Rabu, Disember 24, 2008

Temubual dengan Calon BN - Datuk Wan Farid

Difahamkan Datuk tidak tahu akan dipilih sebagai calon sehingga diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada petang Sabtu lalu. Selepas itu Datuk terus mengumumkan setuju sebagai calon, walaupun tahu terpaksa melepaskan jawatan senator dan timbalan menteri?

Apabila kita memutuskan untuk menjadi pemimpin politik, kepentingan diri hendaklah diletakkan di belakang. Tambahan pula, tidak pernah tercatat dalam rekod saya dalam sebarang keadaan, membelakangkan kepentingan parti. Oleh itu apabila diminta menggalas sesuatu cabaran, kita tidak fikir dua kali dan sedia berkorban dan rela melepaskan sesuatu yang sudah kita miliki, termasuk jawatan senator yang akan saya lepaskan pada 5 Januari selepas mengangkat sumpah untuk penggal kedua, semalam. Saya mungkin menjadi Ahli Dewan Negara paling singkat memegang jawatan, tetapi demi perjuangan saya akan teruskan.

Datuk sudah memegang jawatan sebagai senator dan timbalan menteri, ke mana hala tuju politik Datuk sekiranya tewas pada pilihan raya kecil ini yang dianggap sengit kerana pemerhati menjangkakan peluang untuk Umno dan Pas adalah 50:50?

Saya fikir perkara itu tidak perlu timbul setakat ini kerana sampai masa dan ketika saya mengharap dan mendoakan rakyat dan pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu memberi mandat kepada BN. Masa depan (politik) saya tidak mustahak, tetapi masa depan parti lebih penting.

Datuk sedia berkorban untuk Kuala Terengganu, bagaimana harapan terhadap pengundi?

Itulah yang kita harapkan tertanam dalam pemikiran pengundi di Kuala Terengganu dengan menterjemahkan pengorbanan saya kepada sokongan terhadap BN, sekali gus membolehkan parti mengekalkan kerusi ini untuk meneruskan agenda pembangunan yang sudah dirangka.

Apakah strategi untuk mendekati pengundi kerana sebelum ini Datuk bergerak sebagai timbalan menteri?

Sebenarnya, walaupun saya tidak menjadi Yang Berhormat (YB) yang dipilih rakyat, saya adalah seorang senator. Sebaik menjadi ketua bahagian pada Julai 2004, saya sudah membuka pusat perkhidmatan di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu. Setiap minggu saya akan mengadakan pertemuan, bukan saja dengan ahli parti, malah dengan semua rakyat. Hubungan saya dengan persatuan ibu bapa dan guru, persatuan imam dan bilal, pertubuhan belia dan sukan adalah hubungan yang sentiasa dibajai dengan keakraban. Jadi, jalinan hubungan yang sedia wujud inilah akan dijadikan sandaran bagi memudahkan lagi saya mendekati pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu. Saya juga akan dibantu rakan dalam parti komponen.

Jika dikaji keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, BN tewas di kebanyakan peti undi. Bagaimana jangkaan kali ini?

Ya, berdasarkan kajian yang dibuat secara menyeluruh dalam konteks kerusi Parlimen, Allahyarham Datuk Razali menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Batu Burok dan Bandar. Daripada empat DUN, Razali menang tiga. Jadi, jika BN hendak mengekalkan kemenangan dalam Parlimen ini, kita hendaklah mengekalkan kemenangan di tiga DUN berkenaan, pada masa sama mengurangkan kekalahan di DUN Wakaf Mempelam, antara kubu terkuat Pas.

Pas mengatakan mereka akan menampilkan calon lebih berkelayakan dan mereka akan menang dengan majoriti lebih besar apabila Datuk dipilih menjadi calon BN?

Saya hairan bagaimana Pas boleh mendahului Tuhan. Pas boleh bercakap boleh menang mudah dengan majoriti lebih besar, tetapi hakikatnya rakyat yang membuat keputusan. Saya pula akan meneruskan kerja dilakukan Allahyarham, berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dan meyakinkan mereka bahawa perlu ada kesinambungan berkesan daripada seorang wakil rakyat BN untuk meneruskan legasi Razali yang merangkumi pelbagai aspek, terutama bidang pendidikan.

Banyak pihak melihat ketiadaan Datuk ketika pengebumian Razali sebagai tanda pergolakan yang akan dijadikan isu bukan saja di kalangan ahli Umno, malah akan turut dipergunakan Pas sebagai modal kempen?

Saya berada di Institut Aminuddin Baki (IAB) setengah jam selepas Razali menghembuskan nafas terakhir dan terus mengiringi jenazah dibawa ke Hospital Bentong dan dari sana saya balik ke Kuala Lumpur kerana bercadang menggunakan penerbangan ke Kuala Terengganu. Tetapi dalam perjalanan, saya dimaklumkan ibu Menteri Besar (Datuk Ahmad Said) meninggal. Saya merancang menziarah kedua-dua jenazah. Saya minta kerjasama polis untuk menggunakan helikopter ke Kemaman (ibu Menteri Besar) terlebih dulu, sebelum ke Kuala Terengganu. Bagaimanapun, selepas singgah di Kemaman, hujan lebat menyebabkan juruterbang tidak dapat meneruskan penerbangan ke Kuala Terengganu menyebabkan saya tidak dapat hadir pada pengebumian Razali. Saya hanya sempat datang tahlil pada sebelah malam. Itulah, kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan menentukan.

Kegiatan ‘peteh keting’ sering berlaku dalam politik tempatan, bagaimana kali ini apabila ramai pihak mengatakan ada beberapa nama lain yang dikemukakan kepada pucuk pimpinan, tetapi dicantas bahagian?

Saya tidak pernah melaung-laungkan kepada umum bahawa saya adalah calon terbaik. Tetapi, saya mahu menjelaskan berdasarkan rekod mesyuarat bahagian yang mana pencalonan hendak diputuskan, (Timbalan Ketua Bahagian, Mohd Sabri Alwi minta saya keluar), nama saya dicadangkan sebulat suara oleh jawatankuasa cawangan, bahagian dan ketiga-tiga sayap parti. Dengan kata lain, saya mendapat sokongan daripada setiap peringkat parti. Justeru, kebarangkalian untuk berlaku kegiatan ‘peteh keting’ terlalu tipis.

Bagaimana kedudukan dan tahap kesiapsiagaan Umno bahagian selepas pemilihan baru-baru ini?

Pemilihan jawatan parti berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan tidak sama sekali menyebabkan Umno bahagian berpecah-belah. Walaupun 103 bahagian mencalonkan saya mengekalkan jawatan peringkat timbalan dan naib, ada pertandingan. Saya jelaskan kepada perwakilan mereka yang tidak menang juga akan diberi tempat tertentu untuk menyumbang kepada parti kerana kita mengambil kira pengalaman mereka. Justeru, jentera Umno sedia untuk menghadapi pilihan raya ini. Selepas Razali meninggal, kita juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Pembelaan Rakyat untuk meneruskan sementara khidmat beliau kepada rakyat.

Ada pihak mendakwa pemilihan Datuk sebagai calon adalah seperti ‘menggali lubang’ mahu membunuh kerjaya politik Datuk, kerana peluang untuk menang masih samar?

Ini adalah usaha melaga-lagakan ahli kerana saya tidak fikir Umno negeri dalam keadaan seteruk itu. Memang ada sedikit masalah ketika musim pemilihan, tetapi kini keadaan sudah pulih. Saya tidak tahu siapakah watak yang sedang menggali lubang itu. Saya rapat dan akrab dengan pucuk pimpinan Umno negeri, termasuk Menteri Besar. Beliau adalah pelanggan ketika saya jadi peguam dulu dan ia berterusan hingga kini. Tidak ada sebab untuk saya dilihat sebagai musuh oleh rakan dalam parti.

Keadaan politik di Pantai Timur berbeza dengan Pantai Barat kerana sentimen perkauman hampir tidak relevan di sini. Bagaimana, Datuk melihat peranan pengundi 8,000 pengundi Cina dan India (500) di Kuala Terengganu?

Pengundi Cina dan India penting dan saya yakin mereka menyokong saya kerana sudah lama berhubung dengan mereka, terutama ketika menjadi peguam 18 tahun lalu. Rakan kongsi saya juga Cina. Hubungan saya dengan mereka memang rapat. Mereka kenal saya dan tahu peranan mereka dan siapa yang perlu mereka undi dalam pilihan raya kecil nanti. Pengundi Cina dan India tidak banyak dipengaruhi isu nasional, cuma yang berkaitan dengan bantuan dan sokongan kerajaan negeri kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan peranan sekolah berkenaan. Jadi, apabila prihatin dan menangani isu yang dekat dengan mereka, saya fikir tiada sebab mereka menolak kerajaan BN.

- Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts