Hasan Al-Banna pendakwah hebat

HASAN Al-Banna (1906-1948) adalah seorang pendakwah Islam yang berjuang untuk memartabatkan ajaran Islam di Mesir ketika era penjajahan Britain dan pada zaman pemerintahan Kamal Attartuk.

Sepanjang hidup beliau banyak tenaga dan ilmunya disalurkan kepada usaha menyebarkan syiar Islam. Beliau cuba menyatukan kekuatan ukhuwah di kalangan umat Islam yang ketika itu dipengaruhi kebanjiran ideologi dan fahaman Barat yang mengamalkan gaya hidup sekular.

Selepas menamatkan pengajian dari pusat pengajian Dar Al-‘Ulum, sekembalinya untuk mencurahkan ilmu dan berbakti kepada masyarakat, beliau berasa terkejut dengan keadaan masyarakat Mesir yang ketika itu begitu jauh daripada mengamalkan gaya hidup Islam.

Rakyat Mesir mengalami masalah sosial dan mengamalkan budaya hidup ‘kebaratan’. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara Mesir yang ketika itu dimanipulasi oleh Britain, membuatkan pengaruh Barat menular ke segenap aspek kehidupan komuniti di sana.

Melihat keadaan masyarakatnya yang kian parah, Hasan Al-Banna mula merancang untuk menyebarkan dakwah kepada mereka yang semakin menjauhi Islam. Beliau sedar akan bahaya yang bakal dihadapi jika dibiarkan pengaruh negatif Barat berleluasa dalam masyarakat.

Islam mungkin akan hanya tinggal nama jika masalah itu dibiarkan saja. Beliau menginginkan supaya Mesir kembali mengamalkan Islam yang tidak tercemar daripada fahaman sekular Barat berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Oleh itu, Hasan Al-Banna mengambil inisiatif berani dengan mengadakan dialog dan ceramah secara terus serta bersemuka dengan masyarakat Mesir di pusat tumpuan ramai tidak kira sama ada di rumah, restoran, kedai kopi serta di kelab malam.

Beliau mengajak mereka kembali mengamalkan ajaran Islam supaya masyarakat Mesir tidak lagi leka dengan hiburan semata-mata sementara keadaan ekonomi dan politik mereka dieksploitasi dengan rakus di bawah kawalan Britain.

Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya umat Islam bersatu dan mengukuhkan ukhuwah sesama Muslim. Ini penting bagi menguatkan masyarakat Islam dalam usaha mengusir penjajah Britain dan juga fahaman sekular daripada terus memanipulasi umat Islam di Mesir.

Justeru, beliau menubuhkan Ikhwanul Muslimun, satu badan persatuan berlandaskan hubungan ikatan persaudaraan sesama Islam. Beliau mempunyai ideologi yang unik dan berkesan dalam memajukan umat Islam.

Melalui Ikhwanul Muslimun, beliau mengetengahkan faktor penting yang perlu dimajukan yang patut ada dalam setiap individu Muslim. Menurut beliau, seseorang Muslim mestilah seimbang dari semua segi iaitu memiliki fizikal yang kuat, peribadi baik, iman kukuh dan gigih berusaha.

Selepas jati diri seseorang Muslim itu ditingkatkan, maka ia diteruskan dengan usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan. Sesebuah keluarga Muslim mestilah memiliki pasangan suami isteri yang baik dan anak dididik dengan ajaran Islam sempurna. Keluarga pula haruslah mengajak keluarga yang lain pula untuk mengamalkan gaya hidup Islam cemerlang.

Hasilnya, akan wujudlah masyarakat yang bersih daripada pengaruh negatif Barat dan lahirlah komuniti sosial bersatu padu. Selepas itu, bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, beberapa aspek penting perlu diberi penekanan ditambah.

Selain ketinggian ilmu, kekukuhan iman dan kesihatan baik, sesuatu masyarakat itu mestilah mempunyai kestabilan politik, kemajuan sains dan kekuatan ekonomi. Ini penting bagi mengekalkan kemerdekaan sesuatu masyarakat supaya terus hidup dan bebas daripada ancaman penjajah.

Semua disiplin ini haruslah dikuasai oleh masyarakat Muslim supaya dapat mengukuhkan lagi kemajuan umat Islam.

Semua itu menurut Hasan Al-Banna dapat dicapai melalui tarbiyyah ataupun aktiviti sesama ahli dengan mengadakan bengkel pemahaman seperti kursus ilmiah berkaitan agama, ekonomi dan politik.

Bengkel itu dapat meningkatkan pengetahuan individu Muslim mengenai falsafah ekonomi dan politik serta ilmu agama berlandaskan al-Quran dan sunnah. Selain itu aktiviti perkhemahan, lawatan, penubuhan kelab sukan dan mesyuarat bulanan juga harus diadakan bagi memantapkan masyarakat Islam supaya kekal aktif dan tidak ketinggalan dalam arus permodenan.

Kesimpulannya, ideologi Hasan Al-Banna banyak membantu meningkatkan kesatuan dan keutuhan umat Islam. Program dakwahnya yang berperingkat bermula daripada mensasarkan golongan individu, menuju ke institusi kekeluargaan dan seterusnya membentuk masyarakat yang mantap daripada segi rohani dan jasmani.

Legasinya kini berkembang ke seluruh dunia. Sebagai bukti, persatuan Ikhwanul Muslimun yang diasaskannya masih wujud dan berkembang maju sehingga ke hari ini dengan mempunyai sumber ekonomi sendiri melalui perniagaan yang dilaburkan serta sokongan daripada umat Islam di pelbagai negara seperti Syria, Palestin dan Iraq.

Oleh itu, sebagai individu Muslim haruslah berusaha memajukan diri dari semua segi sama ada daya intelektual dan juga kecergasan tubuh badan. Ini perlu kerana kedua-dua berkait rapat kerana seperti yang kita tahu tubuh cerdas akan menghasilkan minda cerdas. Hasan Al-Banna pendakwah hebat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.