Rabu, Januari 21, 2009

Empat langkah ringan beban sektor industri

Kerajaan akan melaksanakan empat langkah bagi meringankan sektor industri dan memastikan negara mampu berdepan dengan keadaan tidak menentu ekonomi global.

Langkah itu ialah memastikan sektor berkenaan terus mempunyai akses kepada kredit, mengurangkan kos pinjaman; mengurangkan kos untuk mengekalkan pekerja mahir dan kos penggunaan tenaga syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata agenda paling penting kerajaan ketika ini ialah memastikan sektor industri tidak berdepan masalah dalam mendapatkan kredit untuk kekal bertahan dalam tempoh enam bulan dan setahun akan datang.

"Sesetengah syarikat memaklumkan bahawa bank mula bimbang terhadap kadar keuntungan dan aliran tunai syarikat dalam tempoh enam bulan dan setahun akan datang dan mula memansuhkan kemudahan kredit yang tidak digunakan.

"Justeru, penting bagi kita memastikan syarikat terus mendapat kredit dan ada beberapa pakej yang boleh digunakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membolehkan mereka terus beroperasi," katanya pada taklimat di Putrajaya semalam.

Amirsham berkata, kerajaan juga sedang menimbang untuk mengurangkan lagi kos pinjaman.

"Kita pasti Bank Negara memantau perkara ini bagi memastikan kos kredit adalah rendah dan industri boleh terus beroperasi dalam waktu sukar," katanya

Beliau berkata, kerajaan juga dalam tempoh terdekat ini akan mengumumkan insentif bagi membantu sektor industri mengurangkan kos mengekalkan pekerja mahir mereka.

"Berikutan penurunan permintaan eksport kesan daripada kelemahan ekonomi negara maju, sektor industri tempatan kini terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk mengekalkan pekerja mahir masing-masing yang mereka akan perlukan apabila ekonomi kembali pulih.

"Mereka mungkin memerlukan bantuan kerajaan untuk mengurangkan kos bagi mengekalkan pekerja mahir ketika krisis ini dan kita akan umumkan dalam masa terdekat," katanya.

Amirsham berkata, kerajaan juga akan mengumumkan langkah untuk membantu sektor industri mengurangkan kos tenaga dalam tempoh dua minggu ini.

"Mereka (sektor industri) memaklumkan kepada kita dua minggu lalu meminta kerajaan mengkaji semula kos tenaga, terutama gas, kita akan umumkan selepas mendapat keputusan Kabinet dalam seminggu atau dua minggu lagi," katanya.

Sementara itu Amirsham berkata, ekonomi negara buat masa ini masih berdaya tahan berbanding sesetengah negara yang sudah pun terjerumus ke dalam kemelesetan, berikutan permintaan dan perbelanjaan domestik negara ini yang terus kukuh.

Bagi memastikan permintaan dan perbelanjaan domestik itu terus kukuh, kerajaan katanya, akan memperhebatkan kempen penggunaan barang tempatan serta mencari jalan untuk menambah pendapatan boleh belanja rakyat.

Mengenai kemungkinan pemberhentian pekerja secara besar-besaran, beliau berkata, kerajaan memantau perkara itu dan cuba membantu syarikat terbabit supaya terus bertahan bagi tempoh antara enam bulan dan setahun akan datang.

- Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts