Jumaat, Disember 26, 2008

Wanita UMNO beri pendidikan elak undi rosak


Pergerakan Wanita UMNO akan memberi penjelasan dan pendedahan kepada pengundi wanita di kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mengenai cara yang betul membuang undi bagi mengelak berlakunya undi rosak.

Calon BN bagi kerusi tersebut, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, perkara itu penting dilakukan kerana pada pilihan raya umum Mac lalu, kerusi tersebut mencatatkan sebanyak 1,050 undi rosak.

''Jadi melalui kaedah ini, ia akan membantu untuk mengelak keadaan yang sama berlaku lagi," katanya selepas membuat lawatan ke Kampung Bukit Putih di sini hari ini.

Menurutnya, daripada laporan yang diterima, memang jelas terdapat segelintir pengundi yang masih tidak tahu untuk mengundi dengan cara yang tepat.

''Dengan kaedah ini, saya percaya ia boleh mengurangkan undi yang rosak,'' katanya.

Jelasnya, Pergerakan Wanita UMNO juga akan mengadakan kempen dari rumah ke rumah selain memberi penjelasan mengenai cara yang tepat untuk membuat pangkah pada kertas undi bagi mengelakkan undi rosak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan melancarkan laman blog sendiri untuk memberi penjelasan kepada golongan muda yang berada di luar Terengganu untuk terus menyokongnya.

''Memang kita akui terdapat banyak maklumat yang tidak betul, jadi melalui laman web itu, ia akan memberi penjelasan yang sebenar," katanya.

Selain itu, pihaknya juga akan menggunakan cara tersendiri untuk menjejak pengundi di luar supaya mereka balik mengundi.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts