Khamis, Januari 29, 2009

Filem Geng sedia berdepan cetak rompak


Geng Pengembaraan Bermula (Geng) merupakan filem animasi pertama terbitan syarikat Les' Copaque Production (LCP) yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 12 Februari ini.

Sebagai sebuah filem baru, Geng yang diarahkan oleh Mohd. Nizam Abd. Razak itu bakal berdepan dengan pelbagai rintangan antaranya termasuklah masalah lanun-lanun cetak rompak yang akan mengambil kesempatan.

Bagaimanapun menurut Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md. Radzi, beliau bersedia berdepan dengan masalah yang belum berkesudahan itu dan menganggapnya sebagai suatu cabaran sebelum Geng ditayangkan kepada umum.

"Sebelum ini pun, siri animasi televisyen (TV) terbitan kami, Upin & Ipin telah dicetak rompak dan dijual di pasar-pasar malam. Malah, ada kedai yang menjual buku dan kitab turut menjual VCD cetak rompak siri tersebut.

"Kami biarkan sahaja sebab tidak boleh buat apa-apa tetapi pada masa sama mereka (lanun cetak rompak) telah mempromosikan siri Upin & Ipin. Secara tidak langsung ia membantu menjual barangan berkaitan siri TV itu.

"Ini kerana, untuk mempopularkan sesuatu karekter termasuklah watak Upin dan Ipin ia memerlukan kos yang tinggi," katanya pada sidang media selepas pratonton Geng di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Upin & Ipin yang pernah ditayangkan menerusi saluran TV9 pada Ramadan tahun lalu merupakan dua karekter utama yang ditonjolkan menerusi Geng selain watak-watak remaja serta kanak-kanak seperti Badrol, Rajoo, Lim dan Ros.

Biarpun berdepan dengan masalah lanun cetak rompak, tetapi Burhanuddin optimis Geng yang menelan kos RM4juta itu mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.

"Kebetulan Geng akan ditayangkan pada musim cuti sekolah akan datang. Bagaimanapun bukan faktor cuti sekolah semata-mata, tetapi kami ada strategi pemasaran sendiri berdasarkan rangka promosi melalui pelbagai medium.

"Antaranya, ramai peminat terutamanya golongan pelajar yang melayari laman blog kami di Internet memberi sokongan padu. Selain itu studio LCP juga menerima kunjungan ramai pelajar yang tertarik mahu melihat lebih dekat tentang Geng.

"Bagi saya, kalau dalam masa dua minggu Geng ditayangkan di pawagam dan ia dapat mengutip kutipan tiket RM5juta itu sudah kira bagus. Kami akan berusaha memikirkan formula lain bagi membantu kami mencapai hasrat itu," ujarnya.

Jelas Burhanuddin, beliau berharap Geng yang menampilkan kesemua muka-muka baru dalam bidang lakonan dan penerbitan animasi itu mencapai matlamat tersebut berdasarkan konsep dan jalan cerita filem tersebut.

Ini kerana katanya, menerusi Geng terdapat pelbagai unsur seperti pengembaraan, seram, komedi, pengajaran, budaya setempat, perpaduan dalam masyarakat majmuk dan fantasi yang mampu menarik perhatian para penonton.

"Walaupun Geng merupakan sebuah filem animasi tetapi kami menyelitkan pelbagai elemen supaya ia bukan setakat boleh dihayati oleh golongan kanak-kanak tetapi orang dewasa pun tidak ada masalah untuk berhibur sama.

"Sebagai contohnya, ada karekter kanak-kanak yang lucu iaitu Upin dan Ipin sebagai daya tarikan selain elemen sedih pada penghujung jalan cerita filem ini yang seakan-akan macam filem Hindustan," katanya sambil ketawa kecil.

Tambah beliau lagi, penerbitan Geng bukan setakat mahu memenuhi impian tiga pelajar dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU) iaitu Mohd. Nizam Abd. Razak, Muhammad Usamah Zaid dan Mohd. Safwan Abd. Karim yang mahu menerbitkan filem animasi.

Sebaliknya, filem animasi mempunyai prospek dan masa depan cerah dan tidak patut dilepaskannya begitu sahaja, apatah lagi ia mendapat sokongan daripada Multimedia Development Corporation atau MDeC iaitu salah sebuah agensi kerajaan.

"Saya terbitkan filem ini bukan setakat memenuhi impian tiga pelajar graduan jurusan animasi dari MMU terbabit tetapi juga kerana merebut peluang perniagaan dalam bidang ini. Selepas Jun Geng akan dipasarkan di luar negara.

"Antaranya kami akan memasarkan atau menjual hak siaran ke luar negara antara ke Korea, India, Argentina, Rusia, Amerika Syarikat, India dan negara-negara Eropah. Kami bersyukur kerana kerajaan memberi geran RM1juta kepada kami.

"Geran yang diberi menerusi (MOSTI) Kementerian Teknologi dan Inovasi itu banyak membantu kami menyiapkan filem ini dalam masa empat tahun dengan tenaga kerja termasuklah animator seramai 40 orang," jelasnya.

Geng mengisahkan Badrol yang mengajak kawannya, Lim pulang ke kampung datuknya di mana suatu kejadian misteri berlaku apabila kehilangan durian di sebuah dusun tidak dapat mengesan pencuri yang melakukannya.

- Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts