Rahsia secawan Teh

Karektor daun teh sebenarnya banyak ditentukan oleh keadaan di mana ia tumbuh, serta bagaimana cara ia diproses dan elemen-elemen yang mempengaruhinya sepanjang pemprosesan berlaku.

Ini memandangkan teh adalah sejenis tanaman yang sensitif.

Suhu sejuk di tanah tinggi Cameron dan tanah yang subur tidak berasid serta keadaan persekitaran yang bersesuaian, membolehkan teh yang tumbuh di sini di gred daripada jenis yang berkualiti terbukti dari segi rasa dan aroma.

Mengikut Pakar Perasa Teh, Teh BOH, Darrel Samaweera, tugasnya adalah merasa hampir seribu cawan teh setiap hari untuk menentukan rasa, kualiti dan gred teh berkenaan.

Tugas ini biarpun tampak mudah, namun sebenarnya ia bukan senang bagai disangka.

‘‘Setiap pakar perasa teh perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang ini sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum seseorang itu boleh berkebolehan merasai teh.

‘‘Seperti saya yang berpengalaman selama lebih 15 tahun, dengan sekali hirupan saya sudah boleh tahu dari mana teh itu ditanam, di bahagian mana, sama ada ia ditanam di tanah rendah atau tinggi,’’ katanya.

Beliau sebelum ini sering dijemput ke beberapa buah negara iaitu Afrika, India, Sri Lanka, Arab Saudi, Malawi, Kenya serta Indonesia sebagai perasa teh, sebelum bersama BOH sejak tahun 2004.

Darrel berkata, kualiti teh mudah bertukar bergantung cara mana ia diproses serta faktor cuaca.

Tugas Darrel bermula sebaik sahaja teh dikeringkan dan dikisar. Pakar ini seterusnya akan memeriksa daun-daun teh yang kering dan kemudian aroma teh sebelum menentukan kualiti, rasa dan aroma.

‘‘Setiap teh yang hendak diukur perlu ditimbang dengan berat (selalunya lima gram) masa yang sama sebelum dituang ke dalam cawan yang bertutup dengan air masak dan ditunggu selama enam minit sebelum dihirup.

‘‘Ideanya adalah untuk menentukan warna, rasa dan aroma teh. Semuanya perlu dilakukan secara berhati-hati kerana sebarang perubahan dan ketidakseragaman untuk ‘mengukur’ teh itu menyebabkan rasanya berubah dan kita tidak akan dapat penggredan sebenar,’’ katanya.

Teh diukur dari segi warna dan aroma teh itu. Teh yang berada di tanah tinggi lebih jernih warna airnya daripada yang berada di bahagian tanah rendah. Rasa dan aromanya juga lebih sedap.

Namun begitu menurut Darrel, terpulang kepada cita rasa penggemar teh sama ada mereka mahukan teh yang lebih jernih warnanya mahupun lebih gelap.

Beliau juga yang menentukan teh mana yang sesuai untuk ditambah dengan perasa tertentu mahupun susu atau tanpa gula yang mana setakat ini teh BOH mempunyai lebih 20 jenis produk yang tersenarai di pasaran termasuk teh berperisa seperti Teh Seri Songket.

‘‘Bagi peminat teh tarik, air teh yang lebih gelap lebih sesuai untuk diguna- kan bagi campuran susu,’’ tambahnya.

Peminat teh berkualiti tinggi tentu tidak melepaskan peluang untuk merasai kesegaran teh BOH dari ladang khusus seperti Bukit Cheeding, Palas dan Bukit Chantek yang hanya dikeluarkan untuk permintaan yang terhad iaitu hanya boleh didapati di tanah tinggi Cameron sahaja. Rahsia secawan Teh

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.