Isnin, Disember 01, 2008

Sambutan Hari AIDS Sedunia 2008

Tanggal 1 Disember 2008 merupakan ulang tahun ke-20 sambutan Hari AIDS Sedunia yang mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 1988.

Konsep Hari AIDS Sedunia bermula pada 1988 dengan Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Kesihatan Sedunia untuk Program Pencegahan AIDS.

Semenjak tahun itu, Hari AIDS Sedunia disambut di seluruh dunia dengan membawa slogan dan tema yang berbeza hampir setiap tahun.

Tema yang berbeza-beza diberikan WHO adalah berkaitan dengan kumpulan sasaran dan hala tuju tertentu dalam usaha menentang penularan HIV dan AIDS bagi tahun tersebut.

Untuk tahun ini, ‘kepemimpinan’ dipilih sebagai tema sambutan kerana telah terbukti bahawa komitmen yang baik dan berterusan oleh pemimpin amatlah penting bagi memastikan kejayaan sesuatu usaha menangani masalah tertentu, terutama sekali dalam aspek menangani wabak HIV/AIDS.

Kepemimpinan yang baik datang dari pemimpin yang berani bertindak, inovatif, berwawasan dan sanggup bertahan dalam menghadapi rintangan dan cabaran yang mendatang.

Dalam aspek HIV/AIDS, kepemimpinan amat penting dan perlu ada di setiap peringkat iaitu peringkat keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa.

Tema sambutan ini diharap dapat membantu menggalakkan usaha kepemimpinan serta melahirkan jaguh menentang AIDS di setiap sektor dan peringkat masyarakat di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Objektif sambutan

HIV disebarkan melalui hubungan terus melalui darah atau cecair badan yang mempunyai virus tersebut seperti darah, sperma, cecair vagina dan susu badan.

Oleh itu, jangkitan boleh berlaku melalui hubungan seks, pemindahan darah tercemar, cucukan jarum tercemar (sengaja atau tidak) atau dari ibu kepada anak semasa mengandung, kelahiran atau penyusuan badan.

Walaupun kini terdapat rawatan untuk HIV dan AIDS yang boleh memperlahankan perkembangan penyakit ini, vaksin atau ubat untuk menyembuhkan sepenuhnya penyakit ini masih belum dapat dihasilkan.

Pencegahan pula masih menjadi langkah pilihan utama untuk mengawal penyebaran HIV dan penularan AIDS.

Antara objektif utama sambutan Hari AIDS Sedunia adalah untuk memupuk kesedaran dalam masyarakat pelbagai peringkat mengenai keperluan memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat masing-masing dalam usaha untuk menangani pandemik AIDS.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan penglibatan dan sokongan pemimpin dan ketua masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/AIDS di dalam dan luar negara.

Sambutan ini juga membantu mengingatkan para pemimpin terbabit mengenai janji-janji yang perlu ditunaikan dalam meningkatkan dan meneruskan usaha mengawal penularan HIV dan AIDS.

Bagaimanapun, sambutan Hari AIDS Sedunia setiap tahun tetap menekankan penglibatan orang ramai dan menggalakkan penyertaan anggota masyarakat supaya bersama-sama bertanggungjawab dalam usaha mencegah dan mengawal penyebaran penyakit HIV/AIDS.

Satu keperluan

Sambutan Hari AIDS Sedunia diadakan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan pemahaman, serta kemahiran masyarakat mencegah HIV/AIDS.

Kempen AIDS Sedunia diiktiraf sebagai salah satu daripada peristiwa penting dalam memperingati segala usaha, pengorbanan dan sumbangan yang dicurah oleh sektor awam, pertubuhan-pertubuhan berkaitan dan orang perseorangan yang terlibat dalam usaha pencegahan dan pengawalan wabak AIDS.

Di negara kita, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) mengatur pelbagai aktiviti sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia.

Ini dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti sambutan yang telah dirancang dan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Aktiviti

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen sambutan Hari AIDS Sedunia 2008 tertumpu kepada aktiviti-aktiviti yang dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sempena kempen sambutan Hari AIDS Sedunia tahun ini ialah:

- Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Negeri.

- Seminar berkaitan Kepemimpinan di peringkat agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan individu dalam menangani HIV/AIDS.

- Larian AIDS oleh Persatuan Pegawai Penerangan (Pelajaran Kesihatan) dengan kerjasama Kelab PROSTAR Malaysia.

- Aktiviti pendidikan kesihatan di kemudahan kesihatan dan hospital kerajaan.

- Aktiviti pendidikan kesihatan melalui media massa.

- Makluman melalui laman web dan edaran bahan-bahan bercetak kepada orang ramai.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts