Isnin, Januari 26, 2009

Israel sah guna fosforus - Amnesty

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International mengesahkan bahawa terdapat bukti tentera rejim Zionis Israel menggunakan fosforus putih semasa menyerang Genting Gaza.

Menurut pertubuhan itu, kesan terbakar pada siling bangunan, serpihan bom yang ditinggalkan dan bahan itu yang terbakar apabila disentuh merupakan bukti tentera rejim Zionis itu menggunakan bom mengandungi bahan fosforus putih.

Fosforus putih merupakan bom pembakar yang diharamkan penggunaannya di kawasan penempatan awam di bawah konvensyen antarabangsa.

Pada 5 Januari lalu, tentera rejim Zionis telah mengebom wilayah Beit Lahiya di utara Genting Gaza dan dua minggu kemudian, seorang pakar senjata dari Britain, Chris Cobb-Smith telah menjalankan penyiasatan di kawasan berkenaan.

"Di kawasan ini, fosforus putih yang jatuh dari bumbung telah menyebabkan berlalu letupan di dinding dan bahan kimia itu tersebar ke seluruh kawasan rumah.

''Beberapa kebakaran yang berlaku membuktikan ada pengunaan bahan terlarang itu," jelasnya.

Sejak akhir minggu lalu, Cobb-Smith dengan delegasi Amnesty telah melawat beberapa kawasan lain di Gaza bagi menyiasat mengenai penggunaan fosforus putih oleh tentera Israel.

Seorang mangsa yang terselamat dalam serangan bom mengandungi bahan fosforus, Abu Halima yang ditemui di Hospital Shifa, Genting Gaza berkata: ''Ia amat menyakitkan, kulit saya terbakar sehinggakan saya tidak dapat tidur siang dan malam."

Mangsa itu turut menceritakan kulitnya yang terkena bahan itu akan keluar asap jika dibasuh atau dibalut.

Ketua pertubuhan itu, Donatella Rovera meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjalankan siasatan berhubung penggunaan bahan fosforus putih oleh tentera Israel dalam serangan di Gaza, baru-baru ini.

Beliau juga menggesa PBB supaya menjalankan siasatan berhubung jenayah perang yang dilakukan oleh pihak Hamas dan tentera Israel.

Katanya, pelaksanaan genjatan senjata yang berkekalan di wilayah Palestin itu akan bergantung kepada 'kesungguhan politik negara yang mempunyai pengaruh ke atas Israel termasuk AS dan Kesatuan Eropah.

Israel setakat ini tidak menafikan bahawa tentera rejim Zionis itu telah menggunakan senjata mengandungi bahan fosforus tetapi pada masa yang sama menjelaskan bahwa ia juga menggunakan senjata yang tidak diharamkan oleh konvensyen antarabangsa.

- AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.