nama besar iaitu Ahmad Izham Omar, Audi Mok dan Faizal Tahir akan dinobatkan dengan gelaran idaman ramai itu.

Pada hakikatnya, tiada siapa yang mampu menidakkan kehebatan Lagu Untuk Mu sehingga melayakkan mereka untuk ditabalkan sebagai Juara Lagu.

Mungkin persoalan yang bermain di minda adalah mengapa Lagu Untuk Mu yang bergelar juara dan bukannya Sampai Syurga?

Barangkali juga, peminat dan masyarakat melihat nama dan populariti Faizal Tahir mampu memberi markah bonus kepada Sampai Syurga untuk memenanginya.

Biarpun Sampai Syurga tidak ditabalkan sebagai Juara Lagu, namun, lagu berkenaan masih lagi dianggap sebagai antara lagu tempatan yang terbaik pernah dihasilkan.

Tetapi, harus diingat, AJL tidak mempertaruhkan penyanyi tetapi sebaliknya, yang bertanding adalah komposer dan penulis lirik sebagai memberi pengiktirafan kepada hasil kerja mereka.

Berbalik kepada kemenangan MUH, sebenarnya, tiada apa yang perlu dipertikaikan tentang kehebatan lagu yang dicipta oleh penyanyinya sendiri iaitu Lan bersama Taja dan Tass.

Keunikan lagu dan kesegaran muzik yang dibawakan oleh MUH memberikan merit yang cukup lumayan kepada mereka sehingga mampu ditabalkan dengan gelaran juara.

Komposisi muzik Lagu Untuk Mu sebenarnya cukup ringkas, namun dalam masa yang sama, ia mampu menangkap halwa telinga tanpa perlu diragui kehebatannya dalam memancing peminat untuk mengikut ritmanya.

Lagu Untuk Mu cukup segala rencahnya dari melodi, liriknya yang ringkas, keaslian sehinggalah ke susunan muziknya sehingga menjadikan lagu tersebut sebagai santapan yang paling enak buat juri memilih lagu berkenaan sebagai juara.

Malah, kekuatan Lagu Untuk Mu juga sebenarnya terletak kepada kekuatan vokal penyanyinya, Lan yang bijak menghidupkan lagu tersebut dengan lenggok suaranya yang berbeza dengan penyanyi band yang sedia ada.

Sebenarnya, bermula dengan kemenangan Estranged tahun lalu di pentas yang sama menerusi lagu Itu Kamu dan legasi band indie kini disambung pula MUH, cukup membuktikan iklim muzik tempatan sebenarnya mengalami perubahan yang cukup mendadak.

Apa yang diperjuangkan oleh band indie ini sememangnya perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana mereka ini yang membawa perubahan kepada senario industri muzik yang kini semakin kelam.

Seluruh karyawan seni, peminat dan khalayak perlu melihat kebangkitan band indie ini dari sudut yang cukup positif kerana lagu dan muzik yang dibawakan mereka sebenarnya menjadi hala tuju industri hiburan tempatan.

Bukanlah penyanyi mahupun komposer yang sedia ada tidak bagus, tetapi inilah masanya untuk semua pihak bergabung dan menghasilkan sesuatu yang baru demi kemajuan muzik tempatan.

Sampai bila kita harus berada dalam zon selesa dalam usaha untuk memancing peminat muzik kita untuk terus meminati muzik sendiri tanpa berkiblatkan muzik seberang yang semakin mendominasi pasaran muzik kita?

Alasan cetak rompak mahupun isu muat turun bukan lagi alasan utama masa kini apabila membicarakan tentang kelembapan industri muzik negara.

Mereka mempunyai pilihan untuk berbuat demikian kerana itu merupakan trend masa kini yang kita sendiri tidak mampu untuk menafikannya.

Kalau diamati sehalusnya, semua jawapan kepada permasalahan itu sebenarnya terletak dalam diri karyawan seni tanah air untuk mengembalikan kegemilangan muzik tempatan.

Mereka perlu mengambil inisiatif untuk menjadi lebih kreatif dan berani dalam menghasilkan karya mereka dan jika semuanya bersatu, nescaya, industri hiburan kita mampu bangkit dan meriah kembali.

Kita harus sedar pasaran muzik tempatan akan terus berubah mengikut musim dan karyawan seni harus memikirkan ideologi baru dalam menghasilkan sesuatu karya.

Untuk pemenang, ia bukanlah alasan untuk anda terus berasa selesa dan duduk menggoyangkan kaki kerana tugas anda menjadi lebih berat selepas ini.

Teruskanlah menghasilkan karya yang mampu membuat kita bangga dengan dengan industri muzik kita.

Sekalung tahniah juga harus diberikan kepada TV3 kerana telah menjadikan AJL sebagai satu jenama yang cukup besar dan sehingga kini, tiada yang mampu menidakkan impak yang terhasil untuk anak seni yang menyertai AJL.

Ini kerana ia satu-satunya pertandingan yang mempertaruhkan kehebatan karya anak seni negara dan seterusnya mengiktiraf penat lelah mereka untuk memajukan industri hiburan tempatan.

Perjalanan AJL selama 23 tahun sudah cukup menampakkan evolusi muzik yang berkembang begitu ketara dan seandainya, tiada pentas dan platform seperti mana AJL, tidak mungkin karya tempatan mampu diperdengarkan kepada khalayak serta membuktikan bahawa muzik tempatan masih lagi bernyawa.

Mengulas tentang AJL23 yang bertemakan Iluminasi Muzik itu, tidak keterlaluan dikatakan ia merupakan AJL yang terbaik pernah dihasilkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahniah kepada penerbitnya, Roslina Abd. Rahman atau Ayong serta seluruh krew produksi kerana menjadikan AJL23 sebagai sebuah acara muzik yang cukup gah.

Ternyata tema Iluminasi Muzik yang diketengahkan cukup 'hidup' sepanjang dua setengah jam AJL23 berlangsung.

Permainan cahaya yang cukup bijak mengiringi setiap lagu yang bertanding serta ditambah pula dengan grafik yang melatari skrin yang ada di pentas menjadikan perjalanan AJL23 begitu indah dan berseri.

Bukan itu sahaja, kekuatan AJL23 juga sebenarnya terletak kepada persembahan setiap penyanyi terutama penyanyi generasi muda yang dilihat menampakkan kesungguhan mereka untuk mempamerkan persembahan yang cukup bertenaga, menarik dan energetik.

Sama sekali tidak pernah menyangka mereka akan tampil dengan idea-idea baru dan segar dan pujian sememangnya harus diberikan kepada mereka di atas keberanian mereka membawa diri mereka keluar dari kepompong.

Bermula dengan persembahan pembukaan oleh One Nation Emcees menerusi lagu yang dicipta oleh Damien Mikhail Seet, sudah cukup menggambarkan bahawa AJL23 akan berlangsung dengan penuh gah dan semuanya itu telah terbukti.

Momentum AJL23 terus meningkat sehingga ke persembahan selingan yang menyaksikan gandingan tiga penyanyi hebat iaitu Jamal Abdillah, M. Nasir dan Jaclyn Victor yang mempersembahkan lagu Isabella.

Ironinya, lagu Isabella merupakan lagu yang pernah menjulang AJL dua dekad yang lalu dan persembahan yang turut diiringi oleh tiga penyanyi cilik berbakat besar juga menjadikan alunan Isabella begitu indah sekali pada malam itu diiringi muzik orkestra di bawah pimpinan maestro muzik terkenal, Ramli M.S.

Apa yang pasti, AJL23 telah menyaksikan pertarungan yang cukup hebat muka baru industri hiburan tanah air dan kehadiran mereka adalah sebagai isyarat untuk memberitahu kehadiran mereka adalah sebagai penyambung legasi untuk terus memberi sinar baru dalam industri muzik.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.