Rabu, Disember 24, 2008

Rumah Syed Hamid disimbah cat


Rumah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan pejabat Ketua Pergerakan Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Sadique di sini, dibaling cat merah oleh pihak tidak bertanggungjawab semalam, dipercayai bermotifkan politik.

Selain itu, rumah Setiausaha Akhbar Syed Hamid, Rosleli Jahari di Jalan Limau Kupas 1, Taman Kota Jaya di sini, turut menjadi sasaran apabila balingan cat merah itu terkena lantai hadapan rumahnya.

Lebih menggemparkan, empat kejadian hampir sama turut didakwa berlaku sejak Sabtu lalu, menjadikan lapan kes dalam tempoh 72 jam di daerah ini.

Pada Sabtu lalu, dua papan tanda Barisan Nasional (BN) di Jalan Johor yang terletak bersebelahan bangunan terbiar di Jalan Tembioh, diconteng dengan semburan cat kuning.

Kumpulan sama pada awal pagi itu dipercayai menconteng Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Kota Tinggi di Jalan Jaafar, Kota Tinggi dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Tenggara di Jalan Mempelam, Taman Kota Jaya di sini, yang jaraknya sejauh dua kilometer.

Untuk rekod, Syed Hamid ialah Ahli Parlimen Kota Tinggi manakala Halimah Ahli Parlimen Tenggara.

Terbaru, rumah Syed Hamid di Kampung Jawa dibaling cat merah dipercayai berbungkus plastik mengenai lantai di belakang rumahnya, pagi semalam.

Turut menjadi sasaran ialah pejabat Halimah apabila pintu cermin berjeriji dibaling cat merah, selain rumah Rosleli.

Berikutan itu, orang ramai yang melalui Jalan Tun Seri Lanang persimpangan Jalan Jaafar di mana terletak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Tinggi terkejut melihat taburan cat atas bahu jalan dipercayai baki yang dibaling mengenai gambar Syed Hamid di papan tanda Barisan Nasional.

Sepasukan anggota Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor membuat siasatan di sekitar kawasan itu berikutan laporan mendatangkan bencana kepada harta awam.

- Harian Metro

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts